
Setelah unit pemanduan sebelah kanan Denza Z9GT mula dilihat di Malaysia, kini beberapa maklumat rasmi berkaitan penawaran model station wagon tersebut di Malaysia juga mula disahkan. Denza Z9GT sudah beberapa kali dipertontonkan di Malaysia.
Untuk pasaran tempatan, hanya akan ada satu tahap spesifikasi ditawarkan, iaitu dalam bentuk janaan bateri-elektrik. Tiada versi PHEV, sekurang-kurangnya ketika pelancaran rasminya kelak. Menurut syarikat itu, Malaysia juga akan menjadi pasaran Asia-Pasifik pertama di luar China yang menerima Z9GT 2026.
Satu-satunya tawaran BEV Z9GT ialah spesifikasi pacuan semua roda yang terdiri daripada satu motor di depan dengan janaan 313 PS/430 Nm dan dua lagi motor di belakang yang masing-masing menghasilkan 422 PS dan 400 Nm — ini memberikan janaan kuasa gabungan yang dihasilkan ialah 1,156 PS dan 1,210 Nm, membolehkan Z9GT memecut dari 0-100 km/j dalam 2.7 saat.

Ketika pelancarannya nanti, Denza Z9GT akan menampilkan versi terkini yang dikemas kini tahun ini, dan menjadi model pertama jenama itu di Malaysia yang menampilkan bateri Blade generasi kedua BYD — dengan peningkatan kapasiti kepada 122.49 kWh, berbanding 100 kWh pada versi sebelumnya — dan teknologi Megawatt Flash Charging, dengan kadar sehingga 1,500 kW seperti terdapat di luar negara. Bateri 122.49 kWh ini akan menawarkan jarak sehingga 600 km (WLTP).
BYD Malaysia telah mengesahkan rancangan untuk memperkenalkan Megawatt Flash Charging ke pasaran Malaysia, dengan pelan penggunaannya kini dalam fasa penyelidikan dan perancangan. Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, penggunaan awal akan tertumpu pada bilik pameran dan pusat servis BYD dan Denza terpilih.
Dengan seni bina 1,000 volt, dan menggunakan pengecas pantas DC khusus, Z9GT boleh dicas dari SoC 10%-70% hanya dalam lima minit, atau dari 10%-90% dalam sembilan minit. Sebaliknya, untuk membekalkan elektrik untuk peralatan atau peranti luaran, Z9GT juga menyediakan 4 kW dalam output V2L (vehicle-to-load).

Denza Z9GT menggabungkan sistem janaan dengan tiga-motornya dengan stereng roda belakang yang berfungsi pada sudut sehingga 20-darjah, sekali gus membolehkan radius pusingan 4.62 m walaupun panjang keseluruhan kereta ini lebih lima meter. Rim pula hadir dengan saiz 20-inci, dengan tayar Continental EcoContact 7 bersaiz 255/45R20.
Mod Intelligent Crab Walk juga tersedia untuk Z9GT, dan ini memudahkan kereta ini dikendalikan dalam ruang sempit dan terhad. Turut ada untuk Z9GT ialah sistem suspensi udara pintar DiSus-A, dan penalaan suspensi serta penyerap hentak untuk pasaran Malaysia adalah sama dengan versi di pasaran Eropah.
Sentuhan premium pada Denza Z9GT diteruskan di dalam kabin, dengan paparan panel instrumen digital, dengan paparan penumpang hadapan yang merangkumi skrin 13.2 inci dan disertai oleh skrin infotainment utama bersaiz 17.3-inci dengan resolusi 2.5K.
Pemandu juga mendapat ciri head-up display 50-inci bersama dengan skrin “cermin” pandangan belakang digital 9.1-inci, dan skrin sentuh enam-inci untuk penumpang belakang. Ciri berkenaan turut menampilkan set Google Automotive Services yang terdiri daripada Google Maps, Google Assistant dengan kesepaduan penuh sistem dipaparkan.
Ciri-ciri keselesaan dalam kabin Z9GT termasuk fungsi urutan berbilang titik untuk semua tempat duduk, serta fungsi pemanasan dan pengudaraan dengan penghawa dingin dua-zon. Untuk sistem audio, ia dilengkapi oleh sistem Devialet dengan 20-pembesar suara.
Kelengkapan keselamatan untuk Denza Z9GT 2026 ini antara lain terdiri daripada sembilan-beg udara, serta ciri ADAS yang dibantu oleh sensor lidar yang dipasang di bumbung — ciri yang datag untuk kemas kini terbaru model tahun 2026 ini.
Untuk pilihan warna luaran, warna emas dan hitam akan ditawarkan untuk Denza Z9GT pasaran Malaysia, manakala bahagian dalaman akan mempunyai tiga kombinasi pilihan; coklat gelap dan merah, coklat gelap dan kuning air, serta hitam.
Setakat ini, masih belum ada petunjuk untuk harga rasmi bagi Denza Z9GT di Malaysia. Jika merujuk kepada pasaran Eropah, Denza Z9GT dijual dengan harga dari 117,500 Euro, atau sekitar RM549k dengan kadar pertukaran matawang asing semasa. Mungkin untuk pasaran tempatan juga harganya hampir sama?
