Wing Hin Motorsport bawa pulang 1 trofi kemenangan, 3 podium di pusingan 2 Thailand Super Series 2026

Selepas mencatatkan keputusan memberangsangkan di pusingan pertama Thailand Super Series 2026 di Chang International Circuit, Burriram Mei lalu, pasukan lumba dari Malaysia, Wing Hin Motorsport meneruskan perjuangannya dalam siri perlumbaan berkenaan di pusingan kedua yang berlangsung hujung minggu lalu di mana persainganya beralih ke litar jalan raya Bangsaen Grand Prix.

Oleh itu perlumbaan pusingan kedua ini menyajikan cabaran yang cukup berbeza di mana perlumbaan kali ini dilangsungkan di atas litar jalan raya sepanjang 3.74 km yang meraikan ulangtahun ke-20 pada tahun ini, penuh dengan selekoh teknikal dan tidak kurang juga laluan lurus untuk memecut. Dan dengan kedudukan berada berhampiran dengan tepi pantai, vibe perlumbaan kali ini terutamanya dalam kelas GT4 yang disertai oleh jentera seperti Toyota GR Supra, Porsche Cayman dan Mercedes-AMG GT seakan perlumbaan dunia nyata yang keluar dari siri animasi Jepun, MF Ghost.

Untuk kelas GT4, Wing Hin masih mempertaruhkan Toyota GR Supra GT4 Evo2 #39 yang dipandu oleh pasangan Ryan Wong dari Hong kong dan juga pakar perlumbaan dalam disiplin Touring Car negara iaitu Mitchell Cheah. Dalam Race 1, Wong diberikan tugas sebagai pemandu pertama, dan memulakan perlumbaan dari grid ke-6.

Wing Hin Motorsport bawa pulang 1 trofi kemenangan, 3 podium di pusingan 2 Thailand Super Series 2026

Kedudukan berkenaan dapat dikekalkan untuk 20 minit pertama, kemudian tidak lama selepas pit window mandatori dibuka, GR Supra #95 yang dipandu oleh Prakhun P./Todd K. melanggar dinding konkrit keselamatan, membolehkan Wong naik ke tempat ke-5.

Tugas separa masa kedua di ambil alih Cheah di mana apabila semua kereta kembali dari pit stop ke litar, Cheah berjaya naik kedudukan kedua. Cheah kemudiannya menjadi pendahulu perlumbaan berbaki 17 minit selepas GR Supra GT4 yang dipandu oleh J.Supakit terpaksa masuk semula ke pit untuk mengambil penalti stop-go 5 saat selepas didapati membuat kesalahan ketika pit stop mandatori.

Walaubagaimana pun, tidak lama selepas itu Mitchell Cheah turut diberikan penalti 15 saat yang perlu ditambah dari masa keseluruhan perlumbaan kerana turut dikesan membuat kesalahan ketika pit stop. Dengan perlumbaan berbaki sekitar 14 minit, Cheah sedaya upaya menjarakkan diri sekurang-kurang 15 saat dari Porsche Cayman GT4 dipandu K. Kantadhee yang berada di tempat kedua.

Wing Hin Motorsport bawa pulang 1 trofi kemenangan, 3 podium di pusingan 2 Thailand Super Series 2026

Usaha keras Cheah membolehkan dia merekodkan lap terpantas 1 minit 39.030 saat, namun dia hanya mampu menjarakkan diri sekitar 11 saat selepas melepasi garisan penamat, secara rasmi menamatkan Race 1 GT4 ini di tempat kedua.

Untuk Race 2 GT4 pada hari Ahad, Cheah memulakan perlumbaan di grid kedua dan kemudian berjaya berada di kedudukan pertama selepas melepasi selekoh pertama. Cheah meneruskan penguasaannya selama 20 minit perlumbaan dan sehingga pit window dibuka Cheah sudahpun meninggalkan kelompok kedua dengan kelebihan 8.4 saat.

Ini membolehkan Wong yang menggantikan Cheah selepas keluar dari pit selesa mendahului sekitar 9 saat di hadapan. Namun ketika perlumbaan berbaki 11 minit, Wong dipintas oleh GR Supra #77 yang dipandu oleh T.Ananthorn. Lebih malang, Wong turut mengalami kerosakan pada bahagian belakang kiri jenteranya yang dan terpaksa menamatkan perlumbaan.

Wing Hin Motorsport bawa pulang 1 trofi kemenangan, 3 podium di pusingan 2 Thailand Super Series 2026

Bagi perlumbaan kelas Super Touring pula, Toyota Vios #36 pasukan Wing Hin yang dipandu Nabil Azlan bermula dari grid ke-2 berjaya meluru untuk mendahului perlumbaan dengan tiga lagi kereta lain untuk merebut tempat pertama. Nabil berjaya mengukuhkan kedudukannya di hadapan dengan kelebihan 4.1 saat, namun semuanya sia-sia apabila safety car keluar selepas 20 minit perlumbaan.

Selepas safety car masuk semula, Nabil memilih untuk melengkapkan satu lap laju sebelum masuk bagi mengambil pit stop mandatori. Keluar dari pit, Nabil berada di kedudukan ke-8, namun berjaya naik ke tempat kedua apabila perlumbaan berbaki lagi tujuh minit.

Nasib telah menyebelahi pasukan Wing Hin kali ini apabila Honda CR-Z #55 dipandu Chanoknun N./Phiranat N. yang pada awalnya menang perlumbaan ini diberikan penalti 10-saat setelah didapati melanggar had laju di laluan pit, membolehkan Nabil diiktiraf sebagai juara sebenar.

Wing Hin Motorsport bawa pulang 1 trofi kemenangan, 3 podium di pusingan 2 Thailand Super Series 2026

“Apa yang paling membantu kami ialah safety car yang keluar buat kali kedua selepas hentian pit tetapi walaupun begitu, kami terpaksa bekerja keras untuk bertahan daripada kereta Toyota Gazoo Racing Thailand yang mengejar dengan pantas di belakang,” kata Nabil.

Manakala dalam Race 2, Nabil tidak bernasib baik kerana terlibat dalam kemalangan dahsyat pada lap terakhir. Ketika kejadian itu berlaku Nabil sedang bertarung sengit untuk merebut tempat kedua, dan sebaik sahaja dia berjaya memintas Honda CRZ #63 yang dipandu oleh C. Chotthanin/L. Aniwat, sebuah lagi Honda CRZ #55 dipandu oleh Chanoknun N./Phiranat N. yang sedang mendahului perlumbaan tetapi dipandu perlahan kerana kerosakan kotak gear berada di tengah-tengah litar.

Nabil tidak berjaya mengelak CRZ tersebut dan melanggar bahagian belakang kanan dalam kelajuan yang tinggi, menyebabkan Vios yang dipandu melambung dan terbalik. Nabil berjaya keluar dari kereta dan perlumbaan dihentikan serta merta dengan bendera merah dikibarkan.

Pengarah perlumbaan mengambil keputusan untuk membatalkan lap terakhir, membolehkan Nabil diiktiraf menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, memberikan satu lagi keputusan podium untuk dibawa pulang.

Pusingan 3 dan 4 Thailand Super Series selepas ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang masing-masing dari 21-23 Ogos dan 18-20 September, yang tentunya akan memberikan kelebihan kepada pasukan Wing Hin sebagai pasukan tempatan. Manakala untuk pusingan akhir akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Okt-1 Nov.