Banyak perkara telah diperkatakan baru-baru ini berkaitan kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MITI) dalam masa terdekat ini mengenai dasar automotif negara, termasuk harga minimum untuk EV CBU yang diimport sepenuhnya serta keperluan yang ditetapkan untuk lesen pengeluaran, yang mana sesetengah pihak berpendapat akan menghadkan kemasukan pemain baru serta skop pelaburan dan pertumbuhan sektor tersebut.
Kementerian telah menjelaskan sebab-sebab di sebalik ini, dengan menyatakan bahawa penetapan harga minimum untuk kenderaan elektrik baru yang diimport sepenuhnya selepas 1 Julai 2026 adalah bertujuan untuk menjurus kepada beberapa faktor: iaitu untuk menggalakkan pemasangan tempatan, membangunkan ekosistem automotif tempatan secara berkesan termasuk rantaian bekalan serta melalui operasi CKD.
Ini juga adalah selaras dengan penerapan lesen pengeluaran baru serta syarat-syarat yang disenaraikan bagi tujuan itu, seperti yang dijelaskan dalam kenyataan kementerian pada bulan Mac apabila ia membincangkan topik rancangan kilang CKD BYD.
Diwujud bagi memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen nilai yang mampan dan lebih tinggi serta untuk memperkukuhkan ekosistem vendor tempatan sedia ada, perkara penting ini ditegaskan semula oleh Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini ketika pelancaran Hab Auto MCE di Serendah, Selangor.
“Apabila kita menetapkan parameter seperti jumlah jualan domestik atau struktur harga minimum, niatnya bukanlah untuk menghalang pelabur. Sebaliknya, ia adalah untuk mewujudkan persekitaran pasaran yang boleh diramal dan stabil, yang membolehkan vendor tempatan berkembang, sementara pelabur asing juga mempunyai peluang yang jelas dan mampan terhadap keuntungan,” katanya dalam ucapan perasmian.
“Pada masa yang sama, kita sangat jelas tentang syarat-syarat yang dikenakan ke atas lesen pengeluaran baru. Pemindahan teknologi, pembangunan dan pemerkasaan rantaian pembekal, penciptaan kemahiran dan keupayaan eksport bukanlah penghalang kepada pelaburan. Sebaliknya, ia adalah asas perkongsian perindustrian yang tulen,” jelasnya.
Beliau juga menambah, walaupun eksport kenderaan akan membantu memacu pertumbuhan tersebut, Malaysia tidak seharusnya berusaha untuk bersaing berdasarkan jumlah semata-mata dalam konteks serantau yang lebih luas. “Kita mesti mencari dan membina kelebihan kita dalam dengan nilai tambah yang lebih tinggi, yang membolehkan Malaysia untuk menjadi hab ASEAN untuk kecerdasan automotif,” katanya.
“Ini termasuklah mencari pengkhususan kita sendiri dalam bidang elektronik automotif, integrasi semikonduktor dan mekatronik kompleks — industri yang menjana gaji yang lebih tinggi, keupayaan teknologi yang lebih mendalam serta daya tahan ekonomi jangka panjang,” tambahnya.


