Kemalangan jalan raya di M’sia kian meningkat; penunggang motosikal sumbang 65% jumlah kematian

Kemalangan jalan raya di Malaysia terus mencatat peningkatan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, dengan jumlah insiden meningkat daripada 739,877 kes pada 2023 kepada 778,159 kes pada 2024, sebelum mencecah 790,614 kes pada tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di Dewan Rakyat hari ini, laporan New Straits Times.

Statistik polis menunjukkan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 5.17%, daripada 739,877 kes pada 2023 kepada 778,159 kes pada 2024, dengan angka itu terus meningkat pada 2025.

“Trend peningkatan ini berterusan apabila sebanyak 273,668 kemalangan jalan raya direkodkan antara Januari hingga April 2026. Berdasarkan analisis, kereta kekal sebagai jenis kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan jalan raya, merangkumi antara 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan kes,” kata Loke.

Manakala kemalangan melibatkan motosikal turut menunjukkan peningkatan berterusan, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.83%. Walaupun jumlah kemalangan motosikal lebih rendah berbanding kemalangan yang melibatkan kereta, impaknya terhadap penunggang motosikal jauh lebih serius kerana lebih 65% daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun membabitkan penunggang motosikal, jelas Menteri Pengangkutan itu.