Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Semalam Proton X90 telah didedahkan kepada media dalam satu sesi pra-tonton yang dibuat di studio rekaan Proton yang terletak di Ibu Pejabat jenama automotif nasional berkenaan di Shah Alam. Segala perincian yang kami keluarkan dalam laporan semalam kebanyakkannya adalah dari kenyataan media yang disiarkan oleh Proton, tetapi kali ini kami turut akan mendedahkan beberapa fakta yang kami dengar menerusi pembentangan yang dibuat dalam sesi pra-tonton tersebut.

Seperti yang anda boleh lihat, Proton X90 tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model-model terkini Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom seperti rekaan gril Mercedes-Benz.

Sebelum ini Proton pernah mendedahkan bahawa rekaan Infinite Weave berkenaan adalah diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi Melayu, jadi adakah Proton tidak lagi menggunakan rekaan berasaskan identiti Malaysia?

Menurut Ketua Pereka Proton Azlan Othman, rekaan pin krom baharu ini sebenarnya diinspirasikan dari corak rekaan pada kain songket Malaysia. Bukan itu sahaja, rekaan busur panah juga masih digunakan pada X90 ini sebagai kemasan berwarna perak yang terletak di bahagian bawah gril berkenaan.

Proton X90 (kiri) dan Geely Houyue 2023 (kanan)

Gril tersebut diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango. Lampu X90 ini menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-L yang diletakkan pada posisi lebih rendah berbanding jalur LED pada lampu Haoyue.

Ini membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun secara menegak yang agak sama seperti Honda CR-V. X90 ini juga menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis sequential.

Menurut Pengarah Kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon pula, Proton X90 dihasilkan dari platform Advanced versatile, dan ia mengambil masa bekerja selama 96,000 jam untuk disiapkan. Ini melibatkan ujian pemanduan dalam jarak 1.2 juta km, menukar posisi pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan dan X90 menampilkan beberapa perbezaan mekanikal berbanding Geely Haoyue pasaran China.

Proton X90 juga menampilkan sebanyak 45% kandungan tempatan, dengan 500 komponen dibekalkan oleh vendor-vendor dalam negara.

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Model ini dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia bukan sahaja model hibrid pertama Proton, malah kenderaan tenaga baharu pertama bagi jenama automotif berkenaan. Unit MHEV tersebut menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) dan dibantu oleh unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

Ia berbeza dengan Geely Houyue di China yang menggunakan enjin 1.8 liter T-GDI (sama seperti enjin X70 1.8 Premium) yang menghasilkan 184 PS dan tork maksima 300 Nm. Namun X90 di Malaysia ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang sama dengan Geely Okavango untuk pasaran China.

Enjin 1.5 liter T-GDI untuk unit rangkaian kuasa hibrid pertama ini masih sama dengan enjin yang dipadankan pada Proton X50 Flagship dan juga varian-varian 1.5T Proton X70, menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala unit BSG bagi sistem hibrid ringkas ini pula memberikan tambahan kuasa dan tujahan tork segera 13 hp/45 Nm apabila diperlukan.

Tidak seperti sistem hibrid konvensional di mana motor elektrik biasanya terletak antara enjin dan kotak gear, unit BSG ini yang dihubungkan ke aci engkol enjin menerusi tali sawat.

BSG ini berfungsi bukan sahaja untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri lithium-ion sistem hibrid 48-volt tersebut secara pemulihan tenaga brek, dan kemudian turut dapat memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

Sistem hibrid ringkas 48V ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia turut boleh ditemui pada model-model keluaran Mercedes-Benz. Proton menyatakan bahawa dengan sistem MHEV 48V ini ia bukan sahaja membekalkan kuasa elektifikasi tambahan, malah memberikan pemanduan lebih lancar serta penggunaan bahan api 15% lebih baik.

Proton akan memberikan waranti selama lima-tahun untuk bateri 48V berkenaan, dan harga gantiannya sekiranya perlu ditukar apabila habis waranti akan diumumkan kemudian.

Berbanding Geely Houyue yang hanya menerima suspensi jenis Torsion Beam yang ringkas di belakang, Proton X90 pula diberikan sistem gantungan bebas jenis multilink yang lebih jitu dan memberikan pemanduan lebih baik. Ini merupakan konfigurasi yang sama seperti Okavango, tetapi suspensi pada X90 ini ditala semula bagi disesuaikan untuk jalan raya di Malaysia menggunakan kepakaran Proton yang memang sudah dikenali dengan DNA Ride and Handling yang baik.

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Seperti yang didedahkan semalam, X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Menurut Proton, X90 menerima bahagian kabin yang direka praktikal untuk digunakan serta kemasan-kemasan yang diperbuat dari material lembut dan anjal.

