Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V mild-hybrid, 6&7-tempat duduk

Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

Setelah beberapa siri pra-tonton dibuat sebelum ini, hari ini secara rasmi Proton X90 telah pun dilancarkan ke pasaran tempatan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Seperti yang diumum sebelum ini, X90 ditawarkan dalam empat varian berbeza, dan hari ini harganya diumumkan – dijual bermula RM123,800 untuk varian 1.5 TGDi BSG Standard, RM130,800 untuk BSG Executive, RM144,800 BSG Premium dan RM152,800 untuk varian tertinggi BSG Flagship.

Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Bateri lithium-ion untuk sistem hibrid 48V pada model ini juga menerima perlindungan waranti selama lima-tahun.

Selain itu, semua pembeli Proton X90 ini juga menerima pakej data 1GB sebulan selama lima-tahun dan kos buruh untuk servis sebanyak enam-kali secara percuma. Dan khas untuk 4,000 pelanggan terawal pula akan menerima pakej data 4GB sebulan selama lima-tahun, jam tangan pintar Proton X-Watch bernilai RM1,499, pakej aksesori bernilai RM799 dan pakej insuran tingkat taraf – kesemuanya secara percuma.

Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

Proton X90 merupakan SUV yang lebih besar berbanding X70, menampilkan tiga baris tempat duduk. Varian Standard hingga Premium datang dengan tujuh-tempat duduk, manakala varian Flagship pula hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah.

Kesemua varian X90 ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia model pertama Proton yang menerima sistem hibrid. Unit rangkaian kuasa tersebut tidak ditawarkan pada asas X90 pasaran China iaitu Geely Haoyue yang digerakkan oleh enjin petrol 1.8 liter T-GDi, namun ia adalah sistem yang sama dibekalkan pada kembarnya pada pasaran Filipina iaitu Geely Okavango.

Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (sama dengan enjin X50 dan X70, kini turut telah dipasang oleh Proton di Tanjong Malim) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

Enjin 1.5 liter T-GDI untuk unit rangkaian kuasa hibrid ini masih sama dengan enjin yang dipadankan pada Proton X50 Flagship dan juga varian-varian 1.5T Proton X70, menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala unit BSG bagi sistem hibrid ringkas ini pula memberikan tambahan kuasa dan tujahan tork segera 13 hp/45 Nm apabila diperlukan.

Tidak seperti sistem hibrid konvensional di mana motor elektrik biasanya terletak antara enjin dan kotak gear, unit BSG ini yang dihubungkan ke aci engkol enjin menerusi tali sawat.

BSG ini berfungsi bukan sahaja untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri lithium-ion sistem hibrid 48-volt tersebut secara pemulihan tenaga brek, dan kemudian turut dapat memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

Sistem hibrid ringkas 48V ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia turut boleh ditemui pada model-model keluaran Mercedes-Benz. Proton menyatakan bahawa dengan sistem MHEV 48V ini ia bukan sahaja membekalkan kuasa elektifikasi tambahan, malah memberikan pemanduan lebih lancar serta penggunaan bahan api 15% lebih baik.

Berbanding Geely Houyue yang hanya menerima suspensi jenis Torsion Beam yang ringkas di belakang, Proton X90 pula diberikan sistem gantungan bebas jenis multilink yang lebih jitu dan memberikan pemanduan lebih baik. Ini merupakan konfigurasi yang sama seperti Okavango, tetapi suspensi pada X90 ini ditala semula bagi disesuaikan untuk jalan raya di Malaysia menggunakan kepakaran Proton yang memang sudah dikenali dengan DNA Ride and Handling yang baik.

Dari segi rekaan, Proton X90 kini tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model-model baharu Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom seperti rekaan gril Mercedes-Benz.

Menurut Ketua Pereka Proton Azlan Othman, rekaan pin krom baharu ini sebenarnya diinspirasikan dari corak rekaan pada kain songket Malaysia. Bukan itu sahaja, rekaan busur panah juga masih digunakan pada X90 ini sebagai kemasan berwarna perak yang terletak di bahagian bawah gril berkenaan.

Gril tersebut diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango. Lampu X90 ini menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-L yang diletakkan pada posisi lebih rendah berbanding jalur LED pada lampu Haoyue.

Ini membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun secara menegak yang agak sama seperti Honda CR-V. X90 ini juga menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis sequential.

Untuk saiz, X90 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Jadi X90 akan berhadapan terus dengan model-model SUV tiga baris tempat duduk yang lain seperti Mazda CX-8 dan juga Hyundai Santa Fe.

Pada bahagian dalaman pula, X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Menurut Proton, X90 menerima bahagian kabin yang direka praktikal untuk digunakan serta kemasan-kemasan yang diperbuat dari material lembut dan anjal.

Antara tumpuan rekaan pada bahagian dalaman X90 ini adalah penggunaan fungsi-fungsi terhubung. Oleh itu ia diberikan skrin infotaimen berdiri sendiri yang sangat besar bersaiz 12.3-inci pada bahagian tengah, manakala pemandu pula menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10-inci.

Bagi skrin sistem infotainmen, ia menampilkan pemproses EO2, ram 6 GB dengan memori dalaman 64 GB serta resolusi paparan 1920 x720 piksel. Namun ia masih tidak menampilkan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, sebaliknya ia menggunakan ATLAS OS yang dibangunkan oleh ACO Tech.

Konsol terowong juga dilihat sama seperti Haoyue/Okavango, hadir dengan tombol gear segi empat, butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan.

Untuk ruang kargo pula, kapasiti seluas 257 liter tersedia di but belakang dengan tempat duduk baris ketiga digunakan. Ia juga masih dibekalkan dengan tayar gantian, tetapi dalam versi space saver yang lebih kecil.

Bagi pecahan kelengkapan mengikut varian, X90 Standard menerima perincian seperti lampu hadapan LED penuh, rim aloi 18-inci, upholsteri dalaman fabrik, skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci dan juga kamera undur.

Model Executive pula menerima tambahan dan tingkat taraf perincian termasuk pemadanan sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), pintu tailgate bantuan kuasa, upholsteri kulit sintetik leatherette, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, liang untuk kedua-dua tempat duduk hadapan dan juga kamera 360 darjah bersama paparan 3D.

Untuk model Premium, perinciannya dipertingkat dengan penawaran sistem ADAS, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, pengecas tanpa wayar, dan sistem bantuan parkir automatik.

Untuk sistem ADAS yang diberikan termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.

Manakala varian tertinggi Flagship pula merupakan satu-satunya model yang datang dengan bumbung suria, selain suis ‘bos’ pada tempat duduk penumpang hadapan serta tempat duduk kapten di baris kedua. Konfigurasi tempat duduk kapten pada baris kedua ini hanya ditawarkan pada X90, dan ia tidak ada pada Geely Haoyue dan Okavango.

Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

Sebelum dilancarkan, kami sudahpun diberi peluang untuk memandu uji SUV ini dalam satu sesi ringkas, di mana laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI. Untuk mengetahui lebih mendalam berkenan Proton X90 ini pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Proton X90 1.5L Flagship 2023

Proton X90 1.5L Premium 2023

Proton X90 1.5L Executive 2023

Proton X90 1.5L Standard 2023

Pilihan warna Proton X90 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required