MG mengumumkan teknologi bateri separa pepejal (semi-solid-state) SolidCore akan digunakan pada model Plug-in Hybrid+ (PHEV) generasi barunya dalam masa terdekat. Pengumuman itu dibuat sempena MG Tech Day di United Kingdom, selepas bateri berkenaan diperkenalkan di China menerusi MG4 (Urban) Anxin EV.
Menurut MG, bateri SolidCore dibangunkan menggunakan struktur 3D spinel yang memberikan kecekapan penukaran tenaga lebih tinggi, tindak balas kuasa yang lebih pantas serta tahap kestabilan yang lebih baik berbanding bateri elektrolit cecair konvensional.
Selain meningkatkan aspek keselamatan, teknologi ini juga dikatakan mampu mengekalkan prestasi serta jarak pemanduan yang lebih konsisten tanpa mengira kelajuan, keadaan pemanduan atau suhu persekitaran.
Bateri baru itu akan digandingkan dengan sistem rangkaian kuasa Plug-in Hybrid+ yang menggabungkan enjin turbo 1.1 liter atau 1.5 liter bersama motor elektrik serta unit pembahagi kuasa (power-split device) baru berasaskan set gear planetary, seperti sistem hibrid Toyota. Kedua-dua enjin itu masing-masing mencatat kecekapan terma sehingga 42% dan 43%.
Tidak seperti kebanyakan model PHEV keluaran China yang menggunakan transmisi nisbah tetap, sistem pembahagi kuasa ini membolehkan kuasa daripada enjin dan motor elektrik diagihkan secara lebih efisien mengikut keadaan pemanduan. Ia turut dilengkapi klac yang boleh memutuskan sambungan motor penjana ketika mod EV bagi mengurangkan kehilangan kuasa pada rangkaian pacuan.
Seperti sistem Toyota Hybrid System (THS), Plug-in Hybrid+ menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah, mod hibrid pada kelajuan sederhana dan enjin pembakaran dalaman ketika kelajuan tinggi bagi memastikan penggunaan bahan api lebih efisien. MG mendakwa enjin mampu beroperasi pada kecekapan terma melebihi 40% dalam sekitar 90% situasi pemanduan, manakala kecekapan sistem pacuan elektrik mencapai sehingga 90%.
Dari aspek prestasi, MG menyatakan model yang menggunakan rangkaian kuasa baru ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang enam saat. Keupayaan mendaki bukit turut meningkat sebanyak 72% hasil penghantaran tork yang dipertingkatkan, manakala penggunaan klac khas itu mengurangkan tahap bunyi dalam mod EV sehingga lima desibel berbanding sistem PHEV konvensional.
Bateri SolidCore akan digunakan pada SUV segmen B, C dan D yang dilengkapi sistem Plug-in Hybrid+, namun MG masih belum mengumumkan garis masa pelancarannya. Bagaimanapun, syarikat itu mengesahkan rangkaian kuasa Plug-in Hybrid+ akan membuat kemunculan sulung menerusi MG ZS generasi baru pada tahun depan.
Selain itu, MG turut mengumumkan beberapa teknologi bantuan pemandu baru untuk pasaran United Kingdom, termasuk fungsi pemanduan separa autonomous di lebuh raya yang dijangka diperkenalkan pada penghujung tahun depan. Turut diumumkan ialah sistem parkir automatik satu sentuhan serta parkir kawalan jauh yang dibangunkan oleh jenama premium IM.
Dalam perkembangan berkaitan, MG turut memaklumkan bahawa robotaxi autonomous Tahap 4 kini sedang menjalani ujian di beberapa pasaran termasuk China, Jerman dan Asia Barat sebagai sebahagian daripada pembangunan teknologi mobiliti masa depannya.



