2016-volvo-v40-t4-drive-e-004_BM

Volvo V40 T4 dengan enjin Drive-E 2.0 liter turbo empat-silinder baharu sekarang boleh didapati di Malaysia. Kami difahamkan unit-unit terhad ini hanya boleh dibeli di Volvo Clear Marque Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Jadi jika anda berminat, jangan berlengah.

Kami tidak dapat pastikan sama ada Volvo Car Malaysia akan membawa lebih banyak unit lagi atau tidak berbanding apa yang ada sekarang. Untuk sekarang, V40 T4 ini berharga RM175,888 atas jalan tanpa insuran sama seperti varian T4 sebelum ini.

Enjin E-Drive 2.0 liter empat-silinder baharu ini menggantikan penjana kuasa terdahulu 1.6 liter turbo (180 hp/240 Nm) yang menawarkan kuasa yang lebih untuk varian T4 tersebut. Ia menghasilkan kuasa 190 hp dan tork maksima 300 Nm, 10 hp lebih berkuasa dan 60 Nm lebih tork.

Model T4 di Malaysia sebelum ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima 225 km/j. Merujuk kepada Volvo Car Malaysia, kami diberitahu T4 versi baharu janaan enjin Drive-E ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksima yang dihadkan pada 210 km/j – ini menjadikan T4 ini sepantas varian T5.

Unit transmisi juga telah diperbaharui dengan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dari Aisin menggantikan kotak gear enam-kelajuan klac-berkembar Ford Powershift dari Getrag. Pengunaan bahan api kini dicatatkan pada 5.6 liter untuk setiap 100 km, di mana versi lama mencatatkan 6.1 liter untuk setiap 100 km.

Hanya penukar gear pada stereng dapat dilihat sebagai ciri baru pada versi baru ini. Spesifikasi lain seperti roda aloi 16-inci lima-jejari, tip ekzos berkembar, skrin tengah lima-inci, kemasan dalaman balutan kulit dan lain-lain adalah sama seperti T4 versi terdahulu.