Kandungan CKD perlu jana nilai dalam rantai bekalan, bukan sekadar pasang komponen import — Johari

Dalam ucapannya ketika acara perasmian MCE Auto Hub di Serendah har ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bahawa kandungan tempatan yang digunakan dalam kenderaan pemasangan tempatan (CKD) mesti berkeupayaan untuk menjana nilai dalam seluruh rantaian bekalan di Malaysia.

“Memberi perhatian hanya terhadap pembekal Tahap 1 tidak lagi memberikan gambaran yang tepat. Kita mesti mengesan penciptaan nilai dalam seluruh rantaian bekalan yang ada — sama ada Tahap 1, Tahap 2 atau Tahap 3 — untuk memastikan bahawa insentif yang diberikan akan menyumbang kepada keupayaan pengeluaran di Malaysia, dan bukan sekadar kandungan import yang disamarkan sebagai pengeluaran tempatan,” ujarnya.

Johari menambah, pengeluar kenderaan di Malaysia digalakkan untuk berusaha meningkatkan jumlah kandungan tempatan dalam produk mereka. “Jika anda boleh menghadirkan 10% ketika ini, maklumkan kepada kami bila anda boleh menghadirkan 20%. Bagaimanakah caranya untuk anda menjadikan kandungan tempatan kepada 20%? Jika anda sudah mempunyai 20%, bagaimana anda mengembangkannya kepada 30%? Jika anda sudah mempunyai 30%, bagaimana anda akan meningkatkannya kepada 40%?” katanya ketika memberikan contoh.

“Apabila anda mencapai tahap itu, saya — sebagai seorang menteri — akan menjelajah ke seluruh dunia untuk mempromosikan produk anda. Itulah yang saya ingin lakukan, kerana ini boleh dianggap sebagai produk buatan Malaysia walaupun jenama ini dimiliki oleh anda semua. Inilah yang saya ingin lakukan untuk memastikan kita sentiasa membina dan mengukuhkan keupayaan kita di peringkat tempatan,” tambahnya.

Meningkatkan kandungan tempatan dalam kenderaan yang dipasang di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru, dan sentiasa menjadi tumpuan kerajaan. Kenyataan Johari itu ditujukan kepada kenderaan yang sebahagian besar komponennya diimport dari luar negara, tetapi dipasang di Malaysia, yang tidak memberi manfaat kepada pembekal tempatan kerana mereka mungkin hanya membekalkan komponen asas seperti bateri atau kepingan kecil. Ini juga menghadkan potensi pemindahan pengetahuan kerana mereka tidak terlibat dalam membekalkan komponen yang lebih canggih.