
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa hampir 14 juta rakyat Malaysia secara aktif menikmati petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter melalui Budi Madani RON 95 (Budi95) sehingga 31 Mei tahun ini.
Perkara tersebut dinyatakan dalam jawapan bertulis Parlimen bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mohd Syahir bin Che Sulaiman, yang bertanyakan mengenai keberkesanan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar melalui program Budi Madani, yang merangkumi Budi95 dan Budi Madani Diesel (Budi Diesel).
Kementerian menjelaskan bahawa jumlah pengguna aktif Budi95 kini merangkumi 85% daripada 16.5 juta individu yang layak menerima manfaat tersebut. Dalam masa yang sama, MoF turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Budi Madani melibatkan penggunaan sebanyak 11.1 bilion liter bahan api dengan nilai jualan sekitar RM22.1 bilion, di mana RM11.2 bilion merupakan kos subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

Dari segi penjimatan fiskal, peralihan kepada subsidi bahan api bersasar melalui Budi95 dijangka menghasilkan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada perubahan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.
Selain itu, MoF turut menegaskan bahawa kuota yang ditetapkan sebanyak 200 liter sebulan adalah mencukupi, memandangkan hampir 90% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada jumlah tersebut, dengan purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan. Walau bagaimana pun, permohonan kuota tambahan masih boleh dibuat sekiranya diperlukan.
“Dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan Budi95 membuktikan bahawa reformasi subsidi boleh dilaksanakan secara berhemah dengan memastikan majoriti rakyat terus menikmati subsidi bahan api, di samping mengurangkan ketirisan serta memperkukuh kedudukan fiskal negara demi manfaat rakyat secara keseluruhannya,” kata kementerian dalam jawapan tersebut.
