Perodua QV-E dilapor ditempah sebanyak 1,700 unit

Laporan penyelidikan Hong Leong Investment Bank terhadap MBM Resources telah mendedahkan bahawa Perodua telahpun menerima tempahan sebanyak 1,700 unit EV QV-E, menurut New Straits Times. Walau bagaimanapun, laporan tersebut tidak mempericikan sama ada ia adalah tempahan keseluruhan sejak model ini pertama kali dilancarkan pada Disember tahun lalu, atau hanya selepas harga baharunya di umum pada 15 Jun lalu.

Namun berdasarkan rujukan Data Jualan Kereta paultan.org, hanya 182 QV-E direkodkan telah didaftarkan sehingga Mei lalu, termasuk 40 unit untuk bilik pameran dan pandu uji, dan 72% daripada pendaftaran berkenaan dibuat pada April dan Mei (data untuk Jun belum lagi dikeluarkan).

Ketika dilancarkan pada Disember lalu, Perodua QV-E dijual pada harga RM80,000 tanpa bateri, manakala bayaran bagi program sewaan bateri (Battery-as-a-Service atau BaaS) pula adalah RM275 sebulan untuk sembilan tahun. Namun pada 15 Jun 2026, harga bagi EV pertama Perodua ini telah dirombak lebih murah iaitu RM93,999 lengkap bersama bateri, atau RM69,999 sekiranya anda memilih untuk memilikinya dengan program BaaS, juga dengan bayaran bulanan lebih rendah iaitu RM215 termasuk cukai untuk sembilan tahun.

Malah sehingga 30 September 2026, QV-E turut ditawarkan dengan harga promosi yang lebih rendah iaitu RM87,499 lengkap dengan bateri atau RM63,499 dengan pakej BaaS (bayaran bulanan kekal RM215 selama sembilan tahun).

Laporan penyelidikan ini turut menyatakan bahawa sehingga kini Perodua mempunyai tunggakan pesanan sekitar 43,000 unit kenderaan, dan Perodua Traz menerima permintaan yang menggalakkan. Rujukan menerusi Data Jualan Kereta paultan.org menunjukkan bahawa sebanyak 9,242 unit Traz telah didaftarkan sejak ia dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu.

Tags: