Jangan hanya lihat M’sia sebagai tempat jual kereta, pengeluar perlu ada pelan lokalisasi berkesan – MITI

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekali lagi menegaskan bahawa pengeluar automotif perlu meningkatkan penggunaan kandungan tempatan bagi model pemasangan tempatan (CKD), dan tidak melihat Malaysia sekadar sebagai pasaran untuk menjual kenderaan.

Ketika berucap pada majlis pelancaran MCE Auto Hub di Serendah hari ini, beliau berkata kerajaan mahu setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi nilai tambah kepada industri automotif negara, termasuk menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan.

Menurut beliau, MITI bukan sekadar meluluskan permohonan pengeluar untuk memasarkan model baru di Malaysia, malah kementerian itu turut mencari rakan pelaburan yang mampu membawa teknologi canggih, keupayaan kejuruteraan serta operasi bertaraf global bagi memperkukuhkan asas industri negara.

Jangan hanya lihat M’sia sebagai tempat jual kereta, pengeluar perlu ada pelan lokalisasi berkesan – MITI

“Setiap kali pelabur datang berjumpa saya, khususnya daripada sektor automotif untuk mendapatkan kelulusan model baru, saya akan beritahu bahawa Malaysia bukan sekadar tempat untuk menjual kereta. Kami mahu mereka membawa bersama teknologi, komponen dan menjadikan Malaysia sebagai hab operasi mereka,” katanya.

Johari mengakui adalah mustahil untuk sesebuah model mencapai kadar kandungan tempatan 100%. Namun begitu, beliau menegaskan pengeluar yang telah bertapak di negara ini perlu melaksanakan lokalisasi yang benar-benar berkesan dalam sebahagian besar operasi pemasangan tempatan mereka.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan vendor tempatan terus menerima manfaat daripada pelaburan tersebut, sekaligus menjamin kelangsungan syarikat dalam rantaian bekalan automotif serta peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Jangan hanya lihat M’sia sebagai tempat jual kereta, pengeluar perlu ada pelan lokalisasi berkesan – MITI

“Ada (pelabur) yang bertanya kepada saya, “Datuk, kami di sini mahu bawa kereta kami, kami mahu kerajaan beri (insentif) duti import, duti eksais, cukai jualan.” Saya kata, ‘Jika anda mahu begitu (tanpa lokalisasi), jadi kami tidak perlu bina eksosistem ini.’ Kita sudah mempunyai lebih 730 syarikat yang terlibat dalam rangkaian bekalan ini. Kami sudah bangunkan 700,000 peluang pekerjaan. Bayangkan, jika semua datang dari luar negara, apa akan terjadi pada 730 syarikat dan 700,000 pekerja dalam negara ini?”

Dalam masa yang sama, Johari berkata Malaysia perlu mula membangunkan kepakaran dalam bidang yang menjadi tunjang industri automotif masa hadapan, termasuk reka bentuk dan kejuruteraan, pembangunan perisian, elektronik automotif, teknologi bateri, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) serta penyelesaian mobiliti pintar.

Beliau mengakui usaha membangunkan keupayaan tersebut tidak akan memberikan hasil dalam tempoh singkat dan mungkin mengambil masa lima hingga sepuluh tahun. Namun, menurutnya, pembangunan itu perlu dimulakan sekarang menerusi kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan sektor automotif negara kekal berdaya saing pada masa hadapan.