Polestar 4 SUV dalam teaser – lebih praktikal, masih guna platform SEA dan jarak gerak sehingga 630 km

Polestar bakal memperluaskan penawaran model SUV elektriknya menerusi pengenalan Polestar 4 SUV, versi yang lebih praktikal berbanding Polestar 4 Coupé yang diperkenalkan sebelum ini. Model baru itu dijadual membuat kemunculan rasmi pada 2 September, sekaligus menjadi antara produk penting buat pengeluar berkenaan yang kini sedang berdepan cabaran besar dalam perniagaannya.

Menerusi imej teaser yang dikongsi, Polestar 4 SUV menampakkan rekaan belakang SUV konvensional dengan bumbung yang lebih tegak, berbeza daripada garis bumbung landai pada 4 biasa. Rekaan baru itu dijangka menawarkan ruang kepala dan ruang kargo yang lebih baik, selain menampilkan rupa yang lebih praktikal untuk kegunaan harian.

Perubahan lain yang turut diberikan ialah penggunaan semula cermin belakang. Sebelum ini, Polestar mengambil pendekatan berbeza dengan menghapuskan cermin belakang pada 4 dan 5, sebaliknya bergantung kepada sistem kamera bagi paparan belakang.

Dari segi rekaan, Polestar 4 SUV dijangka mengekalkan lampu belakang LED penuh yang merentasi keseluruhan bahagian belakang seperti pada versi Coupé. Ia juga dilihat menggunakan rim aloi 22 inci yang sebelum ini ditawarkan menerusi pakej Performance.

Polestar 4 SUV dalam teaser – lebih praktikal, masih guna platform SEA dan jarak gerak sehingga 630 km

Walaupun berada dalam barisan model yang sama dengan 3, 4 SUV sebenarnya dibangunkan sebagai model yang lebih kecil. Ia menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), sama seperti Polestar 4 Coupé, manakala Polestar 3 dibina berasaskan platform Scalable Product Architecture 2 (SPA2) yang lebih besar.

Pilihan rangkaian kuasa dijangka tidak berubah, dengan varian motor tunggal pacuan roda belakang serta varian dua-motor pacuan semua roda akan terus ditawarkan. Varian dua-motor menghasilkan 544 PS (400 kW), manakala versi pacuan roda belakang mengekalkan kuasa 272 PS (200 kW).

Bagi varian motor tunggal, Polestar mendakwa ia mampu menawarkan jarak gerak sehingga 630 km mengikut kitaran WLTP, iaitu sekitar 10 km lebih jauh berbanding Polestar 4 Coupé walaupun model SUV ini mempunyai bentuk badan yang kurang aerodinamik.

Dari aspek pengecasan, Polestar 4 SUV masih menggunakan sistem elektrik 400 volt dan bukannya 800 volt yang kini digunakan pada beberapa model lain dalam kumpulan Geely, termasuk Polestar 3. Oleh itu, kuasa pengecasan pantas DC dijangka kekal pada maksimum 200 kW, dengan bateri NMC berkapasiti 102 kWh mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dicas daripada 10% hingga 80%.

Tags: