Mazda CX-5 facelift 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

Selepas berada lebih empat tahun dalam pasaran, Mazda CX-5 generasi kedua kini diperkenalkan dalam versi facelift 2022, yang menampilkan perubahan pada bahagian luaran, talaan semula dibuat pada casis, serta dipertingkat dengan pelbagai perincian terkini.

Model yang disegarkan semula ini menampilkan rekaan yang lebih minimalis. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan baharu dengan jalur LED berbentuk-L berkembar. Gril utama CX-5 facelift ini kelihatan lebih pendek berbanding sebelum ini bagi memberikan gril bawah yang lebih besar. Rekaan seakan sayap yang merentangi keseluruhan bawah bampar juga kini sudah tidak ada bagi memberikan lebih banyak permukaan rata yang nampak lebih ringkas.

Jalur grafik LED berbentuk-L turut diberikan pada lampu belakang CX-5 facelift ini. Perubahan lain yang boleh dilihat di belakang adalah bampar yang sedikit berubah, menampilkan reflektor yang lebih kecil serta diletakkan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

Model kemaskini ini juga diberikan pilihan rim rekaan baharu bersama warna badan baharu digelar Zircon Sand. Manakala pada varian-varian terpilih, pelindung badan plastik disekeliling ruang roda dan juga di bawah pintu kini layangkan dengan warna badan, memberikan rupa yang lebih ringkas kepada SUV ini.

CX-5 facelift juga kini menerima penambahbaikkan terhadap SkyActiv-Vehicle Architecture yang sebelum ini ditampilkan buat pertama kali pada Mazda 3. Antaranya kerangka badan dan tempat duduk diperhalusi semula bagi memberikan lebih keselesaan, mengurangkan kelesuan dan juga kabin yang lebih senyap ketika memandu pada permukaan jalan yang kasar.

Suspensi pada CX-5 facelift ini juga ditala semula pada aspek struktur kawalan serapan hentakan, serta diberikan kerangka badan lebih kuat, kedua-duanya membantu dalam memberikan kadar NVH yang lebih baik.

Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

Bahagian kabin CX-5 yang disegarkan semula ini masih lagi nampak sama seperti sebelumnya. Namun jika diperhatikan, model 2022 ini sudahpun diberikan tray pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, serta menampilkan suis sistem Mazda intelligent Drive Select (Mi-Drive).

Suis kawalan berkenaan membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang dimahukan. Manakala model yang dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda i-Activ, suis kawalan berkenaan turut menyediakan pilihan untuk mod Off-Road.

CX-5 baru ini masih kekal diberikan skrin infotainmen 10.25-inci sama seperti model kemasikini yang telah diumumkan pada Ogos lalu. Bergantung pada pasaran dan juga varian yang ditawarkan, SUV ini diberikan pelbagai pilihan pakej kemasan, upholsteri dan juga kombinasi serlahan jahitan.

Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

Bagi CX-5 facelift pasaran Amerika Syarikat, ia datang dengan sistem pacuan semua roda secara standard dan tiada lagi model pacuan roda hadapan ditawarkan di sana. Tiada perincian spesifikasi lain dinyatakan, tetapi nampaknya ia masih dijana barisan enjin Skyactiv sedia ada.

Menurut laporan Car and Driver, pilihan paling berkuasa adalah dengan enjin 2.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 250 hp dan tork maksima dengan menggunakan bahan api premium 93 oktana, atau 227 hp dan tork maksima 420 Nm dengan petrol biasa 87 oktana.

Satu lagi pilihan adalah enjin petrol 2.5 liter empat silinder tanpa turbo menghasilkan 187 hp dan tork maksima 252 Nm. Kedua-dua pilihan enjin tersebut masih digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, namun menurut Mazda ia telah ditala semula bagi memberikan prestasi yang lebih responsif.

Untuk pasaran lain seperti Eropah, ia dijangka masih dijana oleh pilihan enjin 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 164 hp/213 Nm dan juga enjin turbodiesel 2.2 liter empat silinder berkuasa 181 hp dan 445 Nm. Pasaran benua berkenaan masih menawarkan pelanggan sama ada mahukan model pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda untuk CX-5 2022 ini.

Bagi sistem keselamatan pula, pakej bantuan sistem pemanduan keselamatan i-Activsense Mazda kini telah ditingkat taraf dengan diberikan sistem Cruising & Traffic Support (CTS), yang membantu pemandu mengurangkan keletihan dengan memberikan bantuan terhadap operasi pedal pendikit, brek dan juga stereng ketika dipandu dalam kesesakan trafik.

Lampu Hadapan Adaptif (ALH) pada CX-5 ini turut dipertingkat dengan memberikan kawalan yang diperhalusi pada capahan cahaya. Sistem-sistem seperti Pemantau Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang, Mazda Radar Cruise Control, Sistem Amaran Keluar Lorong, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sokongan Brek Pintar Bandar dan juga Amaran Tumpuan Pemandu masih diberikan pada Mazda CX-5 facelift 2022 ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required