Industri automotif China kini bukan sahaja dilihat cuba mendominasi pasaran kenderaan penumpang biasa, malah beberapa jenama dari tanah besar itu mula ‘menyerang’ dunia jentera prestasi. Lihat sahaja model-model seperti BYD Yangwang U9 dan Xiaomi SU7 yang kini mula mencatatkan pelbagai rekod kelajuan dan catatan lap terpantas di litar Nürburgring, memadamkan rekod-rekod yang dibuat oleh jenama-jenama prestasi Eropah seperti Porsche dan sebagainya.
Bagi Ferrari, ia tidak menafikan teknologi dan kelajuan yang dicapai oleh jenama-jenama China ini, namun satu perkara yang masih ketinggalan berbanding model-model keluaran Eropah adalah ’emosi’ yang diterapkan.
“Kami rasa mereka (mencapai) kemajuan yang luar biasa dari segi prestasi. Saya fikir mereka masih sedikit ketinggalan dari segi emosi pemanduan,” kata pengarah pemasaran global Ferrari, Emanuele Carando yang kini kerap ke China untuk meninjau perkembangan pasaran dan menguji pelbagai model-model EV prestasi tempatan.
Carando berkata demikian kepada GoAuto dalam responnya terhadap persoalan mengapa Ferrari menjadikan Xiaomi SU7 Ultra sebagai kayu ukur pembinaan EV pertamanya iaitu Ferrari Luce yang baru didedahkan baru-baru ini.
“Membangunkan kereta untuk dipandu laju di laluan lurus bukanlah sesuatu yang sukar. Membangunkan kereta yang sangat tepat apabila memasuki selekoh, ia kekal rata, tidak bergoyang, tidak ada olengan, dan ia memberi anda keyakinan dan emosi… inilah yang kami cuba lakukan. Anda tahu anda memandu Ferrari, bukan sahaja apabila anda memandu laju,” tambah Carando.
Carando tetap mengakui persaingan dari jenama-jenama China ini juga membantu Ferrari untuk terus menghasilkan jentera yang lebih baik dan tidak hanyut dalam zon selesa.
“Kami memang suka persaingan. Saya fikir apabila terdapat pasaran (yang kompetitif), terdapat lebih banyak perkara yang perlu dipelajari, dan terdapat juga seseorang yang boleh mencabar anda.
“Setiap kali anda berjoging, anda menentukan rentak anda sendiri, tetapi apabila seseorang datang dekat dengan anda, walaupun anda agak letih, anda akan memecut sedikit. Saya fikir itulah sebabnya ia sangat penting: persaingan,” jelasnya.
“Saya rasa mereka membangunkan permata yang luar biasa – sungguh. Tahap teknologi, tahap keselesaan dan tahap ciri yang dimiliki kereta adalah unik,” kata komen Carando terhadap Xiaomi SU7 yang dilihat berada di ibu pejabat Ferrari di Maranello tahun lalu.
“Tetapi saya rasa gabungan keseluruhannya sangat berbeza berbanding apa yang dihasilkan oleh Ferrari. Mereka (China) memang membangunkan kereta yang boleh digunakan secara habis pakai. Setiap bulan kereta baharu muncul, dan kereta lama anda menjadi lama,” tambahnya.