Antara tumpuan rekaan pada bahagian dalaman X90 ini adalah penggunaan fungsi-fungsi terhubung. Oleh itu ia diberikan skrin infotaimen berdiri sendiri yang sangat besar bersaiz 12.3-inci pada bahagian tengah, manakala pemandu pula menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10-inci.

Bagi skrin sistem infotainmen, ia menampilkan pemproses EO2, ram 6 GB dengan memori dalaman 64 GB serta resolusi paparan 1920 x720 piksel. Namun ia masih tidak menampilkan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi ia mungkin akan menggunakan sistem hubungan yang dihasilkan oleh Aco Tech seperti X50 dan X70.

Konsol terowong juga dilihat sama seperti Haoyue/Okavango, hadir dengan tombol gear segi empat, butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan.

Proton menawarkan empat varian untuk X90 ini iaitu Standard, 1.5 TGDi BSG Executive, BSG Premium and BSG Flagship. Bagi tiga varian paling bawah, X90 tampil dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala varian BSG Flagship pula menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk.

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Dengan susunan hanya enam-tempat duduk untuk varian Flagship, ia memberikan penampilan yang lebih mewah dan ruang lebih lega bagi penumpang pada baris kedua dengan dibekalkan sepasang tempat duduk kapten bersama perehat kepala pilot. Setakat ini hanya Proton X90 yang tampil dengan konfigurasi enam-tempat duduk ini, manakala Okavango dan Haoyue hanya diberikan versi tujuh-tempat duduk.

Kapasiti ruang kargo belakang belum lagi dinyatakan dengan terperinci, namun Proton ada menyebut ia menawarkan ruang sehingga 2,050 liter.

Untuk tempat duduk hadapan kedua-duanya menampilkan liang udara bersama fungsi larasan berkuasa dengan enam hala untuk bahagian pemandu dan empat-hala untuk penumpang. X90 juga hadir dengan tujuh port mengecas terdiri dari port USB Type A, Type C dan pengecas tanpa wayar, serta semua baris tempat duduk menerima port pengecas masing-masing.

Bagi sistem pendingin hawa pula, SUV ini dibekalkan dengan sistem dua zon, bersama sistem berasingan bagi kabin belakang. Kesemua baris tempat duduk juga menerima liang penghembus masing-masing, dan keseluruhan sistem menerima fungsi G-Clean, ionizer dan juga penuras kabin N95.

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Perincian lain yang turut ditawarkan termasuk upholsteri kulit Nappa, lampu suasana dalam kabin, fungsi kunci automatik sekiranya pemandu berada pada kawasan berhampiran atau beredar dari kenderaan, serta fungsi pintu tailgate pintar.

Untuk keselamatan, secara keseluruhan X90 menerima 14 fungsi dalam sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), di mana tiga daripadanya adalah baharu dan tidak pernah dipadankan pada X50 dan X70. Fungsi berkenaan adalah Amaran Pelanggaran Belakang, Amaran Lintasan Trafik belakang dan juga Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya.

Secara keseluruhan, pakej ADAS yang dibekalkan pada X90 ini cukup untuk pengiktirafan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 Tambahan. Perincian keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk dua cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang, bantuan Auto Park, kamera 360 darjah dengan imej 3D serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).

Saiz untuk Proton X90 ini masih belum diumumkan secara rasmi, namun ia sudah tentu hampir sama dengan Houyue dan Okavango. SUV tersebut dihasilkan dengan dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm.

Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Jadi X90 akan berhadapan terus dengan model-model SUV tiga baris tempat duduk yang lain seperti Mazda CX-8 dan juga Hyundai Santa Fe.

Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

Bumbung suria turut ditawarkan pada X90 namun ia hanya untuk varian tertinggi Flagship. Sementara untuk roda pula, varian Premium dan Flagship diberikan rim aloi 19-inci dengan tayar Continental EcoContact 6 bersaiz 235/50R19, manakala dua varian lebih rendah pula hadir dengan rim 18-inci dengan tayar 225/55R18.

Proton masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan harga untuk X90 ini. Namun dengan saiz dan juga perincian yang dilihat lebih maju dari X50 dan X70, kami menjangkakan X90 mungkin dijual pada harga RM130k hingga RM150k. Tarikh pelancarannya juga masih belum dimuktamadkan, tetapi Proton menyatakan bahawa tempahannya akan dibuka bila-bila masa dari sekarang.

Malah Proton turut mengumumkan bahawa X90 akan di bawa ke enam bandar dalam negara bagi memberikan peluang kepada pelanggan yang berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat dalam satu sesi pra-tonton khas bermula 8 April ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required