Geely Auto secara rasminya telah melancarkan SUV terbesar mereka, Haoyue VX11 di China. Model SUV segmen D ini pertama kali ditunjukkan pada Januari lalu dan mempunyai kabin yang luas dipasang dengan pelbagai kelengkapan. Kesemuanya ada tiga varian, dan harga terletak di antara 103,600 yuan (RM62k) hingga 139,600 yuan (RM84k).

Haoyue datang dalam pilihan lima tempat duduk atau tujuh tempat duduk, dengan tempat duduk baris kedua serta ketiga boleh dilipat rata untuk memberi lebih ruang. Model lima tempat duduk menawarkan ruang simpanan maksimum 2,370 liter manakala model tujuh tempat duduk menyediakan 2,050 liter ruang barangan.

Menurut Geely, tempat duduk Haoyue boleh dilipat untuk dijadikan seperti katil, dan orang yang berketinggian sehingga 1.9 meter juga boleh duduk dengan selesa tanpa melakukan sebarang pelarasan. Semua baris tempat duduk boleh dilaras dan tempat duduk belakang datang dengan penyandar yang boleh dilaras lapan arah. Jika itu masih tidak mencukupi, pelanggan boleh memilih tetapan tempat duduk VIP yang berasingan.

Selain menggunakan bahan mesra alam, SUV ini juga dilengkapi dengan penapis udara gred CN95 yang mampu menapis 99% partikel PM2.5 dan 98% titisan yang lebih besar daripada 0.74 micrometer. Pengawal pendingin hawa dengan sistem AQS datang secara standard, dan ia membolehkan udara seluruh kabin dibersihkan dalam masa bawah tiga minit.

Satu lagi ciri penting pada Haoyue adalah GKUI Geely Smart Ecosystem yang dikuasakan oleh pemproses quad-core E01 berprestasi tinggi. Sistem ini memberikan interaksi yang mudah dengan skrin sesentuh, dan boleh disambungkan kepada pelbagai fungsi lain seperti kawalan suara dan aplikasi IoT lain termasuklah peranti pintar di rumah. Pada papan pemuka terdapat dua skrin 12.3 inci dan head-up display untuk navigasi.

Haoyue digerakkan oleh enjin empat silinder direct injection 1.8 liter yang mampu menghasilkan kuasa 181 PS dan 300 Nm tork, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan atau kesemua sekali. Enjin ini juga mematuhi tahap emisi 6B di China.

Menurut laporan di China, Geely juga akan melancarkan Haoyue dengan enjin 2.0 liter turbo yang dibangunkan bersama Volvo. Enjin ini juga akan ditawarkan dalam dua talaan kuasa dengan yang paling tinggi sekitar 247 hp dan 350 Nm tork. Apabila pengeluaran enjin 2.0L ini bermula, Haoyue akan menjadi model pertama yang menggunakannya.

Akhir sekali, Haoyue dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 2 yang terdiri daripada 24 sensor untuk memberi fungsi kepada 17 ciri pintar. Antaranya adalah seperti Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop-Go serta fungsi lane centering dengan bantuan membelok (seperti Pilot Assist Volvo) sehingga 150 km/j. Parking Assist pula datang dengan pandangan panoramik 360 darjah.