Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Seperti ramai yang sedia maklum, Proton akan memperkenalkan secara rasmi model terbarunya dalam masa tedekat, dan sudah dibuka untuk tempahan. Proton X90 2023, SUV ketiga daripada Geely selepas X70 dan X50 sebelum ini, dan bakal menjadi model flagship terbaru untuk jenama itu di pasaran tempatan. Kecuali harga, sudah banyak juga perkara dan perincian yang kita tahu tentang SUV ini. Dan, kali ini, kami akan berkongsi juga pandangan dan pengalaman awal selepas memandu uji secara ringkas Proton X90 pertengahan mingggu ini — bagaimana prestasinya di atas jalan?

Ini kali kedua kami melihat dari dekat model terbabit, dengan kesempatan untuk bergilir-gilir memandu dari Shah Alam ke Genting Highland itu, kami sempat meluangkan masa untuk berada di dalamnya dan memerhatikan beberapa perkara yang menarik juga untuk dikongsi. Namun, perlu dinyatakan, lima unit Proton X90 yang menggunakan trade plate dan berada di atas jalan raya hari itu adalah unit pra-pengeluaran: maksudnya, mungkin ada lagi kemaskini yang akan dilakukan sebelum model sebenar untuk pasaran mula diedarkan kelak.

Proton X90 2023 adalah model yang berasal daripada Geely Haoyue, sebuah SUV enam atau tujuh-tempat duduk yang akan menjadi model paling besar dan canggih untuk Proton selepas X70. Bagaimanapun, ia bukanlah “sebijik” seperti model pasaran China itu: banyak penyesuaian yang dilakukan untuk SUV berkenaan memenuhi selera dan keperluan pasaran tempatan. Ia dipasang di kilang Proton Tanjung Malim, dan akan ditawarkan dalam empat varian. Untuk laporan ini, kami sempat mendekati dua varian teratas X90, iaitu Premium dan Flagship.

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Dari segi luaran, Proton X90 merupakan sebuah SUV yang tidak kelihatan terlalu besar, walaupun sebenarnya mampu memuatkan maksimum tujuh penumpang dewasa dalam satu masa. Ini untuk saya sisi yang menarik: maksudnya, rekaan dan tataletak dalamannya optimum, dan semua itu rangkumkan oleh satu pendekattan atau pengurusan ruang yang ketat dan padat — tiada “pembaziran” ruang yang berlaku, baik di luar dan di dalam.

Apa pun, ia ternyata lebih besar daripada X70, walaupun dari pandangan mata kasar, ia tidak pula nampak jauh lebih tinggi dan terlalu lebar. Cuma, dengan pertambahan tempat duduk barisan ketiga untuk X90, ia tentulah lebih panjang. X90 datang dengan rekaan umum berkotak, dengan garis bumbung yang sekata dari depan sampai ke belakang. Walaupun bagi sesetengah orang itu agak konvensional, apatah lagi jika memikirkan X90 ini sebagai sebuah model flagship terbaru Proton, tetapi itu juga membawakan banyak kelebihan lain kepadanya.

Sebagai contoh, ruang kepala, terutama di kerusi barisan ketiga, sangat menyenangkan dan membolehkan sesiapa sahaja, termasuk orang dewasa yang tinggi, duduk dengan agak selesa. Ini sangat penting kerana X90 ingin menjadi sebuah SUV keluarga, dan keselesaan adalah keutamaan. Oh, sebelum terlupa: dari luaran, tidak banyak perkara yang membezakan antara varian Premium dan Flagship yang paling tinggi — yang paling ketara ialah adanya bumbung panoramik untuk Flaghsip.

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Dengan adanya bumbung panoramik itu, dan jika dibuka, ia tentunya memberikan kelainan dan rasa “keluasan” tambahan kepada ruang kabin Proton X90. Bagi model tujuh-tempat duduk, kerusi barisan kedua juga berbeza daripada Geely Haoyue. Model China itu datang dengan tempat duduk individu, maksudnya ada tiga lekuk berasingan setiap penumpang, sementara X90 datang dengan kerusi dengan nisbah lipatan 60:40 seperti yang selalu kita lihat. Menurut Proton, untuk pasaran tempatan, konfigurasi berkenaan lebih dihargai dan diinginkan oleh pelanggan berbanding tiga lekuk tempat duduk individu tersebut.

