Denza Z versi produksi didedah – supercar EV dalam versi Coupe, Spider dan Racing, sehingga 1,604 PS

Denza secara rasmi memperkenalkan versi produksi bagi model sport elektrik Z pada acara Goodwood Festival of Speed, sekaligus menambah satu lagi model berprestasi tinggi dalam portfolio EV BYD selepas Yangwang U9. Jika U9 dibangunkan sebagai supercar eksotik, Denza Z pula diposisikan sebagai model yang lebih praktikal untuk kegunaan harian tanpa mengorbankan prestasi.

Model ini akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Coupé, Spider dan Racing. Varian Racing sebelum ini pernah dipertontonkan menerusi model konsep, manakala Spider membuat penampilan di Auto China 2026. Versi Coupé pula merupakan model produksi yang didedahkan buat kali pertama.

Kesemua varian menggunakan konfigurasi tiga motor elektrik seperti Z9GT. Motor hadapan menghasilkan 680 PS (500 kW) dan 440 Nm, manakala dua motor belakang masing-masing menjana 462 PS (340 kW) serta 410 Nm. Secara keseluruhan, sistem pacuan ini menghasilkan 1,604 PS (1,180 kW) dan 1,240 Nm.

Denza Z versi produksi didedah – supercar EV dalam versi Coupe, Spider dan Racing, sehingga 1,604 PS

Prestasinya agak mengagumkan. Walaupun mempunyai berat 2,230 kg, Coupé mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 2.25 saat dan 0-200 km/j dalam 6.36 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j. Spider pula hanya sedikit perlahan dengan catatan 2.3 saat bagi pecutan 0-100 km/j. Bagi varian Racing, penggunaan tayar semi slick membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya 1.96 saat, manakala kelajuan maksimum meningkat kepada 350 km/j.

Denza Z dibina di atas badan berukuran 4,780 mm panjang dengan jarak roda 2,780 mm, serta dipadankan dengan bateri BYD Blade generasi kedua berkapasiti 76 kWh. Jarak gerak mengikut piawaian WLTP boleh mencecah sehingga 409 km bagi Coupé, 400 km untuk Spider dan 380 km bagi Racing.

Model ini turut menyokong teknologi pengecasan pantas Flash Charging 1,500 kW milik BYD yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 70% dalam masa hanya lima minit, atau 10% hingga 97% dalam sembilan minit. Teknologi sama akan diperkenalkan di Malaysia menerusi Denza Z9GT yang dijadual dilancarkan pada 15 Julai ini.

Denza Z versi produksi didedah – supercar EV dalam versi Coupe, Spider dan Racing, sehingga 1,604 PS

Dari aspek pengendalian, Denza Z menjadi model pertama BYD yang menggunakan sistem suspensi adaptif DiSus-M dengan penyerap hentak magnetoreologi. Varian Coupé dan Spider menerima suspensi udara, manakala Racing menggunakan suspensi gegelung keluli.

Semua varian turut dilengkapi brek karbon-seramik serta sistem Vehicle Motion Control (VMC) yang mengawal operasi brek, suspensi dan stereng dalam masa hanya 10 milisaat. Turut disediakan ialah Tyre Burst Control System yang membantu mengekalkan kestabilan sekiranya berlaku letupan tayar, selain sistem torque vectoring pada gandar belakang.

Reka bentuk luarannya menampilkan lampu hadapan yang tirus, bahagian belakang yang lebar serta lampu belakang dengan grafik empat berlian. Varian Racing dibezakan menerusi kit aerodinamik yang lebih agresif termasuk splitter gentian karbon, liang udara tambahan dan rim aloi 21 inci, manakala sayap belakang bersaiz besar ditawarkan sebagai pilihan.

Di dalam kabin, Denza Z dilengkapi paparan instrumen digital bersaiz 8.88 inci serta skrin infotainmen 12.8 inci dengan sokongan perkhidmatan Google. Stereng turut mempunyai butang khas untuk mod Track dan Boost, dengan mod Boost meningkatkan penghantaran tork sebanyak 30% selama 20 saat. Sistem infotainmen juga menawarkan fungsi analisis masa pusingan, launch control, mod drift serta sehingga tiga profil pemanduan yang boleh disimpan.

Walaupun tampil sebagai sebuah kereta sport, Denza Z menawarkan konfigurasi empat tempat duduk serta ruang but sehingga 550 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Antara kelengkapan standard ialah tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, pintu soft-close, fungsi vehicle-to-load (V2L), cermin pandang belakang digital serta sistem audio Devialet dengan sokongan Dolby Atmos.

Di United Kingdom, Denza Z Coupé dijual pada harga bermula £142,900 (sekitar RM700,100), diikuti Spider pada £159,900 (RM872,700) dan Racing pada £172,900 (RM943,800). Denza turut mengesahkan varian Special Edition akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini dengan sasaran mencipta rekod di litar Nürburgring Nordschleife.

GALERI: Denza Z Coupé

GALERI: Denza Z Spider

GALERI: Denza Z Racing

Tags: