PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

Bagi yang mencari SUV enam-tempat duduk, kini memang sudah ada pilihan Proton X90 yang baru dilancarkan awal Mei lalu. Namun, bagi yang inginkan ‘jenama bukan nasional’, dan mempunyai bajet kewangan lebih padu, mungkin boleh mempertimbangkan Mazda CX-8.

Biar pun tidak sepopular adiknya, CX-5, namun Mazda CX-8 tetap ada peminatnya yang tersendiri. Mungkin ada juga yang belum menyedari kehadirannya di pasaran, kerana CX-5 yang lebih menonjol, dan barangkali ada yang terkeliru antara CX-8 dan abangnya, CX-9 yang lebih low profile dari segi populariti.

Pada saat kemunculan Proton X90 di pasaran, dan Toyota Innova Zenix 2023 yang bakal dilancarkan kelak, kehadiran CX-8 ini tidak wajar diketepikan. Boleh dianggap sebagai menambah variasi di dalam segmennya, CX-8 juga ada kelebihan tersendiri yang ditonjolkan.

Dua bulan yang lalu, kami berkesempatan memandu uji CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD untuk versi 2023. Tiada perubahan yang dilakukan, cirinya masih sama dengan model 2022 yang dilancarkan pada Jun tahun lalu.

PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

Ini termasuklah masih mengekalkan enjin 2.5 liter Skyactiv-G Turbo yang mampu menghamburkan kuasa hingga 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm tork 2,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan transimisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan Manual Shift Mode, lengkap dengan ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) baharu yang kini boleh mengaktifkan brek dan menstabilkan kenderaan. Model turbo ini juga merupakan satu-satunya varian CX-8 yang dilengkapi dengan i-Activ AWD.

Apa kelebihan yang ada pada i-Activ AWD ini? Ia membantu mengawal pengendalian sewaktu merentasi apa jua kondisi permukaan jalan termasuk jalan basah, licin, atau melalui selekoh tajah. Sifatnya yang direka untuk memberikan pemanduan yang lebih selesa dan selamat selain terus mengekalkan penjimatan bahan api, ia juga bertindak secara automatik berdasarkan keperluan. Ia akan memantau keadaan jalan, mengawal lonjakan tork secara proaktif dari pacuan roda hadapan ke semua roda selain mengawal posisi pendikitan, sudut kawalan stereng dan tekanan cecair brek (bila diperlukan ketika membrek).

Dengan adanya sistem seperti I-Activ AWD ini, pengendalian CX-8 mampu menyalurkan keselesaan yang optima. Jika melalui permukaan jalan yang tidak rata atau beralun. Pergerakan olengan atau bumpy kurang dirasai.

Lonjakan kuasa turbo yang terhasil menerusi enjinnya juga memang cukup bertenaga, bahkan lancar tidak kiralah untuk kelajuan yang tinggi mahu pun rendah. Kadang tidak sedar, kaki terlebih pijak pedal pendikit, tup tup meter kelajuan melepasi 110 km/j. Seakan enjinnya tahu bila mana hendak mengeluarkan jumlah kuasa yang diperlukan.

PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

Walau pun bersaiz agak besar dengan ukuran 4,900 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,730 mm tinggi dan jarak rodanya pula cecah 2,930 mm, tidak sukar untuk mengawal SUV ini. Untuk pemandu bersaiz ’S’ seperti saya yang berketinggian 150 cm, saya cukup confident mengendalikannya termasuk dalam bab parkir atau membuat pusingan-U. Walau pun mungkin ada yang beranggapan SUV sebesar ini lebih sesuai untuk golongan ayah-ayah, tetapi kaum wanita terutamanya yang ramai anak pun boleh serasi mengendalikannya.

Rangkuman untuk prestasinya, boleh dikatakan Cx-8 ini memang memberikan kesimbangan antara ketangkasan dan kawalannya, ia tidak seberat dan sebesar CX-9, tetapi sedikit berat dan besar berbanding CX-5. Jika anda mempunyai bajet lebih, mungkin CX-8 enam-tempat duduk ini pilihan yang cukup bersesuaian. Kalau bajet kurang dari itu dan mahukan harga yang lebih ‘Rahmah’, mungkin boleh pilih pesaingnya, Proton X90.

Tetapi dibandingkan dengan ciri kelengkapan luaran dan dalamannya, mungkin CX-8 lebih kehadapan, berbanding pesaingnya itu. Walau bagaimana pun, imej luarannya agak mirip dengan CX-5 dan CX-9, membawakan gaya terjemahan “Kodo Design” yang sama. Varian tertinggi CX-8 ditampilkan dengan rekaan gril baharu yang menyerlahkan lagi imejnya dengaan kemasan gunmetal.

Ia juga diberikan kemasan jalur krom di sekeliling di bahagian bawahnya. 

Manakala lampu utamanya dengan unit projektor LED adaptif berbentuk tirus menampakkannya sedikit seksi, disertakan fungsi lampu tinggi automatik. Ia juga diberikan lampu kabus hadapan dan juga lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan rim aloi kelabu 10-jejari 19-inci baharu dibaluti tayar bersaiz 225/55R19.

PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

Memasuki ruang kabinnya, terserlah sentuhan sofistikated, premium tanpa elemen yang sarat dan fancy. Antara kelengkapan dalaman yang diberikan termasuklah sistem infotainmen Mazda Connect bersama skrin sesentuh lapan-inci, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam-pembesar suara, pengecas Qi, kawalan suhu automatik dwi-zon untuk tempat duduk hadapan, dan zon-tunggal untuk penumpang belakang dan butang penghidup enjin.

Selain itu, ia turut diberikan head-up display yang juga boleh memantau sistem titik buta (blind spot), penghadang matahari pintu belakang, sistem kamera 360-darjah, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, brek parkir elektronik, cermin pandang belakang anti-silau, serta Bantuan Stereng.

Untuk memantapkan lagi tahap keselesaan di dalam kabin, CX-8 High Plus diberikan tempat duduk balutan kulit Nappa, dengan fungsi pemanas tempat duduk berliang jadi tambahan (termasuk pemanas tempat duduk barisan kedua), tempat duduk hadapan larasan kuasa dan memori untuk kerusi pemandu.

Bagi aspek keselamatan, CX-8 diberikan ciri standard dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, dengan 2.5 High hadir bersama sistem bantuan pemandu i-Activsense termasuklah AEB yang turut berfungsi ketika mengundur, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong dan amaran lintasan trafik belakang.

Dengan prestasi dan pengendalian yang mantap serta ciri kelengkapan yang ditawarkan, sesuailah dengan harganya yang mencecah RM222k ini, tanpa insurans. Memang tidak jauh bezanya dengan harga varian tertinggi CX-5 yang sekitar RM167k, manakala CX-9 pula lebih kayangan’ berharga RM336k.Pembeliannya turut didatangkan dengan jaminan lima-tahun/100,000 km dan servis percuma selama lima-tahun.

Selain Proton X90 dengan harga yang lebih ‘Rahmah’ atau marhaen, CX-8 juga boleh memberikan persaingan terhadap Kia Sorento 2023 yang berharga RM235k untuk varian Smartstream 2.5L MPI 4WD enam-tempat duduk namun mempunyai lonjakan kuasa yang kurang sedikit berbanding CX-8 iaitu 177 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm. Apa pun, pilihan di tangan anda, sama ada anda berselerakan sushi (Mazda), bulgogi (Kia) mahu pun nasi lemak (Proton).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required