UMW Toyota Motor jual 7,300 kenderaan pada Jun 2026 – tutup Q2 dengan 20,800 unit, YTD 36,200 unit

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan sebanyak 7,300 kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan sepanjang Jun 2026, sekaligus menutup suku kedua tahun ini dengan jumlah keseluruhan 20,800 unit. Apabila ditambah dengan jualan pada suku pertama, jumlah terkumpul syarikat bagi tempoh enam bulan pertama 2026 kini mencapai 36,200 unit.

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran Kurusamy, prestasi yang dicatatkan pada suku kedua mencerminkan keyakinan berterusan pengguna terhadap rangkaian model Toyota serta pilihan teknologi yang ditawarkan kepada pasaran.

Beliau berkata, komitmen syarikat bukan sekadar memperkenalkan model baru, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pemilikan yang menawarkan lebih banyak pilihan, keyakinan dan kemudahan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Tambah beliau lagi, pendekatan pelbagai hala (multi-pathway) yang diterapkan, digabungkan dengan inovasi yang mempamerkan hala tuju mobiliti masa hadapan serta pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengalaman pemilikan harian, membolehkan UMW Toyota terus menawarkan penyelesaian mobiliti yang relevan, praktikal dan diyakini oleh rakyat Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada strategi tersebut, UMW Toyota telah memperkenalkan tiga model kenderaan elektrik (EV) pada April lalu, iaitu Urban Cruiser EV, Hilux EV dan bZ4X. Sebulan kemudian, syarikat turut melancarkan Yaris Cross yang ditawarkan dengan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta hibrid elektrik (HEV), sama seperti Toyota Vios yang menerima varian HEV pada Januari lalu.