Lanjutan daripada ucapannya ketika merasmikan pelancaran Hab Auto MCE di Serendah hari ini berkaitan kandungan CKD di Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut memberi penekanan bahawa kerajaan mahu semua pengeluar kereta di Malaysia — bukan hanya Proton dan Perodua — untuk mempunyai kandungan tempatan dalam kenderaan mereka. Beliau juga menambah bahawa peningkatan jumlah kenderaan import sepenuhnya (CBU) hanya akan membahayakan ekosistem pembekal di Malaysia.
“(Proton dan Perodua) secara kolektif menyumbang lebih RM15 bilion dalam nilai pembelian tempatan. Bagi kebanyakan kenderaan pemasangan tempatan hari ini, kerajaan mahu mereka menyertakan kandungan buatan Malaysia dalam jumlah yang besar, serta disokong oleh rantaian pembekal yang menerapkan teknologi yang semakin canggih.
“Kami mahu setiap kilang pemasangan bagi kenderaan yang masuk ke negara ini — bukan hanya pengeluar kereta tempatan — berusaha keras dalam memastikan terdapatnya penglibatan penghasilan kandungan tempatan dalam setiap aspek oleh pembekal di Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa kandungan tempatan mesti merangkumi penjanaan nilai dan bukan sekadar komponen import yang dipasang di sini.
Menteri MITI itu juga berkata bahawa Malaysia kini mempunyai kira-kira 730 vendor automotif khusus yang menyokong ekosistem yang menggaji lebih 700,000 pekerja, dan menyumbang sebanyak RM84 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sepanjang tahun lalu.
Merujuk kepada gelombang pengeluar kenderaan China (terutamanya EV) dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata: “Sepanjang tempoh tersebut, jurang defisit perdagangan Malaysia dalam kenderaan bermotor serta alat ganti dan komponen telah melebar dengan ketara, daripada RM13 bilion pada tahun 2020 kepada RM33.8 bilion pada tahun 2025.”
“Tanpa tindak balas yang strategik dan berpandangan jauh, ada risiko sebenar bahawa kenderaan dan komponen import akan terus menguasai pasaran serta meningkatkan tekanan ke atas ekosistem pembekal domestik kita. Kita mesti melindungi lebih daripada 700,000 pekerjaan yang menyokong ekosistem ini,” tambahnya.
“Penyepaduan vendor tempatan ke dalam rantaian bekalan pengeluar kenderaan akan membolehkan Malaysia meningkatkan rantaian nilai secara progresif, yang melangkaui daripada sekadar memasang kit import kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti kejuruteraan, integrasi sistem dan pembangunan komponen,” tambah Johari.
“Dalam konteks serantau yang lebih luas, Malaysia tidak seharusnya berusaha untuk bersaing berdasarkan jumlah sahaja. Hasrat Malaysia adalah untuk menjadi hab ASEAN bagi kecerdasan automotif, yang merangkumi pengkhususan dalam bidang elektronik automotif, integrasi semikonduktor dan mekatronik kompleks. Industri-industri tersebut menjana gaji yang lebih tinggi, keupayaan teknologi yang lebih mendalam serta daya tahan ekonomi jangka panjang,” tambahnya lagi.


