PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

Seperti yang sudah kita sedia maklum, pengambil-alihan sebanyak 49.9% pegangan kepentingan dalam Proton oleh Geely yang diumumkan Jun lalu mengakhiri proses pencarian rakan strategik bagi pengeluar kereta kebangsaan itu, yang sejak beberapa tahun terakhir ini berada dalam situasi sukar akibat jualan kenderaannya yang merosot. Kebergantungan terhadap pasaran tempatan semata-mata tidak lagi memadai seperti sejak awal penubuhan Proton 30 tahun dulu.

Dalam situasi itu pun, Proton masih berusaha untuk menjadi lebih berdaya saing. Pertama kali dalam sejarah syarikat itu, Proton memperkenalkan empat model baru dalam tempoh setahun, pada 2016. Ini turut melibatkan pengenalan ciri penambahbaikan yang signifikan dalam memberikan penawaran produk yang lebih baik – misalnya, kotak gear CVT yang kini lebih senyap dan responsif seperti yang mula diperkenalkan pada Proton Persona.

Kini, dengan kerjasama yang dimeterai itu, Proton akan memberi tumpuan untuk memperkenalkan model-model dari segmen yang sebelum ini tidak pernah diwakili oleh jenama itu di sini. Bukan itu saja, syarikat ini juga meletakkan matlamat untuk memperluaskan rangakaian pasaran eksportnya sebagai antara objektif utama kerjasama dengan Geely ini.

Model pertama yang akan menjadi penawaran hasil usaha sama ini ialah sebuah SUV yang dilandaskan kepada model sedia ada pengeluar dari China itu, Geely Boyue. Ia dijangka akan mula dipasarkan di Malaysia tahun depan, pada tanda harga yang sangat berpatutan jika dibanding dengan kenderaan kelas yang sama dengannya.

PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

Model ini juga sudah pernah dipertontonkan di Malaysia, dan awal Ogos lalu, wakil dari paultan.org Bahasa Inggeris, Jonathan Lee berpeluang berkunjung ke China dan memandu uji secara ringkas model berkenaan. Berikut sedikit sebanyak pengalamannya berkaitan Geely Boyue yang sempat dikongsi.

Geely Boyue dilancarkan di China pada Mac tahun lalu, dan menerima sambutan hanya di sana; purata 20,000 unit SUV itu terjual setiap bulan, dan permintaannya kini masih berlebihan berbanding bekalan yang ada bagi tempoh setahun, seperti didakwa oleh wakil Geely yang ditemui. Model berkenaan juga kini sudah dijual di pasaran Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) – dengan nama Emgrand X7 Sport.

Dengan ukuran dimensi 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi serta jarak antara roda 2,670 mm, ia bersaing di dalam segmen C SUV dan sedikit lebih kecil berbanding Mazda CX-5. Dengan Honda CR-V pula, Boyue adalah 77 mm lebih pendek, kurang 24 mm bagi kelebaran dan 15 mm lebih tinggi, sementara jarak antara rodanya pula ialah 10 mm lebih panjang.

Penggayaannya diselia oleh bekas pereka dari Volvo, Peter Horbury; perlahan-lahan mengubah arah reka bentuk kenderaan Geely yang kini meraih lebih banyak perhatian diperingkat global berbanding sebelumnya. Antara sentuhan yang wajar dinyatakan ialah wajah depan dengan gril serta lambang Geely yang lebih menonjol, serta penggunaan lampu utama LED yang ditawarkan sebagai pilihan meletakkannya di satu aras yang berbeza.

PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

Dari sisi, aliran garis badan yang berkesinambungan dari depan ke belakang memberikan visual yang yang unik dan teguh pada SUV ini. Bahagian tiang yang dihitamkan juga menampakkan seolah-olah bahagian bumbung terpisah dari badan – satu bentuk pendekataan rekaan yang terdapat pada model-model yang lebih premium, seperti dari Range Rover.

Sentuhan perincian pada bahagian luaran juga lebih menarik. Misalnya dengan kedudukan lampu kabus, serta skid plate pada bahagian bawah bampar depan dan belakang menyumbang penampilan yang lebih ranggi terhadap SUV ini. Jika luarannya tampil segak dan menarik, bagaimana pula bahagian dalamannya?

Boyue tidak hadir dengan ruang dalam yang nampak murah dengan penggunaan material plastik keras seperti yang selalu dilihat pada model-model dari China sebelum ini. Rekaan ruang dalamannya mengimbangi estetika yang ditampilkan di luar; sedap mata memandang dan hadir dengan banyak unsur-unsur rekaan yang menarik.

Papan pemukanya pula “bersih” dengan permukaan dari plastik lembut, tak berlebihan jika disifatkan lebih baik daripada kebanyakan ciri sama yang ada pada kenderaan premium lain. Stereng juga rata bahagian bawahnya, dengan konsol tengah yang tinggi dengan pemegang seperti yang pernah dilihat pada model Porsche Cayenne memberikan nuansa moden dan kontemporari untuk ruang dalaman Boyue.

Tempat duduknya pula dibalut dengan material kulit Nappa. Kemasan dari kesan aluminium dengan penyudah satin yang digunakan pula meletakkan satu tahap lain pada suasana ruang kabinnya. Dalam bahasa mudah, ia tidak nampak murah, melainkan telah difikirkan dengan agak baik dan dizahirkan dengan cara yang sangat menarik, baik dari aspek sentuhan ataupun sekadar visual yang dilihat.

Dari segi ruang, ia luas. Ruang kaki dan kepala yang tersedia memadai untuk menempatkan penumpang dengan selesa. Dengan bumbung panoramik dan lantai belakang yang rata menyumbang kepada rasa suasana yang lebih terbuka. Bagaimanapun, hanya ada satu corong pendingin hawa di belakang. Ruang barangan pula ada sedikit kekurangan.

