Leapmotor C10 Plus – galeri penuh EV CBU buatan tahun 2025 dengan potongan harga, dari RM129k

Dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu, Leapmotor C10 Plus merupakan varian terbaru bagi SUV elektrik (EV) segmen-D jenama itu yang ditawarkan di pasaran tempatan, tidak mengambil kira model facelift yang telah diperkenalkan di China.

Kini, ia diberikan potongan harga, dijual bermula RM129,000, berbanding sebelum ini RM139,000 termasuk rebat pelancaran sebanyak RM9,000. Bagaimanapun, unit yang ditawarkan adalah terhad dan kesemuanya merupakan model import sepenuhnya (CBU) yang dikeluarkan pada tahun 2025.

Difahamkan, tiada perancangan untuk memasang varian sistem elektrik 800 volt ini di dalam negara (CKD) . Ini bermakna jangka hayatnya di pasaran Malaysia mungkin tidak panjang, memandangkan syarat baru kerajaan terhadap EV CBU yang semakin ketat. Walaupun program pemasangan tempatan C10 telah pun bermula di kilang Stellantis Gurun, ia hanya melibatkan varian dengan sistem elektrik 400 volt.

Leapmotor C10 Plus – galeri penuh EV CBU buatan tahun 2025 dengan potongan harga, dari RM129k

Dari segi spesifikasi, C10 Plus menerima pek bateri LFP berkapasiti 81.9 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 510 km mengikut kitaran WLTP. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 30% ke 80% dalam masa hanya 22 minit.

Kuasa pula disalurkan kepada roda belakang menerusi sebuah motor elektrik yang menghasilkan 299 PS dan 360 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam tempoh 6.2 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 190 km/j. Kesemua angka ini merupakan peningkatan berbanding C10 standard yang menggunakan sistem elektrik 400 volt.

Selain peningkatan pada rangkaian kuasa, kelengkapan lain kekal hampir sama seperti varian biasa. Antara ciri yang ditawarkan termasuk pengecas AC 11 kW, ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 32 liter, ruang but 435-1,410 liter, rim aloi 20 inci dengan tayar 245/45, lampu tinggi automatik, bumbung panoramik, tujuh beg udara, sistem ADAS penuh, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci serta sistem audio dengan 12 pembesar suara.

Namun begitu, C10 Plus masih belum menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain masih menggunakan pemegang pintu konvensional. Kad kunci NFC yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan juga masih dikekalkan.

Sebagai penambahbaikan, Leapmotor kini memperkenalkan fungsi kunci digital menerusi aplikasi telefon pintar. Pengguna hanya perlu menghampiri kenderaan untuk membuka kunci secara automatik, kemudian menekan pedal brek dan memasukkan kod empat digit sebelum memulakan pemanduan. Untuk mengunci semula kenderaan, pengguna hanya perlu berjalan menjauhi kereta.

Walaubagaimanapun, sistem kunci digital ini beroperasi menggunakan sambungan Bluetooth dan bukannya teknologi Ultra Wideband (UWB) seperti yang digunakan oleh Tesla dan BMW. Justeru, tahap ketepatan pengesanan dan kelajuan maklum balasnya tidaklah setanding sistem berasaskan UWB.

Tags: