Jaecoo J5 EV 2026 dibuka tempahan di Malaysia – dianggar RM125k; CKD, 211 PS, 402 km ikut WLTP

Jaecoo J5 EV makin menghampiri tarikh pelancaran apabila Omoda | Jaecoo Malaysia telah mengumumkan bahawa SUV elektrik ini telah pun mula mengambil tempahan, dengan harga jangkaannya sekitar RM125,000. Dengan harga jangkaan ini, J5 EV ini adalah RM17,000 lebih mahal berbanding versi petrol yang didatangkan dengan varian tunggal 2WD berharga atas jalan RM108,000 tanpa insurans.

Sebagai SUV elektrik pertama Omoda | Jaecoo Malaysia, J5 EV ini juga akan dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti milik syarikat ini yang terletak di Shah Alam, Selangor. Ia akan dilengkapi motor elektrik dengan output 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan tork 288 Nm, lebih kurang sama dengan versi yang ditawarkan di Indonesia dan Thailand, serta membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dengan kelajuan tertinggi cecah 175 km/j.

Walau bagaimana pun, J5 EV untuk pasaran Malaysia akan dijanakan oleh bateri CATL Lithium Iron Phosphate (LFP) 58.9 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 402 km mengikut piawaian WLTP. Di mana kapasiti baterinya lebih berbesar berbanding di Thailand (50.6 kWh) dan sedikit kecil dari Indonesia (60.9 kWh).

Bateri ini turut menyokong pengecas pantas DC 130 kW dengan status pengecasan dari 30% hingga 80% dalam 28 minit. Ia juga menyokong pengecas AC 11 kW dan turut ditampilkan dengan sistem vehicle-to-load (V2L) dengan kuasa hingga 3.3 kW untuk menjana peranti elektrikal berkuasa ringan.

Berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm, J5 EV mempunyai saiz luaran yang setanding dengan model seperti Honda HR-V, Proton X50 dan Chery Tiggo Cross. Dalam kalangan kenderaan elektrik pula, J5 EV berada dalam kategori yang sama dengan BYD Atto 2 dan iCaur 03.

Bagi rekaan luarannya, sebenarnya tidak tidak banyak perbezaan J5 EV berbanding versi petrolnya jika dilihat dari bahagian belakang. Cuma jika melihat wajahnya, barulah ia jelas kelihatan sebagai SUV EV dengan menampilkan reka bentuk muka hadapan yang lebih ringkas tanpa gril tradisional. Ia juga dilengkapi teknologi Active Grille Shutter (AGS) yang bertindak untuk mengoptimakan aliran udara untuk meningkatkan penjimatan dan pengendalian yang lebih mantap, lencana BEV dan juga roda aloi 18-inci dengan rekaan aero dua-tona yang berbeza dari versi petrol.

Untuk bahagian kabin pula, ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah papan pemuka dengan rekaan minimalis, kluster instrumen digital 8.88-inci, paparan sentral 13.2-inci, bumbung kaca panoramik 1.45 meter persegi, kawalan suhu dwi-zon, kamera pandangan sekeliling HD 540-darjah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan tailgate kuasa.

Selain itu, seperti versi petrol, ia juga diberikan kemasan tempat duduk daripada kulit tiruan yang diperakui TÜV, bersifat antibakteria, tahan calar dan mempunyai kandungan VOC (sebatian organik meruap) yang rendah, yang menurut Jaecoo juga mesra haiwan peliharaan, walau bagaimana pun versi EV ini dipadankan dengan kemasan jaluran dan jahitan berwarna biru.

Bagi aspek keselamatam, cirinya sama dengan versi petrol antaranya enam beg udara, bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dengan pengelak pelanggaran, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan amaran membuka pintu.

J5 EV ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Alpine Green, Fjord Grey dan Carbon Crystal Black. Pilihan warna ini berbeza dengan versi petrol yang menawarkan rona Glacier Blue, Canyon Black, Zircon Gray dan Snowy White.

GALERI: Jaecoo J5 EV 2026 yang dipertontonkan di Malaysia