PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

Di Malaysia, trend menukar sedan ke SUV semakin menjadi-jadi. Malah pengeluar kenderaan juga makin banyak yang membawa masuk model-model SUV menarik di sini. Bagi yang memiliki bajet yang lebih, SUV bersaiz besar termasuk berkapasiti tujuh-tempat duduk menjadi pilihan. Namun masih ramai juga yang memilih SUV lima-tempat duduk, cukup sekadar praktikaliti dan gaya…serta menepati bajet. Itu penting.

Mazda, antara jenama kenderaan yang memiliki pilihan model SUV yang menarik. Paling popular, sudah pasti CX-5, jika hendak yang kecil sedikit dan lebih kepada gaya, CX-3 pilihannya. Namun bagi yang memiliki bajet yang lebih besar dan inginkan SUV yang juga lebih besar, CX-9 ada menawarkan ciri-ciri menarik.

Pengedar Mazda di Malaysia, Bermaz, nekad membawa masuk model CX-9 ini ke pasaran Malaysia kerana mendapat permintaan di kalangan pelanggannya. Model pemasangan luar (CBU) dari Australia ini ditawarkan pada RM316,788 untuk model pacuan dua-roda dan RM323,849 untuk pacuan-semua roda, semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans, waranti baharu lima-tahun/100,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun.

PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

Sebagai perbandingan, model generasi sebelumnya dijual pada harga RM296,646 untuk model pacuan dua-roda dan RM337,748 bagi pacuan semua-roda.

Walau pun ia dianggap sebagai model SUV kompak premium yang agak ‘rare’ di Malaysia kerana jarang-jarang kelihatan di jalan raya di negara ini. Tidak seperti pesaingannya termasuk BMW X3 dan Audi Q5 yang juga mahal tetapi banyak kelihatan di sana sini.

Apakah kelebihan yang ada pada model CX-9 generasi kedua ini? Adakah kerana prestasi kuasa yang mampu meledakkan adrenalin? Atau pun gaya mewah dan sofistikated yang ditampilkan?

Kami telah memandu ujinya selama beberapa hari. Dan inilah jawapannya yang mungkin boleh membantu anda yang dalam perancangan untuk membeli SUV setaraf dengannya.

Kita ulas mengenai imej yang dibentangkan terlebih dahulu. Seperti yang semua sedia maklum, Mazda telah membawakan rekaan Kodo yang Nampak eksklusif untuk semua barisan model baharunya. Rekaan imej yang tidak keterlaluan, namun memberikan nafas baharu dan lebih segar untuk barisan model terkini Mazda. Satu terjemahan gaya yang nampak berkesan kerana menyingkirkan imej tradisional, sebaliknya mengetengahkan banyak elemen bersifat moden.

Walau pun telah digunakan selama hamper setengah dekad, namun ia Nampak masih relevan untuk digunapakai. Begitu juga dengan CX-9 yang tidak terlepas dengan bancuhan imej Kodo ini.

Bagi menaikkan imej yang lebih ‘class’, Mazda telah mengaplikasikan beberapa kekemasan krom, dengan perincian yang lebih sofistikated pada bahagian luarannya. Ini memberikan imej yang lebih ranggi bagi SUV premium ini.

Paling jelas kelihatan, sudah tentulah kepingan krom yang besar pada bahagian gril hadapan, diserlahkan dengan padanan lampu utama LED yang sedikit langsing dengan lampu kabus LED. Bahagian bampar bawah yang lebar dan besar juga membantu membuatkan imej hadapan CX-9 lebih agresif dan maskulin.

Mengikut pandangan sisi pula, kelihatan sifat elegan yang cuba ditonjolkan, terutamanya dari sudut garisan bumbung yang rendah. Ditambah pula dengan roda aloi 10-jejari bersaiz 20-inci yang kelihatan sepadan digayakan bersama imej maskulin CX-9 ini.

Melewati bahagian belakangnya pula, lampu LED turut ditampilkan, bersambung dengan bar krom yang nipis, membuatkan penampilannya sedikit berbeza dengan adiknya, CX-5. Ternyata imej yang tidak keterlaluan sarat pada CX-9 ini membuatkan ia nampak eksklusif dan sangat sesuai untuk orang yang berjiwa ‘abang-abang’. Macho dan sado!

Bagi dimensinya, ia masih lebih kurang sama seperti mana model terdahulu iaitu berukuran 5,075 mm panjang, 1,969 mm lebar dan 1,747 mm tinggi, iaitu 34 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi. Manakala jarak rodanya lebih panjang sebanyak 55 mm, kini 2,930 mm yang memberikan kelebihan pada ruang kaki untuk barisan tempat duduk kedua dan ketiga. Ya, CX-9 ini cukup besar dan luas di dalamnya.

PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

Menjengah bahagian kabinnya, memang membentangkan imej Mazda, namun lebih premium. Bentangan papan pemukanya juga tidak begitu sarat dengan pelbagai elemen termasuk butang kawalan, dipadankan dengan konsol tengan yang sedikit tinggi serta menampilkan tombol Commander Control bagi sistem hiburan MZD Connect yang mudah dicapai.

Disebabkan harganya premium, sudah pasti sifat di dalamnya juga bermaterial tinggi berbanding adik-beradiknya yang lain. Kekemasan kulit dan plastic sentuhan lembut menjadi pilihan, malah pemilihan krom juga mampu mengelakkan kesan gelap pada kabinnya.

Namun sedikit kekurangan di mana kekemasan rosewood yang ditampilkan tidak begitu mencukupi bagi meletakkannya dalam kelas yang tinggi. Begitu juga dengan panel plastik hitam berkilat yang kelihatan sedikit kurang menarik dan tidak sepadan dengan imej elegan dan mewah yang dipersembahkan.

