
Etnik Rohingya tidak layak memiliki lesen memandu negara ini berikutan status mereka sebagai pelarian, tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, menurut laporan Harian Metro.
Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dimiliki golongan berkenaan bukan dokumen pengenalan diri rasmi yang melayakkan untuk memohon lesen memandu.
Bagaimanapun katanya, sepanjang operasi penguatkuasaan, pihaknya tidak pernah mengesan warga Rohingya memiliki lesen memandu yang sah. Sebaliknya beliau berkata modus operandi yang sering digunakan golongan ini apabila ditahan dalam sekatan jalan raya adalah dengan mengemukakan kad UNHCR untuk meraih simpati bagi melepaskan diri.
“Hasil risikan mendapati tiada sebarang dokumen atau sindiket sedemikian dikesan di Kelantan setakat ini,” katanya yang turut menepis dakwaan mengenai kewujudan sindiket yang membantu warga asing ini mendapatkan lesen memandu secara sah.
Bagi mengekang isu ini daripada terus berleluasa, JPJ Kelantan kini mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di beberapa lokasi tumpuan sekitar Kota Bharu, Ketereh, Melor, Pasir Tumboh dan Tanah Merah.

Mohd Misuari turut menambah sebanyak 576 kenderaan dipandu warga asing diperiksa setakat bulan ini dengan 457 daripadanya disita dan 908 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ Kelantan turut memberi amaran keras kepada warga tempatan yang bertindak menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh warga Rohingya tanpa lesen. Pemilik kenderaan terbabit tidak lagi sekadar dikompaun, sebaliknya akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kelantan kini menjadi antara negeri terawal yang mengambil pendekatan membawa pemilik kenderaan terus ke mahkamah demi keselamatan awam dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lebih efektif,” katanya.
Beliau turut berkata, antara Januari hingga 18 Jun 2026, kira-kira 85% warga asing yang diambil tindakan dalam Operasi Pemandu Warga Asing di Kelantan adalah terdiri daripada etnik Rohingya. Hasil pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan mendapati majoriti mereka dikesan memandu tanpa lesen yang sah selain melakukan pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