Bercakap tentang kerusi dan pengalaman duduk di barisan kedua ini, ia sememangnya cukup pemurah dengan ruang kaki dan kepala. Cuma, untuk mereka yang berkaki panjang, akan agak terasa yang bahagian bench atau pelantarnya itu sedikit pendek dan akan meletakkan peha penumpang agak “tergantung” dan tidak memberikan sokongan yang lebih banyak. Kelebihannya pula, ruang antara lutut ke penyandar kerusi depan adalah sangat luas.

Lagi tentang sokongan kerusi barisan kedua ini: bahagian penyandarnya dirasakan sepatutnya boleh menyediakan sokongan yang lebih banyak, terutama untuk bahagian belakang badan. Dalam banyak keadaan dalam perjalanan ringkas itu, saya terpaksa memegang pemegang di atas untuk mengelakkan badan daripada menggelungsur ke kiri dan kanan, terutama ketika melalui jalan naik ke Genting Highlands yang berliku-liku. Sedikit lebih sokongan tentunya akan menjadikan barisan kedua berkenaan cukup menyenangkan dan lebih selesa, walaupun ini bukanlah masalah yang terlalu besar.

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Tentang keselesaan, apa yang menarik untuk Proton X90 ini, semua barisan tempat duduk ada corong pendingin sendiri. Lebih menarik, corong berkenaan terletak di bahagian sisi bumbung di atas, dan bukan di bawah atau tiang pintu. Ini jauh lebih praktikal dan berguna kerana hawa dingin yang keluar dari corong itu akan dimanfaatkan sepenuhnya ke bahagian atas badan penumpang: tidaklah ia hanya menyejukkan kaki dan lutut sahaja, seperti dalam sebahagian kenderaan lain.

Tataletak bahagian depan Proton X90 juga moden dan ringkas. Papan pemukanya luas dan bersih, memberikan rasa ruang yang luas dan tidak terlalu berserabut dengan perincian yang tidak diperlukan. Daripada sini juga kita tahu yang X90 lebih memanfaatkan keringkasan dan mementingkan praktikaliti fungsi daripada setiap satu perinciannya. Skrin besar untuk infotianmen yang terletak di tengah dengan saiz 12.3-inci juga cukup puas untuk dipandang, begitu juga dengan panel instrumen kluster bersaiz 10.25-inci di depan pemandu: semuanya paparan digital yang jelas dan memudahkan pemerhatian ketika memandu.

Cuma yang masih menjadi kekurangan ialah ketiadaan Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk sebuah model baru, apa lagi untuk kegunaan keluarga dan mementingkan kelengkapan dan kesenangan pengguna zaman ini, ketiadaan sambungan sistem bersepadu dan mudah seperti ini agak terasa kelompongannya. Ini kerana, hampir semua orang ketika ini ada telefon pintar dengan sistem operasi antara dua yang disebutkan itu. Tetapi teknologi berkenaan tidak dapat dimanfaatkan di dalam X90 yang dipasarkan sebagai model flagship terbaru Proton itu.

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Unit yang kami pandu misalnya menunjukkan sedikit kekurangan ini, dalam konteks perisian peta dan tunjuk arah yang ada di dalamnya. Ketika turun dari Genting Highland dan meletakkan Proton COE sebagai destinasinya, sistem peta binaan dalaman Proton X90 membawa kami melalui Jalan Kuching, dan anehnya tidak mencadangkan Lebuhraya DUKE yang lebih mudah dan singkat, seperti ketika bertolak dari COE pada sebelah paginya. Ia bahkan membawa kami memasuki jalan di tengah Kuala Lumpur, dan menyusur Lebuhraya Persekutuan. Jangkaan awal untuk ia mencadangkan kami supaya masuk ke Lebuhraya NPE juga meleset: kami akhirnya mematikan sistem berkenaan.

