Chevrolet Sales (Thailand) Co., Ltd. (CST) menyeru pemilik kenderaan di Malaysia berhubung kempen panggilan balik inflator beg udara Takata yang masih berjalan. Kempen panggilan balik ii telah dilancarkan sejak pertengahan tahun 2022, namun sambutan daripada pemilik model yang terlibat agak kurang memberangsangkan.

“Pemilik yang belum mengganti beg udara secara percuma digalakkan berbuat demikian selagi kemudahan sokongan tempatan di Malaysia masih tersedia sehingga Disember 2026.

“CST sekali lagi menghebahkan seruan akhir ini kepada pemilik kenderaan, di samping rakan dan ahli keluarga mereka, bagi menyebarkan maklumat dan memastikan kenderaan terbabit selamat digunakan untuk jangka panjang,” kata CST menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Kempen panggilan balik ini melibatkan model-model berikut:
• Chevrolet Cruze (model 2010–2015)
• Chevrolet Orlando (model 2013–2015)
• Chevrolet Sonic (model 2013–2014)
• Chevrolet Trax (model 2017)
• SAAB 9-3 (model 2007)

Menurut CST, sejak dari mula, kerja penggantian dijalankan dengan kerjasama Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) menerusi pengedar sah terpilih. Namun kerjasama ini akan berakhir pada Disember 2026 dan oleh itu pemilik digalakkan menggunakan rangkaian HMSB sebelum penghujung tahun 2026.

Walau bagaimana pun, CST turut berkata, kempen panggilan balik beg udara Takata akan diteruskan selepas Disember 2026. “Namun begitu, setelah kemudahan sokongan yang berpusat di Malaysia berakhir, pemilik yang masih belum membuat penggantian perlu mendapatkan khidmat penggantian percuma ini di lokasi yang ditetapkan di Singapura dan Yala, Thailand.

“Bagi terus membantu pemilik kenderaan terjejas di Malaysia selepas Disember 2026, CST akan menyediakan maklumat mengenai pilihan penggantian serta saluran hubungan pelanggan menerusi laman web panggilan balik CST, www.chevrolettakatarecallmy.com,” tambah CST.

CTS turut berkata, kempen panggilan balik ini melibatkan inflator beg udara Takata generasi lama tertentu yang menggunakan propelan PSAN yang tidak kering (non-desiccated PSAN propellant). Pendedahan berpanjangan kepada kelembapan tinggi dan suhu panas boleh menyebabkan propelan ini merosot dari semasa ke semasa. Jika beg udara berkembang ketika berlaku perlanggaran, keadaan ini boleh meningkatkan tekanan dalaman sehingga menyebabkan sarung inflator pecah, lalu membahayakan keselamatan penumpang.

Untuk urusan selepas Disember 2026, atau bagi pemilik yang ingin membuat penggantian dengan segera, para pemilik model terlibat boleh menghubungi Pusat Bantuan Pelanggan CST di +662 020 5720 atau melalui e-mel [email protected] untuk urusan dan bantuan secara terus.

Sebagai pilihan lain, pelanggan boleh membuat penggantian terus di dua lokasi sah iaitu di Autosales Co., Ltd. (Yala), 928, Sirorot Road, Tambon Sateng, Amphoe Mueang Yala, 95000, Thailand dan juga Alpine Motors Pte Ltd, 7 Ubi Close, Singapura.