Selain jawapannya di Dewan Rakyat berkaitan penambahan stesen pengecasan EV, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, Sim Tze Tzin hari ini turut mengulas bahawa penetapan nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) bagi EV yang diimport sepenuhnya (CBU) membantu membendung pengisytiharan di bawah nilai sebenar sesebuah kenderaan serta mengekalkan kutipan hasil kerajaan, lapor Bernama.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, mengusulkan pertanyaan mengapa angka minimum CIF RM200k dan 180 kW (245 PS) untuk janaan kuasa hanya dikenakan pada EV CBU. Sim menjelaskan bahawa kerajaan mengambil pendekatan yang berbeza terhadap EV dan kenderaan ICE kerana ia berada pada tahap pembangunan perindustrian yang berbeza.
“Bagi EV, kerajaan perlu mengimbangi dua objektif secara serentak, iaitu mempercepatkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat dan membangunkan industri pemasangan tempatan, rantaian bekalan serta keseluruhan ekosistem EV supaya Malaysia tidak hanya menjadi pasaran pengguna semata-mata.
“Selain itu, struktur cukai dan insentif untuk EV juga berbeza daripada kenderaan ICE. Ketika ini, kadar duti eksais untuk EV hanya 10%, jauh lebih rendah berbanding kenderaan ICE, yang kadar duti eksaisnya bergantung kepada kapasiti enjin, jenis kenderaan serta tahap kandungan tempatannya,” jelas Sim.
Beliau menjelaskan lagi, kadar duti eksais EV yang lebih rendah menjadikan penentuan nilai import lebih penting untuk memastikan cukai dikira dengan tepat, sambil menambah bahawa dengan nilai CIF minimum, ia akan mengurangkan risiko pengisytiharan nilai import yang lebih rendah berbanding nilai sebenar sesebuah kenderaan.
“Oleh itu, menetapkan nilai CIF minimum adalah salah satu mekanisme dasar untuk mengurangkan ruang untuk pengisytiharan di bawah nilai sebenar, dan memastikan kutipan hasil kerajaan terus dikekalkan,” katanya.


