Sime Beyond Auto lancar pusat 1S BYD Sri Petaling – bilik pameran berkonsep ala-sukan diperkenal Ogos ini

Sime Beyond Auto, anak syarikat Sime Motors, telah melancarkan cawangan BYD keenamnya yang terletak di Sri Petaling. Pusat 1S itu menyertai BYD Mansion Macalister yang baru dibuka di Pulau Pinang, selain cawangan sedia ada di Ara Damansara (Selangor), Mid Valley Southkey (Johor), Kuala Lumpur (di TREC) dan Tebrau (Johor).

Walaupun BYD Sri Petaling kini beroperasi sepenuhnya, Sime Beyond Auto memaklumkan dalam kenyataannya bahawa pusat berkenaan akan menjalani kerja naik taraf pada Ogos ini bagi memperkenalkan konsep bilik pameran berinspirasikan sukan. Langkah itu selaras dengan pendekatan baharu syarikat dalam reka bentuk bilik pamerannya yang berteraskan elemen warisan, yang pertama kali diperkenalkan menerusi cawangan di Pulau Pinang.

Memandangkan BYD Sri Petaling terletak di koridor Bukit Jalil–Sri Petaling, lokasi tersebut akan menampilkan konsep yang diinspirasikan daripada legasi sukan Bukit Jalil sebagai lokasi Stadium Nasional dan pelbagai kemudahan sukan lain. Setelah kerja naik taraf selesai, antara tarikan utama termasuk sebuah ruang penyerahan kenderaan khas yang direka umpama “padang tengah” (centre field), melengkapi ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga lima buah kereta serta sebuah ruang rehat pelanggan.

“Perkembangan Sime Beyond Auto mencerminkan komitmen kami untuk memperluaskan akses kepada jenama BYD dan mengukuhkan kehadiran kami di seluruh Malaysia. Setiap cawangan baharu melambangkan usaha kami untuk membawa pengalaman BYD lebih dekat kepada rakyat Malaysia, di samping meningkatkan standard kecemerlangan dalam jualan runcit automotif serta perkhidmatan selepas jualan,” kata Pengarah Urusan, Peruncitan dan Pengedaran Malaysia, Sime Motors, Vi Thim Juan