Itu mungkin disebabkan oleh carian destinasi yang kurang tepat. Tetapi, sekiranya ada sambungan Apple CarPlay atau Android Auto, semua ini boleh diatasi dengan menggunakan Waze: yang mana kemaskininya adalah dalam masa nyata dan semua pengguna boleh berkongsi maklumat trafik semasa untuk dimanfaatkan pengguna lain. Dalam erti kata mudah, teknologi yang berkesan sudah sedia ada dengan capaian internet, dan lebih menarik jika pengguna Proton X90 boleh memanfaatkan semua itu.

Tentang aspek pemanduan pula, secara umumnya, mengambil kira ia sebuah SUV keluarga, prestasi pemanduan yang diberikan oleh Proton X90 sangat selesa dan mudah dikendalikan. Tambahan pula, ini merupakan model pertama Proton yang menggunakan sistem mild-hybrid 48V yang sedikit sebanyak membantu aspek elektrifikasi SUV berkenaan. Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

Berdasarkan unit yang kami pandu itu, saluran kuasanya dirasakan memadai sahaja, tidak terlalu terasa lonjakan misalnya angka tork 300 Nm seperti yang dinyatakan itu. Bunyi dari enjin dan saluran ekzos juga agak ketara didengar dari dalam kabin, terutamanya ketika menekan pedal minyak dengan agresif dan kerap ketika mendaki menaiki Genting. Menurut Proton, sistem 48V mild-hybrid ini memberikan kelebihan dan penambahbaikan pecutan dari pegun sebanyak 10%, pecutan dengan momentum sebanyak 15% serta mengurangkan pengeluaran CO2 sebanyak 13%.

Dalam banyak keadaan, kami merasakan tahap kesenyapan di dalam Proton X70 sebelum ini lebih baik. Bagaimanapun, ini adalah hal subjektif yang hanya boleh ditentukan dengan angka ujian. Unit kenderaan lain ketika pandu uji ini misalnya tidak terlalu terkesan atau perasan dengan perkara ini, dan bagi mereka X90 cukup senyap dan selesa dari segi NVH. Apa pun, ini mungkin hanya dialami oleh unit yang kami pandu uji sahaja — jangan lupa, ia adalah unit pra-produksi dan bukan unit yang akan memasuki pasaran kelak. Aspek ini akan kami perhatikan lagi dalam kesempatan pandu uji yang lebih lama dan komprehensif kelak.

Bagi penggunaan munyak pula, setakat apa yang dapat diperkatikan ketika sesi berkenaan, X90 kami memberikan bacaan purata sekitar 14L/100 km (atau 7.1 km/liter). Ini bukanlah bacaan yang boleh dibanggakan sebenarnya. Tetapi kami perlu juga mengambil kira cara dan laluan pandu uji yang dilakukan itu: hampir setiap ketika SUV ini dikerah enjinnya, terutama ketika mendaiki naik ke Genting Highland dan turun semula.

Proton X90 2023 — uji ringkas, 1.5L turbo 3-silinder, 48V mild-hyrbid; cukup kuasa naik Genting?

Cara pemanduan dan keadaan laluan ini sangat mempengaruhi bacaan hari itu. Pemanduan biasa untuk harian di dalam kota misalnya, mungkin akan memberikan bacaan penggunaan minyak yang lebih baik. Ini juga akan kami perhatikan lagi dalam kesempatan yang lain.

Satu lagi perkara yang perlu disebutkan, Proton X90 ini diberikan naik taraf dari segi suspensinya berbanding model Geely yang sama. Bahagian belakang X90 menggunakan suspensi jenis tetapan multi-link dan bukannya jenis torsion beam — ini menjadikan kendalian lebih memuaskan dan olengan badannya jauh lebih stabil dan meyakinkan. Kesannya, penumpang terutama yang duduk di bahagian belakang mampu berada dalam keadaan yang sangat selesa.

Dari aspek keselamatan, Proton X90 menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berdasar kamera yang terletak di bahagian atas cermin hadapan. Antara perincian ADAS lain yang sah disertakan adalah termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.

Untuk rekod, Proton X90 mempunyai dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

Proton X90 1.5L Flagship 2023

Proton X90 1.5L Premium 2023

Pilihan warna Proton X90 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required