Pemandu dan penunggang motosikal di Pulau Pinang menggesa agar had kelajuan 40 km/j yang baru dikuatkuasakan di laluan susur menghubungkan Jalan Tunku Kudin ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang dikaji semula. Mereka mendakwa pengurangan mendadak daripada 80 km/j kepada 40 km/j telah menyebabkan ramai menerima saman kerana memandu melebihi had laju.
Pengguna jambatan terbabit juga mendakwa jarak yang disediakan tidak mencukupi untuk memperlahankan kenderaan sebelum tiba di lokasi kamera had laju. Mereka turut berkata tindakan membrek secara mengejut di laluan yang sibuk itu boleh meningkatkan risiko kemalangan akibat pelanggaran dari belakang, laporan The Star.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, bagaimanapun mempertahankan had kelajuan baharu tersebut dengan menjelaskan bahawa selekoh tajam di lokasi berkenaan memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan bagi mengurangkan risiko terbabas, terutama ketika cuaca hujan.
Beliau turut berkata sebarang semakan terhadap had laju itu perlu melalui penilaian teknikal dan kejuruteraan. Isu tersebut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial apabila ramai pengguna jalan raya berkongsi pengalaman menerima saman walaupun telah berusaha mematuhi had laju yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng, berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada penduduk kawasan itu dan menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula had laju berkenaan.
Selepas melakukan pemeriksaan di lokasi bersama pegawai penguat kuasa dan pihak lebuh raya, Tan berkata LLM menegaskan had laju 40 km/j adalah berdasarkan reka bentuk kejuruteraan jalan tersebut, namun bersetuju untuk menilai semula keadaan. Tan kemudian mengumumkan bahawa penguatkuasaan had laju di lokasi berkenaan telah digantung buat sementara waktu sementara agensi berkaitan menjalankan penilaian lanjut.


