Jaecoo J5 EV dipertonton di Malaysia – SUV pertama mesra-haiwan, 211 PS, 402 km ikut WLTP, CKD

Omoda | Jaecoo Malaysia sedang mempertontonkan SUV Jaecoo J5 EV buat pertama kalinya di khalayak umum menerusi penganjuran acara Oh My Meow Expo 2026 di Pusat Pameran Mid Valley, yang membuka tirainya mulai hari ini hingga 12 Julai 2026.

Mesti ramai pelik kenapa SUV EV ini dipamerkan di acara ‘penghimpunan’ kucing berkenaan? Untuk pengetahuan anda, J5 EV ini dijangka hadir dengan pensijilan TÜV yang sama seperti J5 berkuasa petrol yang dilancarkan pada bulan Mac dan dipasarkan sebagai SUV segmen-B yang bersifat “mesra haiwan peliharaan”.

Sebagai SUV elektrik pertama Omoda | Jaecoo Malaysia, J5 EV ini juga akan dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti milik syarikat ini yang terletak di Shah Alam, Selangor. Ia akan dilengkapi motor elektrik dengan output 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan tork 288 Nm, lebih kurang sama dengan versi yang ditawarkan di Indonesia dan Thailand, serta membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dengan kelajuan tertinggi cecah 175 km/j.

Jaecoo J5 EV dipertonton di Malaysia – SUV pertama mesra-haiwan, 211 PS, 402 km ikut WLTP, CKD

Walau bagaimana pun, J5 EV untuk pasaran Malaysia akan dijanakan oleh bateri CATL Lithium Iron Phosphate (LFP) 58.9 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 402 km mengikut piawaian WLTP. Di mana kapasiti baterinya lebih berbesar berbanding di Thailand (50.6 kWh) dan sedikit kecil dari Indonesia (60.9 kWh).

Bateri ini turut menyokong pengecas pantas DC 130 kW dengan status pengecasan dari 30% hingga 80% dalam 28 minit. Ia juga menyokong pengecas AC 11 kW dan turut ditampilkan dengan sistem vehicle-to-load (V2L) dengan kuasa hingga 3.3 kW untuk menjana peranti elektrikal berkuasa ringan.

Versi EV yang lebih berat sebanyak 271 kg berbanding model enjin petrol (1,439 kg kg), dan sistem suspensinya juga ditala semula termasuk menampilkan suspensi topang MacPherson di hadapan dan Multi-link di belakang untuk pengendalian yang lebih stabil dan selesa.

Bagi rekaan luarannya, sebenarnya tidak tidak banyak perbezaan J5 EV berbanding versi petrolnya jika dilihat dari bahagian belakang. Cuma jika melihat wajahnya, barulah ia jelas kelihatan sebagai SUV EV dengan menampilkan reka bentuk muka hadapan yang lebih ringkas tanpa gril tradisional. Ia juga dilengkapi teknologi Active Grille Shutter (AGS) yang bertindak untuk mengoptimakan aliran udara untuk meningkatkan penjimatan dan pengendalian yang lebih mantap, lencana BEV dan juga roda aloi 18-inci dengan rekaan aero dua-tona yang berbeza dari versi petrol.

Hanya terdapat satu panel dengan permukaan lut sinar yang membolehkan tulisan “Jaecoo” dilihat di antara lampu utama. Bahagian apron bawah juga berbeza sepenuhnya, dengan panel badan sama warna yang kelihatan lebih berfungsi dalam mengalirkan udara ke bahagian tirai udara sisi, manakala bahagian tengahnya menampilkan jeriji berbentuk pin serta permukaan berlubang.

Antara ciri kelengkapan untuk kabin yang turut diberikan untuk J5 EV ini termasuklah papan pemuka dengan rekaan minimalis, paparan sentral 13.2-inci, bumbung kaca panoramik 1.45 meter persegi, kawalan suhu dwi-zon, kamera pandangan sekeliling HD 540-darjah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan tailgate kuasa.

Jaecoo J5 EV dipertonton di Malaysia – SUV pertama mesra-haiwan, 211 PS, 402 km ikut WLTP, CKD

Selain itu, seperti versi petrol, ia juga diberikan kemasan tempat duduk daripada kulit tiruan yang diperakui TÜV, bersifat antibakteria, tahan calar dan mempunyai kandungan VOC (sebatian organik meruap) yang rendah, yang menurut Jaecoo juga mesra haiwan peliharaan, walau bagaimana pun versi EV ini dipadankan dengan kemasan jaluran dan jahitan berwarna biru.

J5 EV ini juga dilengkapi dengan Mod Haiwan Peliharaan (Pet Mode) yang memastikan sistem penyaman udara terus beroperasi supaya haiwan peliharaan boleh kekal selesa di dalam kenderaan walaupun ia dikunci, serta Mod Perkhemahan (Camping Mode). Ruang but belakang mengekalkan kapasiti 480 liter, sama seperti model petrol, manakala versi EV turut menawarkan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 35 liter.

Bagi aspek keselamatam, cirinya sama dengan versi petrol antaranya enam beg udara, bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dengan pengelak pelanggaran, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan amaran membuka pintu.