Model yang paling ditunggu-tunggu tahun ini, Proton Saga Cross atau buat masa sekarang dikenali dengan kod AMA02 kini sekali lagi dilihat diuji di atas jalan raya awam. Kali ini imej prototaip ujian berkenaan berjaya dirakam oleh pengguna Threads, Fi Grant yang terserempak dengan SUV tersebut ketika di uji sedang ‘memanjat’ jalan berliku di Genting Highlands.
Imej yang dirakam ini memberikan kita gambaran lebih jelas bahagian belakang SUV entry level dari Proton ini. Dari sudut ini kita boleh nampak bahawa bahagian bumbung belakang Saga Cross ini direka landai serta menampilkan cermin belakang yang ‘leper’, di mana ia lebih kelihatan seperti sebuah hatchback berbanding SUV yang lasak.
Bahagian tiang-C model ini juga kelihatan seperti diberikan kemasan pembahagi, jadi ia mungkin akan menampilkan konsep rekaan seperti ‘bumbung terapung’.
Tiada set imej dari sisi dan juga hadapan pada set imej kali ini. Tapi berdasarkan unit ujian Saga Cross yang dijumpai sebelum ini, model berkenaan menampilkan juntaian hadapan dan juga belakang yang agak panjang, tidak sama dengan imej-imej lakaran janaan digital yang tersebar sebelum ini. Model ujian sebelum ini juga dipadankan dengan set roda yang kelihatan bersaiz kecil, berkemungkinan ia adalah dari varian lebih rendah.
Selain itu, model tersebut juga dilihat dipadankan dengan gril hadapan dengan tema rekaan sama seperti model-model terkini Proton iaitu pin krom yang diispirasikan dari corak kain songket. Proton Saga Cross ini disasarkan untuk bersaing dengan Perodua Ativa, jadi kami jangkakan saiznya juga akan lebih kurang sama dengan model-model SUV segmen-A yang ada dalam pasaran sekarang.
Proton Saga Cross ini dihasilkan menerusi platform Advance Modular Architecture (AMA) yang sama seperti Saga MC3, dan sebab itulah ia dikenali dengan kod AMA02 – ia merupakan model kedua yang menggunakan platform tersebut.
Dengan menggunakan platform yang sama, mungkin banyak komponen mekanikal Saga Cross ini akan dikongsi bersama sedan Saga MC3. Proton sebelum ini juga telah membayangkan bahawa Saga Cross turut akan menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS/150 Nm dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan Aisin yang sama dengan Saga.
Malah model Cross ini juga berkemungkinan besar akan menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid FutureMotion HEV yang didedahkan oleh Proton di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 baru-baru ini, di mana unit rangkaian kuasa tersebut disahkan oleh Proton akan membuat kemunculan pada model baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV berkenaan menggandingkan enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder NA dan juga kotak gear khusus hibrid (DHT). Untuk enjin 1.5L NA yang dibekalkan, Proton menggelarnya sebagai enjin khusus untuk hibrid (Dedicated Hybrid Engine atau DHE), dan ia agak berlainan berbanding enjin yang digunakan oleh Saga, tetapi lebih mirip kepada enjin 1.5L NA yang dipadankan pada eMas 7 PHEV.
Ia menampilkan blok enjin yang sedikit berbeza, dan ia berfungsi sepenuhnya sebagai enjin kitaran Atkinson serta diberikan hanya satu mekanisma VVT, berbanding enjin pada Saga yang boleh berubah dari kitaran Otto biasa kepada kitaran Atkinson mengikut keperluan dan diberikan sistem Dual VVT.
Selain dari menggunakan pam air elektrik seperti BHE15 pada Saga, enjin DHE ini juga tampil dengan alternator dan pemampat penghawa dingin yang digerakkan juga oleh kuasa elektrik. Mekanisma injap EGR juga dilihat berbeza berbanding enjin Saga MC3.
Proton telah mengesahkan bahawa enjin DHE ini akan digandingkan unit DHT dengan kod DHT120 – angka “120” berkenaan merujuk kepada 120 kW atau 163 PS, iaitu kuasa motor elektrik 11-dalam-1 di dalam DHT tersebut. Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV Proton ini adalah sistem hibrid biasa, jadi bateri yang akan dibekalkan bukanlah bersaiz besar dan ia tidak mempunyai port pengecas seperti model-model EV dan PHEV.