Walaupun agak luas, kedudukan lantai ruang tersebut yang agak tinggi akan sedikit menyusahkan sekiranya anda ingin mengangkat barangan berat. Cuma, lebihan bukaan ruang berkenaan yang lebar memudahkan pengguna meletakkan barangan secara bertindan.

Sudut kedudukan stereng juga lebih ke arah mendatar – seperti yang selalu kita lihat pada trak dan lori ringan – dan ia tidak boleh diselaraskan semaksimum mungkin ke arah anda. Bagaimanapun ketinggian dan jarak itu tadi masih boleh diubah dalam pergerakan yang agak terhad.

Model ini juga hadir dengan ciri sistem infotainmen G-Link dengan skrin sentuh lapan inci dan sambungan Bluetooth, sistem tunjuka arah serta lapan pembesar suara. Versi paling lengkapnya pula hadir dengan G-Netlink dengan sambungan 3G serta slot kad SIM sendiri, hotspot Wi-Fi dan sokongan Apple CarPlay. Turut ada ialah ciri kawalan dengan suara – seperti Siri pada produk Apple.

Menurut wakil Proton, versi yang akan dijual di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem G-Netlink ini, dan pengesanan suara pula perlu dilakukan dalam bahasa Inggeris bagi model yang bakal dijual di sini. Ini satu ciri yang sangat menarik dan akan memberi nilai tambah kepada pengguna di sini, sekiranya ia berfungsi dengan sangat baik.

Dari sudut ciri-ciri keselamata, Boyue dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan dan Auto Brake Hold hadir sebagai ciri standard. Enam beg udara dan kawalan menuruni bukit pula akan melengkapi varian paling tinggi.

Untuk pasaran China, Boyue ditawarkan dua pilihan enjin; 2.0 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 139 hp pada 4,000 rpm dan 178 Nm dari 4,000 hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan dan pacuan roda hadapan.

Selain itu, satu lagi enjin ialah 1.8 liter petrol turbocas suntikan terus yang menghasilkan 161 hp @ 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,500 rpm dengan gandingan transmisi manual. Bagi versi yang menggunakan transmisi automatik enam-kelajuan, janaan kuasanya ialah 181 hp dan 285 Nm, dengan pilihan bagi sistem pacuan AWD.

Pasaran lain turut menerima enjin 2.4 liter (153 hp/225 Nm) dengan gear automatik. Setakat yang diketahui, belum ada apa-apa pengesahan dari Proton berkaitan pilihan enjin dan transmisi mana yang akan diperkenalkan di sini nanti. Kebarangkalian paling besar mungkin ialah model automatik 2WD yang sempat dicuba ini.

Setakat yang sempat dicuba, bagaimana pula aspek pemanduan SUV ini? Maklum balas kendalian bagi versi turbo yang dicuba tidaklah terlalu pantas, mungkin disebabkan beratnya 1,670 kg (75 kg lebih berat dari CR-V spesifikasi penuh). Maklum balas pendikit juga tidak lancar, begitu juga dengan respon transmisi yang seperti sedikit terlengah jika dikerah dengan kuat. Sport Mode yang ada memberikan sedikit penyelesaian kepada perkara ini.

Sisi lain enjin yang sama pula ia kurang menghasilkan gegaran, terutama yang dapat dirasakan dalam kabin. Transmisi pula, sekiranya ia sudah bersedia untuk menukar gear, proses itu dilakukan secara senyap dan lancar. Bunyi bising dari permukaan jalan atau angin juga sangat minimal kedengaran dari ruang kabin.

Keselesaan keseluruhan juga sangat baik, dengan sistem penyerap hentak yang dirasakan menggalas tugasan dengan cemerlang. Setakat pemanduan dalam laluan yang terhad itu, membelok Boyue terasa tidaklah terlalu sukar, dengan stereng yang juga ringan dan memudahkan kendalian. Bagaimanapun, di dalam situasi pemanduan di selekoh, kebiasaannya rasa stereng yang seperti ini akan mewujudkan olengan yang agak ketara juga. Itu akan dicuba pada model pasaran Malaysia nanti.

Tentang stereng yang ringan dan perihal suspensi, ada berita baik. Wakil Geely memaklumkan, Proton bebas untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan terhadap talaan suspensi (tidak seperti pada Ertiga dan Perdana sebelum ini). Harapnya unit yang dipasarkan di sini nanti mampu memberikan kendalian yang lebih mantap.

Dengan peluang singkat ini, beberapa perkara yang dapat dinyatakan. Walaupun pasukan yang membangunkan Boyue ini terdiri daripada latar antarabangsa, namun unit yang kami cuba ini jelas ditalaan khusus untuk pengguna dipasaran China. Ia lebih kepada memberikan keselesaan dan kemudahan pengendalian berbanding mengetengahkan sisi dinamik dan prestasinya.

Mujur juga, semua kelemahan yang dirasakan pada Boyue yang dicuba ini boleh di atasi sekiranya kepakaran Proton terhadap casis, dinamik pemanduan dan aspek kendalian dapat diterapkan kepada model ini kelak. Harapnya begitu. Selebihnya, penampilan dan sisi rekaan lain pada Boyue boleh juga diberi pujian, dengan pelbagai sentuhan premium serta kemasan yang menampakkan usaha ke arah memberikan lebih nilai dan meletakkan model berkenaan pada tahap yang setara dengan model-model pesaing sedia ada.

Geely Boyue di Malaysia

GALERI: Geely Boyue pasaran China

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required