Kia C&C Glenmerie kini dibuka secara rasmi – Pusat 3S Kia pertama milik Cycle & Carriage di Malaysia

Cycle & Carriage (C&C) kini merupakan salah satu pengedar sah jenama Kia di Malaysia selepas membuka Pusat 3S Kia pertamanya yang terletak di Glenmerie, Shah Alam, Selangor.

Fasiliti berkenaan di bina keluasan keseluruhan 20,839 kaki persegi, menempatkan sebuah bilik pameran seluas 5,511 kaki persegi yang mampu mempamerkan sehingga lima buah kenderaan, pusat servis khusus, bengkel, operasi alat ganti serta ruang istirahat pelanggan seluas 2,067 kaki persegi.

Untuk bilik pameran, ia menampilkan persekitaran runcit yang moden dan futuristik bagi memberikan pengalaman yang lebih imersif kepada pelanggan, selaras dengan konsep Store Identity 2.0 Kia yang mencerminkan falsafah reka bentuk global terkini jenama dari Korea Selatan itu.

Ia direka dengan gabungan inovasi, layanan premium dan estetika kontemporari, ruang ini dilengkapi zon galeri khas yang menampilkan paparan digital, ruang pameran kenderaan utama (hero vehicle) bagi mengetengahkan model-model terkini Kia, serta ruang konsultasi fleksibel yang membolehkan sesi khidmat nasihat dijalankan secara lebih peribadi mengikut keperluan pelanggan.

Selain itu bilik pameran berkenaan turut dilengkapi ruang istirahat pelanggan moden serta kawasan penerimaan servis bersepadu yang direka untuk memberikan pengalaman pemilikan yang menyeluruh dan lancar, bermula daripada proses pemilihan kenderaan sehinggalah kepada pemilikan serta perkhidmatan selepas jualan.

Manakala khas untuk servis selepas jualan, fasiliti ini dilengkapi dengan 20 ruang kerja servis dan infrastruktur yang disediakan untuk pengecasan kenderaan elektrik (EV), di mana semua ini dibangunkan bagi memberikan pengalaman pelanggan yang lancar sejajar dengan piawaian global Kia.

“Di Cycle & Carriage, kami percaya bahawa pengalaman pemilikan yang luar biasa dapat melangkaui titik pembelian. Pusat 3S Kia Cycle & Carriage Glenmarie menggabungkan pengalaman runcit bertaraf global Kia dengan kepakaran kami yang telah lama terbina dalam perkhidmatan selepas jualan dan penjagaan pelanggan, membolehkan kami menyokong mereka dengan menawarkan kemudahan yang lebih baik, akses yang lebih mudah serta ketenangan fikiran sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan mereka. Pembukaan pusat ini menandakan permulaan kepada satu bab yang amat bermakna dalam kerjasama kami bersama Kia Sales Malaysia, ketika kami bersama-sama berusaha meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan di seluruh negara,” kata Adrian Short, CEO Cycle & Carriage Malaysia.

“Di Kia, kami percaya bahawa pengedar kami bukan sekadar sebuah premis fizikal. Di sinilah hubungan yang berkekalan dengan pelanggan bermula dan kepercayaan terhadap jenama kami dibina. Berpandukan tiga tonggak strategik kami iaitu Return, Rebuild and Reposition, kami terus memperkukuh setiap aspek pengalaman pemilikan pelanggan, daripada menawarkan kenderaan bertaraf dunia hinggalah menyediakan pengalaman jualan dan selepas jualan yang cemerlang. Dengan reputasi yang kukuh, kepakaran luas dalam industri automotif serta pendekatan yang mengutamakan pelanggan, Cycle & Carriage berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan pengalaman pemilikan yang mencerminkan kualiti produk serta piawaian jenama Kia,” kata Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek pula.

Pusat 3S Kia Cycle & Carriage Glenmarie terletak di alamat No. 1, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, Seksyen U1, 40150 Shah Alam, Selangor, Malaysia. Bilik pameran beroperasi setiap hari Isnin hingga Sabtu, dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang, dan pada hari Ahad dan cuti umum dari jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang. Pusat servis pula beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat, dan dari jam 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari pada Sabtu, dan ditutup pada Ahad serta cuti umum.