Mercedes-Benz A-Class 2016 facelift dilancar – A 180 ditambah dalam varian, harga bermula RM195k

Mercedes_A250-2

Mercedes-Benz A-Class facelift 2016 kini telah dilancarkan di Malaysia. Selain dari mendapat rupa yang lebih segar dan beberapa ciri baharu, hatchback kompak dari Mercedes ini turut mendapat ‘adik’ baru dalam variannya iaitu A 180 Urban Line, menjadikan A-Class boleh dipilih dalam empat varian termasuk varian terdahulu A 200, A 250 Sport, dan Mercedes-AMG A45.

Pada bahagian luaran, A-Class baharu ini mendapat sentuhan segar pada bampar hadapan berbentuk anak panah – seiras dengan rekaan konsep A-Class yang tampil pada tahun 2011. Lampu hadapan turut hadir dengan rekaan baharu dengan teknologi LED, mengapit gril baharu berbentuk-berlian. Beralih pada bahagian belakang, dapat disaksikan lampu belakang juga mendapat rekaan baharu begitu juga dengan trim ekzos dua tip yang ‘ditanam’ pada bampar belakang.

Bahagian dalaman kereta ini masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini. Ia dibezakan dengan grafik pada tulisan di suis-suis kawalan kemasan ‘anodised’ yang direka agar kelihatan lebih mewah. Paparan skrin sistem infotaimen tunggal di tengah papan pemuka juga kini lebih besar bersaiz lapan-inci. Kemasan keseluruhan juga diberi pilihan warna dan juga material baharu. Tempat duduk hadapan untuk kesemua varian kini boleh dilaras sedalam 60 mm.

Untuk model asas A 180 Urban Line baharu,ia menampilkan temapt duduk dibaluti campuran fabrik dan kulit dan papan pemuka dengan kemasan corak gentian karbon. Ia dikuasakan dengan enjin petrol 1.6 liter turbo berkuasa 122 hp dengan tork maksima 200 Nm memacu roda hadapan. Dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar (7G-DCT) automatik, A 180 mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 8.6 saat.

A 200 menggunakan enjin yang sama dengan A 180 tetapi dengan kuasa yang lebih besar iaitu 156 hp dan tork maksima 250 Nm. Enjin tersebut turut dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan DCT memacu roda hadapan.

Untuk varian A 200 kali ini ia menampilkan pakej luaran AMG line yang meliputi bampar yang lebih sporty, skirt sisi, dan juga roda aloi 18-inci AMG. Bukan sahaja penampilannya lebih sporty, A 200 AMG Line juga dilengkapi suspensi talaan AMG yang menampilkan spring yang lebih keras dan merendahkan lagi A 200 ini sebanyak 15 mm.

Kemasan AMG turut boleh dilihat didalam bahagian dalaman A 200 ini termasuk roda stereng tiga-jejari dengan pelbagai fungsi, kemasan bercorak gentian karbon pada papan pemuka, dan juga tempat duduk balutan Alcantara dengan sulaman benang merah yang juga meliputi pada kemasan panel pintu dan perehat tangan di bahagian tengah.

Varian A250 Sport masih menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo pancitan bahan api terus berkuasa 211 hp dan tork 350 Nm dan dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan 7G-DCT memacu roda hadapan. Tetapi, ia kini turut dilengkapi dengan “Launch Assist” yang membolehkan kereta ini ‘berlepas’ dari kedudukan pegun dengan lebih efisien tanpa geseran yang berlebihan pada roda hadapan ketika dipacu. Paparan ‘ECO’ juga dilengkapi untuk model ini membolehkan pemandu mengekalkan gaya pemanduan yang efisien.

A250 juga dilengkapi dengan sistem suspensi talaan AMG yang menampilkan spring yang lebih keras dan kedudukannya direndahkan sebanyak 15 mm.

Kini semua varian A-Class boleh dipandu dengan pilihan mod pemanduan “Comfort”, “Sport”, “Eco” dan “Individual” semudah menggerakkan suis kawalan menerusi sistem ‘Dynamic Select’. Sistem ini akan mengubah talaan enjin, transmisi, stereng dan juga penghawa dingin mengikut mod pemanduan yang dipilih pemandu.

Sistem keselamatan dan bantuan elektronik seperti tujuh unit beg udara, lampu brek adaptif, sistem bantuan mengelak pelanggaran, Attention Assist, Kawalan Kelajuan (Cruise Control), kamera undur, Bantuan Parkir Undur, penggilap cermin dengan penderia hujan, adalah standard untuk semua varian A-Class. Sistem Pantauan Tekanan Udara Tayar juga standard untuk semua varian kecuali pada model A 180.

A 180 dijual pada harga bermula RM195,888 hingga RM196,888 untuk model yang dilengkapi roda aloi AMG bersaiz 18-inci. A 200 pula dijual dengan harga RM205,888, manakala A 250 Sport dijual pada harga RM238,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Sebagai usaha untuk menarik lebih golongan muda untuk memiliki A-Class, pihak Mercedes-Benz menyediakan skim pinjaman sewa-beli dengan kadar bunga serendah 2.18% hingga 2.38% dan tempoh bayaran balik bermula tiga ke tujuh tahun.

GALERI: Mercedes-Benz A 180 Urban Line

GALERI: Mercedes-Benz A 200

GALERI: Mercedes-Benz A 250

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required