MCE Holdings secara rasminya melancarkan MCE Auto Hub petang semalam dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kemudahan pengeluaran bernilai RM50 juta itu terletak di UMW High Value Manufacturing Park, di Serendah, Selangor.
Pembekal automotif Tahap-1 yang disenaraikan di bursa itu menjelaskan bahawa MCE Auto Hub akan memperkukuh keupayaan reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan serta R&D-nya.
Digambarkan sebagai hab pembuatan dan kejuruteraan utama syarikat itu, kemudahan seluas lapan ekar itu merupakan fasa pertama bagi pelan pelaburan jangka panjang MCE mencecah angka RM200 juta. Ia juga bakal menggandakan kapasiti pengeluaran kumpulan syarikat itu lebih daripada dua kali lipat dalam bidang elektronik automotif dan penyelesaian mekatronik.
“Pelaburan ini menandakan langkah penting dalam pembangunan berterusan industri automotif Malaysia serta merupakan cerminan keyakinan terhadap MCE Holdings dan masa depan Malaysia. Dalam industri yang sangat kompetitif, adalah penting bagi pembekal tempatan untuk terus mengejar kecemerlangan pembuatan dengan memupuk kepakaran kejuruteraan, inovasi dan teknologi,” kata Johari.
“Bermula dengan kontrak pertama yang membekalkan penggera jarak jauh dan sistem pengunci pusat untuk pasaran domestik pada tahun 1990, MCE terus melabur dalam memperkukuhkan keupayaan kami. Selama bertahun-tahun, kami telah mengembangkan portfolio kami, daripada komponen automotif tradisional hinggalah kepada penyelesaian elektronik dan mekatronik automotif yang lebih canggih,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Goh Kar Chun.
“Hari ini, kami menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dengan membekalkan penyelesaian elektronik serta mekatronik automotif yang semakin canggih. MCE Auto Hub merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan itu, sekali gus mencerminkan keyakinan kami bahawa keupayaan kejuruteraan, bakat serta aspek pembuatan dan pengeluaran Malaysia mampu bersaing di pentas dunia,” tambahnya.
Direka bentuk sebagai sebuah kilang yang mampu menampung keperluan Industri 4.0, MCE Auto Hub antara lain terdiri daripada kawasan pengeluaran ruang bersih dan persekitaran pembuatan yang dikawal ketat, diperlukan untuk elektronik automotif yang semakin maju untuk kenderaan ICE dan EV. Dengan kilang di Serendah ini mula beroperasi, kumpulan syarikat yang berpangkalan di Johor tersebut kini menggaji seramai 680 kakitangan, termasuk 90 jurutera. Kemudahan MCE yang lain berada di Johor Bahru dan Pelabuhan Klang.
“Kami percaya masa depan industri automotif Malaysia akan dibina melalui kerjasama yang lebih kukuh antara pengeluar kenderaan, pembekal Tahap-1 serta pemain ekosistem tempatan, termasuk syarikat semikonduktor dan E&E. Dengan kerja sama itu, kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang untuk teknologi yang dibangunkan oleh Malaysia untuk disertakan ke dalam aplikasi dan rantaian bekalan automotif, disamping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk elektronik automotif,” kata Goh.



