Volvo V40 T5 Drive-E diperkenalkan di Malaysia – 2.0 liter turbo, 8-kelajuan auto, 245 hp/350 Nm, RM193k

V40 Price wide shot_HR

Setelah melancarkan S60 T6 Drive-E bulan lalu, kini Volvo Cars Malaysia melancarkan sebuah lagi jentera menggunakan janakuasa Drive-E, iaitu V40 T5 Drive-E. Varian baharu ini menggantikan varian V40 T5 dan T4 terdahulu dan merupakan satunya-satunya varian V40 dalam pasaran buat masa sekarang, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM192,888.

Selain dari varian T4 dan T5 sebelum ini, Volvo Car Malaysia turut menjual V40 T4 Drive-E tetapi dalam jumlah unit yang terhad pada Februari lalu. Berbanding enjin turbo 2.0 liter T4 Drive-E yang hanya berkuasa 190 hp/300 Nm, varian baharu menggunakan enjin turbo 2.0 liter T5 Drive-E ini mampu menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan torque converter dari Aisin.

Gabungan tersebut membolehkan V40 T5 Drive-E memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Walaupun kuasanya kini 32 hp/50 Nm lebih berkuasa dari varian T5 terdahulu, Volvo mendakwa varian baharu ini hanya menggunakan 6.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan atau 16.4 km/l.

Tiada perubahan dilihat pada rupa keseluruhan varian baharu ini dan ia kekal sama sepenuhnya seperti model V40 pra-facelift. Lima warna badan tawarkan iaitu Ice White, Ember Black, Raw Copper, Bright Silver dan Osmium Grey (warna biru seperti dalam gambar tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia). Begitu juga pada roda aloi, ia masih menggunakan roda aloi yang sama tetapi ia kini berwarna kelabu berbanding perak pada model sebelum ini.

V40 Panoramic Glass roof wide shot_HR

V40 kini dibekalkan dengan penukar gear pada roda stereng. Ciri lain seperti tempat duduk larasan berkuasa pada bahagian hadapan (dengan fungsi memori untuk pemandu), sistem penghawa dingin automatik,paparan instrumen Adaptive Digital Display lapan-inci serta sistem audio premium dengan skrin berwarna tujuh-inci masih dibekalkan secara standard.

Untuk keselamatan, V40 T5 Drive-E masih dilengkapi dengan Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Amaran Trafik Melintas, City Safety (brek automatik yang berfungsi pada kelajuan bawah 50 km/j), Kawalan Dinamik Stabiliti dan Cengkaman, Torque Vectoring, Active Bending Lights, serta tujuh beg udara.

Setiap pembelian V40 T5 Drive-E disertakan dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan Volvo On Call juga selama lima tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required