2016-Volvo-S60-T6-Drive-E-1_BM

Volvo Malaysia hari ini secara rasminya memperkenalkan Volvo S60 T6 baharu, menampilkan enjin baharu binaan Volvo sendiri iaitu enjin petrol Drive-E. Enjin baharu ini akan menggantikan enjin GTDi yang dibina dengan kerjasama Ford pada S60 varian T4 dan T5 sedia ada di Malaysia.

Enjin baharu ini dilengkapi dengan dua sistem induksi paksaan iaitu turbo dan supercharge (untuk takat rpm rendah), membolehkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder ini mengekstrak kuasa keseluruhan 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 sehingga 4,800 rpm.

Kesemua kuasa dari enjin ini memacu kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin, dan dilengkapi dengan penukar gear pada roda stereng. Gabungan tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksima 230 km/j.

Rupa keseluruhan model ini adalah seiras dengan S60 facelift yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada Mac 2015. Varian terbaharu ini turut dilengkapi dengan roda aloi ‘Sadia’ berdiameter 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 235/45R17.

Untuk keselamatan, S60 T6 Drive-E dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar, Amaran Lintasan Trafik (CTA), Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya. Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard.

Volvo Malaysia turut mengumumkan pengenalan varian T6 Drive-E dalam barisan model S60 ini secara rasminya menghentikan terus jualan untuk varian T4 dan T5. Varian T4 dan T5 sebelum ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM221,888 dan RM268,888.

Varian T6 terbaharu ini pula kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM280,888. Setiap pembelian didatangkan standard dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej bantuan tepi jalan Volvo On Call secara percuma juga selama lima tahun.

Harga menarik yang ditawarkan untuk sedan berkuasa 306 hp ini adalah kerana S60 kini dipasang secara CKD di kilang Swedish Motor Assemblies Shah Alam, yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1967.

GALERI: Gambar rasmi Volvo S60 T6 Drive-E