Model kedua Proton yang dibangunkan berasaskan Advance Modular Platform (AMA), iaitu platform sama menjadi asas kepada Saga MC3 sebelum ini sudahpun disahkan bakal dilancarkan pada lewat tahun ini. Jika sebelum ini banyak lakaran digital dibuat bagi membayangkan bagaimana bentuk model yang buat masa sekarang hanya dikenali dengan kod AMA02 itu, nah, ini dia bentuk yang real – unit prototaip ujian model yang disebut bakal digelar sebagai Proton Saga Cross ini sudahpun di kesan ‘berkeliaran’ untuk diuji di atas jalan raya awam.
Imej ini dimuat naik oleh laman automotif tempatan, Careta di mana ia dihantar oleh pembacanya bernama Muhammad Aliff Alias. Dengan badan yang dibalut hampir sepenuhnya, bagaimana kita boleh tahu ia adalah sebuah Proton? Paling mudah adalah melihat kepada trade plate yang digunakan – nombor B1699A adalah milik Proton dan memang pernah digunakan pada banyak prototaip ujiannya sebelum ini.
Berbanding lakaran-lakaran digital yang dibuat, unit prototaip sebenar Saga Cross ini nampaknya menampilkan juntaian hadapan dan juga belakang yang agak panjang. Sebagai model yang dibina untuk pasaran mampu milik, ia juga tidak dipadankan dengan set roda yang besar.
Kita juga boleh nampak model ini dipadankan dengan gril hadapan dengan tema rekaan sama seperti model-model terkini Proton iaitu pin krom yang diispirasikan dari corak kain songket. Proton Saga Cross ini disasarkan untuk bersaing dengan Perodua Ativa, jadi kami jangkakan saiznya juga akan lebih kurang sama dengan model-model SUV segmen-A yang ada dalam pasaran sekarang.
Dengan menggunakan platform yang sama, mungkin banyak komponen mekanikal Saga Cross ini akan dikongsi bersama sedan Saga MC3. Proton sebelum ini juga telah membayangkan bahawa Saga Cross turut akan menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS/150 Nm dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan Aisin yang sama dengan Saga.
Malah model Cross ini juga berkemungkinan besar akan menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid FutureMotion HEV yang didedahkan oleh Proton di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 baru-baru ini, di mana unit rangkaian kuasa tersebut disahkan oleh Proton akan membuat kemunculan pada model baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV berkenaan menggandingkan enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder NA dan juga kotak gear khusus hibrid (DHT). Untuk enjin 1.5L NA yang dibekalkan, Proton menggelarnya sebagai enjin khusus untuk hibrid (Dedicated Hybrid Engine atau DHE), dan ia agak berlainan berbanding enjin yang digunakan oleh Saga, tetapi lebih mirip kepada enjin 1.5L NA yang dipadankan pada eMas 7 PHEV.
Ia menampilkan blok enjin yang sedikit berbeza, dan ia berfungsi sepenuhnya sebagai enjin kitaran Atkinson serta diberikan hanya satu mekanisma VVT, berbanding enjin pada Saga yang boleh berubah dari kitaran Otto biasa kepada kitaran Atkinson mengikut keperluan dan diberikan sistem Dual VVT.
Selain dari menggunakan pam air elektrik seperti BHE15 pada Saga, enjin DHE ini juga tampil dengan alternator dan pemampat penghawa dingin yang digerakkan juga oleh kuasa elektrik. Mekanisma injap EGR juga dilihat berbeza berbanding enjin Saga MC3.
Proton telah mengesahkan bahawa enjin DHE ini akan digandingkan unit DHT dengan kod DHT120 – angka “120” berkenaan merujuk kepada 120 kW atau 163 PS, iaitu kuasa motor elektrik 11-dalam-1 di dalam DHT tersebut. Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV Proton ini adalah sistem hibrid biasa, jadi bateri yang akan dibekalkan bukanlah bersaiz besar dan ia tidak mempunyai port pengecas seperti model-model EV dan PHEV.


