Loke ambil serius isu petugas kempen PRN Johor termasuk dari DAP tunggang motor tanpa topi keledar

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kementeriannya (MOT) mengambil serius isu yang tular berkaitan sekumpulan petugas kempen dari Pakatan Harapan (PH), termasuk dari DAP yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Johor.

“Pendirian saya jelas dan konsisten sejak dahulu lagi. Ketika saya membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin BN semasa kempen PRK Slim hampir enam tahun lalu, saya sudah tegaskan: tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen Pakatan Harapan. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” kata Loke menerusi kenyataan yang dibuat menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

“Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik. Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri. Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” tambahnya lagi.