Pasaran Filipina akan menerima pengenalan satu lagi model Geely yang dikenali sebagai Okavango, yang sepatutnya merupakan versi yang dinamakan semula bagi model Haoyue yang dilancarkan di China awal tahun ini. SUV tujuh-tempat duduk itu akan menyertai Azkarra dan Coolray sebagai barisan SUV yang dijual di sana oleh Sojitz G Auto Phillippines (SGAP), pengimport dan pengedar kenderaan Geely di Filipina.

Penggunaan nama Okavango oleh Geely Filipina adalah merujuk kepada Okavango Delta, kawasan delta di tanah besar yang luas yang diiktiraf sebagai salah satu keajaiban alam semulajadi di Afrika serta tapak ke-1,000 yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO.

Beberapa media di sana juga telah melaporkan tentang spesifikasi Okavango. SUV berkenaan bakal menggunakan sistem janaan kuasa yang sama dengan varian Luxury bagi Azkarra. Ini melibatkan enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbocas serta sistem 48-volt mild hybrid yang menawarkan 190 hp dan 300 Nm tork.

Ia digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Ini berbeza dengan apa yang ditawarkan di China, memandangkan Haoyue menggunakan enjin 1.8 liter turbo empat silinder dengan 181 hp dan 300 Nm, dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan yang sama.

Kelengkapan lain, Okavango antaranya akan datang dengan kawalan pendingin hawa tiga zon, kamera pemandangan 360-darjah, enam beg udara, ESC, bantuan mula mendaki, tiga mod pemanduan dan kawalan menuruni curam. Kerusi dengan larasan 19-arah turut tersedia, konsol dua lapisan, 42 ruang barangan serta kerusi barisan kedua dan ketiga yang boleh dilipat sepenuhnya.

Tempahan awal bagi Okavango telah mula dibuka pada 17 Oktober, dengan SGAP memberikan tawaran berbaloi bagi mereka yang berbuat demikian – melibatkan penjimatan sehingga 90,000 Philippine pesos (RM7,662).

Geely Haoyue pasaran China