Suzuki Swift Sport generasi baharu muncul di Jepun, namun hanya kit badan tanpa tingkat taraf prestasi

Sudah dua tahun Suzuki Swift generasi keempat diperkenalkan, namun versi prestasinya iaitu Swift Sport masih belum muncul. Laporan sebelum ini menyatakan bahawa model generasi baharu ini memang tidak akan dihasilkan dalam versi lebih agresif tersebut kerana ia berhadapan dengan undang-undang emisi yang lebih ketat. Sebab itulah Swift Sport dalam badan model generasi ketiga masih dijual baharu di beberapa pasaran dan ia mungkin adalah Swift Sport terakhir ditawarkan.

Namun tiba-tiba Suzuki memperkenalkan Swift Sport dalam badan model generasi keempat di Jepun. Walaubagaimanapun, rupa-rupanya Suzuki Swift Sport 2026 berkenaan hanyalah dipadankan dengan pilihan kit badan asli yang lebih sporty, tanpa tingkat taraf prestasi enjin mahupun pengendalian.

Kit badan berkenaan ditawarkan pada pasaran Jepun bermula bulan ini. Ia terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan juga panel bawah bampar belakang yang lebih labuh, kesemuanya dihasilkan oleh pembuat kit badan terkemuka Jepun iaitu A-Win.

Pembeli boleh memilih untuk memadankan terus kit badan ini ketika kereta dibeli baharu dari bilik pameran, dan ia nampaknya datang dengan pilihan rim dalam kemasan hitam. Kit badan ini juga boleh dibeli oleh pemilik Swift generasi keempat sedia ada, dijual pada harga 198,000 yen satu set (sekitar RM5k).

Di Jepun Suzuki Swift generasi keempat ini ditawarkan dalam tiga gred varian iaitu MZ, MX dan XG. Ketiga-tiganya menerima enjin petrol yang sama iaitu unit Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Manakala sistem hibrid ringkas hanya diberikan pada varian MZ dan MX, menampilkan motor elektrik kecil WA06D berkuasa 3.1 PS/60 Nm yang digerakkan oleh bateri 3-Ah.

Varian XG dan MZ hanya dipadankan dengan kotak gear CVT, manakala pembeli varian MX pula boleh memilih sama ada mahukan kotak gear CVT atau manual. Semua varian Swift pasaran Jepun ini ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda.

GALERI: Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon 2024