Geely Preface L90 dalam teaser – guna asas Galaxy Starshine 7, enjin petrol 1.5T dan 2.0T, hibrid i-HEV

Geely dijadual memperkenalkan sedan Preface generasi kedua, atau Xingrui di pasaran China pada 10 Julai ini selepas hampir enam tahun model tersebut berada di pasaran. Model baru itu akan menggunakan nama Preface L90, dan seperti Emgrand generasi terbaru, dibangunkan berasaskan sebuah model kenderaan tenaga baru (NEV) di bawah siri Galaxy, iaitu Galaxy Starshine 7.

Menjelang pelancarannya, Geely telah menyiarkan gambar teaser yang memperlihatkan profil sisi Preface L90. Reka bentuknya sepadan dengan imej yang sebelum ini didedahkan menerusi pemfailan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), memperlihatkan penampilan yang banyak berkongsi elemen dengan Starshine 7.

Walaubagaimanapun, bahagian hadapan diberikan identiti tersendiri menerusi gril enam bucu dengan rekaan lebih tajam serta bampar hadapan berbentuk ‘X’. Di belakang pula, sedan ini menerima lampu belakang LED penuh yang direka semula bersama sepasang muncung ekzos berbentuk trapezoid.

Geely Preface L90 dalam teaser – guna asas Galaxy Starshine 7, enjin petrol 1.5T dan 2.0T, hibrid i-HEV

Menurut spesifikasi awal yang dilaporkan oleh Autohome, dimensi Preface L90 hampir sama dengan Starshine 7. Ia berukuran 4,956 mm panjang, hanya dua milimeter lebih pendek berbanding model berkenaan, manakala lebarnya kekal 1,915 mm dan tinggi 1,505 mm. Jarak roda pula ialah 2,845 mm.

Perbezaan paling ketara sudah tentu terletak pada rangkaian kuasa yang ditawarkan. Jika Starshine 7 diposisikan sebagai model plug-in hybrid (PHEV), Preface L90 pula terus mengekalkan pilihan enjin pembakaran dalaman yang dibawa daripada model terdahulu.

Dua pilihan enjin petrol pengecas turbo masih ditawarkan, terdiri daripada unit 1.5 liter yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork serta enjin 2.0 liter dengan kuasa 272 PS dan tork maksimum 400 Nm. Kedua-duanya dijangka dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan, sama seperti yang digunakan pada model semasa.

Geely Preface L90 dalam teaser – guna asas Galaxy Starshine 7, enjin petrol 1.5T dan 2.0T, hibrid i-HEV

Selain itu, sistem hibrid i-HEV turut dikekalkan. Rangkaian kuasa ini menggabungkan enjin 1.5 liter NA yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm tork bersama sebuah motor elektrik berkuasa 190 PS dan 240 Nm, dipadankan dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) satu kelajuan dengan konfigurasi 11-dalam-1.

Berbeza dengan Starshine 7, sistem i-HEV pada Preface L90 tidak lagi menggunakan pek bateri berkapasiti 28.3 kWh yang lebih besar. Hasilnya, sedan ini mencatat penggunaan bahan api gabungan serendah 3.98 liter bagi setiap 100 km, bersamaan 25.1 km bagi setiap liter mengikut angka yang didakwa pengeluar.

Dalam perkembangan berkaitan, teknologi i-HEV ini turut dijangka diperkenalkan pada model Proton dalam tahun ini dan Proton pernah mempamerkan rangkaian kuasa FutureMotion HEV ketika Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) baru-baru ini. Sistem tersebut menggunakan motor elektrik yang telah ditala kepada 163 PS, dan dijangka membuat kemunculan sulung menerusi sebuah SUV segmen A baru yang dikatakan bakal menggunakan nama Saga Cross.

Tags: