Harga minyak 9-15 Julai – semuanya dikekalkan

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 9 hingga 15 Julai 2026, harga runcit bagi semua bahan api utama di Malaysia dikekalkan. Ini bermakna RON97 masih dikekalkan kepada RM4 seliter.

Begitu juga RON95 tanpa subsidi juga masih berharga RM3.37 seliter, manakala harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.

Untuk harga runcit diesel tanpa subsidi pula, ia juga kekal RM3.97 seliter. Manakala diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula ditetapkan pada RM2.15 seliter.

Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (9 Julai) sehingga jam 11.59 malam pada 15 Julai 2026. Ini merupakan edisi ke-29 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-392 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.