Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menawarkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral dan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral pada hujung minggu ini bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan di sektor selatan, khususnya dalam kalangan penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara sempena Pilihan Raya Negeri Johor.

“Penawaran tren ETS tambahan ini dibuat susulan permintaan tinggi orang ramai, selepas tiket tren tambahan yang dijual pada 19 Jun lalu telah habis dijual. Sehubungan dengan itu, KTMB menambah lagi empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral.

Penjualan tiket bagi tren tambahan bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral telah dibuka sejak petang semalam, manakala jualan tiket tambahan bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral pula mula dibuka pagi ini,” kata KTMB.

Menurutnya lagi, sebanyak empat perkhidmatan tren tambahan bagi kedua-dua laluan akan beroperasi dari 10 hingga 12 Julai 2026, dengan kapasiti 312 tempat duduk bagi setiap perjalanan. Secara keseluruhannya, KTMB menawarkan 2,488 tempat duduk tambahan sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,464 tiket sepanjang tiga hari pengoperasian.

KTMB tawar diskaun 20% untuk tren ETS tambahan laluan JB-KL-JB pada 10-12 Julai sempena PRN Johor

“Inisiatif ini memberi lebih banyak pilihan masa perjalanan kepada pengguna, khususnya para pengundi Negeri Johor yang merancang perjalanan pergi dan balik dari dan ke selatan tanah air dengan lebih selesa, teratur dan lancar. Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel, KTMB turut menawarkan tambang promosi sebanyak 20% bagi perkhidmatan ETS tambahan ini melibatkan laluan yang terlibat sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai 2026,” kata KTMB lagi.

Sehubungan itu, KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan, selain mengelakkan pembelian pada saat akhir. Para penumpang juga dinasihatkan supaya tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal bagi memastikan proses menaiki tren berjalan lancar. Pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas.

Tiket boleh dibeli secara tanpa tunai melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau mesin kios KTMB di stesen terpilih. Maklumat terkini mengenai perkhidmatan tren tambahan, termasuk jadual waktu perjalanan, boleh diperoleh melalui platform media sosial rasmi KTMB. Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.