Antara elemen lain yang ditawarkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatic tiga-zon, bumbung matahari dan sistem bunyi premium Bose 294W dengan 12 pembesar suara.

Ditambah pula dengan paparan di tengan bersaiz lapan-inci yang lebih besar berbanding model Mazda yang lain serta paparan head-up berwarna sepenuhnya. Selain turut didatangkan dengan balutan kulit upholstery, tempat duduk pemandu berkuasa dengan tatapan memori dan cermin pandang belakang auto-penggelam.

Kemudahan dan keselesaan para penumpang tidak dipandang enteng. Keluasan kabin CX-9 ini memang mampu memberikan keselesaan yang optimum, bukan sahaja di barisan tempat duduk kedua, malah juga ketiga. Ruang kaki yang luas dan boleh dikatakan terbaik dalam kelasnya.

Begitu juga dengan ruang kepala yang turut mendatangkan keselesaan biar pun buat penumpang bertubuh tinggi. Walau bagaimana pun, satu kelemahan, di barisan tempat duduk ketiga, corong udaranya ‘seakan sekadar yang boleh’, membuatkan kurang selesa terutamanya jika cuaca panas.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan tirai matahari pada tingkap, lubang letak cawan yang besar serta dua port USB. Tempat duduk juga boleh ditegak dan dicondongkan bagi kemudahan akses bagi barisan tempat duduk ketiga, dengan hanya satu tarikan pada tuil tunggal.

Pintu belakang berkuasa juga ditampilkan tetapi tanpa operasi bebas tangan, manakala ruang butnya berkapasiti 230 liter. Agak kecil, namun paling besar berbanding SUV tujuh-tempat lain termasuk Sorento yang hanya 142 liter. Bagi CX-9, jika anda membaringkan tempat duduk barisan ketiga, ia mampu memberikan 830 liter bagi ruang but.

Bagi elemen keselamatan pula, CX-9 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, Trailer Stability Assist (TSA) dan dua cagak ISOFIX. Malah ia juga didatangkan dengan bantuan pemandu i-ActivSense, termasuk Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) hadapan dan belakang, Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Bantuan Trafik Lintasan Belakang (RCTA).

CX-9 ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G dengan i-stop automatic start/stop dan i-ELOOP, yang mampu menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya sekitar 8.4 liter untuk setiap 100 km bagi model pacuan dua-roda dan 8.8L/100 km untuk pacuan semua-roda.

Adakah anda rasakan dengan kapasiti enjin itu mampu memacu CX-9 sebaik mungkin? Apa yang dirasakan sepanjang mengendalikan SUV ini, kuasa yang dihasilkan bersifat sederhana namun masih memuaskan. Lonjakan kuasa hasil teknologi SkyActiv-G dilihat sangat membantu memberikan prestasi yang optimum.

Apatah lagi ia turut didatangkan dengan Dynamic Pressure Turbo iaitu pengesas turbo geometri boleh laras yang berfungsi mengagihkan kuasa di dalam perumah turbin yang biasanya digunakan oleh sistem berkenaan untuk mengubah aliran ekzos.

PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

Untungnya, CX-9 menggunakan siri port ekzos besar dan kecil. Jadi apabila rev rendah, injap akan ditutup bagi port yang besar, sekaligus memaksa turbin bergerak lebih pantas dan mengurangkan turbo lag. Apabila rev memuncak, port ekzos yang lebih besar berfungsi, injap akan terbuka dan membantu meningkatkan lagi kuasa.

Penggunaan pengecas turbo pada CX-9 nampaknya cukup impresif, malah nisbahnya juga lebih tinggi iaitu 10.5:1 berbanding 14.1 pada enjin naturally-aspirated yang ada pada model lain di bawah Mazda. Selain mampu menghamburkan kuasa yang berprestasi, penggunaan bahan apinya juga cukup efisien. Mazda mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 8.4 liter untuk setiap 100 km bagi model pacuan dua-roda dan 8.8L/100 km untuk pacuan semua-roda.

Bagi padanan transmisi automatic SkyActiv-Drive enam-kelajuan, penukaran gearnya pantas dan lancar. Di mana kotak gearnya banyak membantu enjin menghasilkan kuasa yang diingini. Jika inginkan lebih keberkesanan, mod Sport boleh membantu bagi mendapatkan anjakan gear yang lebih padu.

Bukan itu sahaja, kawalan roda stereng CX-9 juga agak ringan dan tepat termasuk ketika di selekoh. Manakala olengan badannya agak minimal biar pun ketika merentasi permukaan jalan yang beralun.

PANDU UJI: Mazda CX-9 bukanlah sangat mewah tapi tinggi harganya – berbaloikah untuk dimiliki?

Jadi, berbalik pada soal harganya yang sememangnya tinggi, adakah pemilikan CX-9 ini dilihat berbaloi? Untuk Mazda, pastinya ramai yang menganggap jenama ini bukanlah jenama yang mewah. Tidak seperti BMW yang hadir dengan model X3, serta dua lagi pesaingannya iaitu Mercedes-Benz GLC Audi Q5, yang memang jenama premium dan mahal harganya.

Adakah mudah untuk CX-9 bersaing sengit dengan model-model yang disebut itu? Mungkin agak sukar laluannya, namun dengan wujudnya golongan penggemar jenama ini, pasti ia boleh terjual di pasaran walau pun tidak selaris model pesaingnya.

Konklusi di sini, CX-9 memang mahal, gayanya tidaklah semewah mana, namun jika dari sudut prestasi, boleh digambarkan sebagai sebuah SUV bertubuh tegap dan besar yang mampu memberikan kepuasan pengendalian. Antara berbaloi mahu pun tidak, jawapannya terletak di tangan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required