VinFast VF2 dilancarkan di Vietnam – EV bandar bajet hanya RM29k, 41 PS/65 Nm, sekitar 179 km WLTP

Jenama automotif dari Vietnam, VinFast telah mendedahkan sebuah model EV baharu dikenali sebagai VF2. Seperti yang anda boleh lihat, ia merupakan sebuah EV bajet bersaiz kecil untuk kegunaan dalam bandar, namun masih boleh membawa empat orang penumpang termasuk pemandu.

Model ini akan dijual pada harga 188 juta Dong (sekitar RM29k), di mana tempahannya akan dibuka pada 15 Julai ini dan pelanggan akan mula menerima kereta mereka pada bulan September 2026.

Sesuai dengan harganya, VF2 ini menampilkan dimensi panjang 3,090 mm, lebar 1,496 mm, tinggi 1,663 mm dan jarak roda sejauh 2,065 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, VF2 ini adalah 275 mm lebih pendek tetapi 101 lebih lebar dari Perodua Kancil. Casis VF2 ini ditampung oleh sistem suspensi topang McPherson pada bahagian hadapan dan belakang.

VinFast VF2 dilancarkan di Vietnam – EV bandar bajet hanya RM29k, 41 PS/65 Nm, sekitar 179 km WLTP

VF2 digerakkan dengan sebuah motor elektrik berkuasa 41 PS (30 kW) dan tork maksima 65 Nm bagi memacu roda belakang, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 80 km/j. Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri berkapasiti 18.3 kWj, membolehkan ia bergerak sejaun 210 km dalam kitaran NEDC, atau hanya sekitar 179 km jika diuji dengan kitaran WLTP yang lebih tepat. Dua mod pemanduan diberikan iaitu Eco dan Normal.

Untuk mengecas, EV kecil ini boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 24 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-70% dalam masa 34 minit. Manakala untuk keselamatan pula, ia dilengkapi beg udara hanya untuk pemandu, sistem brek ABS bersama EBD serta kawalan traction.

VF2 menampilkan rekaan luar yang bersegi dan ringkas serta tidak mempunyai pintu belakang. Ia datang dengan perincian luaran seperti lampu hadapan LED dan juga rim besi 13-inci.

VinFast VF2 dilancarkan di Vietnam – EV bandar bajet hanya RM29k, 41 PS/65 Nm, sekitar 179 km WLTP

Manakala pada sebelah dalam, kabin yang hampir ‘kosong’ tersebut dilengkapi dengan paparan instrumen digital tujuh-inci untuk pemandu, sistem pendingin hawa manual, radio FM bersama dua pembesar suara.

Menurut Vinfast, harga yang ditawarkan untuk VF2 ini adalah termasuk bateri serta sepuluh sesi pengecasan percuma sebulan di stesen pengecasan awam V-Green di seluruh negara sehingga 10 Februari 2029. Tawaran ini diberikan dengan objektif agar kos pemilikan VF2 ini adalah setara dengan motosikal premium.

Malah untuk pelanggan yang membuat bayaran deposit (tidak boleh dikembalikan) sebanyak VND10 juta (RM1.6k) antara 15 dan 17 Julai akan menerima diskaun sebanyak VND8 juta (RM1.2k). Walaupun tidak boleh dikembalikan, deposit tersebut boleh dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat, termasuk ibu bapa, pasangan, anak-anak, adik-beradik atau kepada syarikat milik oleh orang yang membuat deposit berkenaan.

Tags: