9 Julai 1985, merupakan ‘Hari Kelahiran’ kereta nasional pertama Malaysia iaitu Proton Saga di mana pada tarikh tersebut, unit pertama Saga generasi pertama telah pun keluar dari barisan pengeluaran di kilang Proton yang terletak di Hicom Shah Alam, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jadi hari ini umur Saga genap 41-tahun, dan Proton menyatakan bahawa sebanyak 2,203,409 Saga telah terjual dalam tempoh berkenaan. Saga telah mencatatkan jualan melebihi 2 juta unit pada Mei 2024, ini bermakna lebih dari 200,000 unit Saga telah dalam dua tahun kebelakangan ini.
Saga bukan hanya dijual di Malaysia, di mana model ini pernah membawa nama Malaysia ke pasaran-pasaran eksport seperti Austrlia dan UK sebagai sedan mampu milik yang menawarkan pelbagai perincian yang berbaloi. Malah buat masa sekarang Saga masih lagi terjual pada pasaran eksport seperti Bangladesh, Mesir, Brunei dan banyak lagi.
Sejak ia diperkenalkan, Saga kini berevolusi dalam tiga generasi (atau empat sekiranya Saga MC3 dianggap model generasi baharu.) Model terkini Saga MC3 yang dilancarkan pada November tahun lalu kini tidak lagi dibuat di Shah Alam kerana semua produksi kenderaan Proton telah dipindahkan sepenuhnya di Tanjong Malim.
Saga MC3 ini dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.
Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.
Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.
Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.
Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.
Model ini juga menerima rombakan besar dari segi rupa di mana semua varian kini diberikan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).
Kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.
Selain itu Saga MC3 2026 dalam varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Dengan kelengkapan yang agak tinggi serta dijual pada harga mampu milik, Saga MC3 nampaknya mendapat sambutan yang agak baik. Untuk enam bulan pertama tahun ini jualan Saga telahpun mencapai 44,375 unit, atau naik 40% berbanding tempoh sama tahun lalu.
GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT
GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT
GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT
GALERI:Proton Saga generasi pertama




Proton Saga
dari RM 38,990
Proton X90
dari RM 106,800
Proton S70
dari RM 73,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM 109,800
Proton X70
dari RM 106,800
Proton eMas 5
dari RM 59,800
Proton X50
dari RM 89,800
Proton eMas 7
dari RM 103,800
Proton Persona
dari RM 47,800