PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Memang ada banyak perkara yang menjadikan Honda CR-V 2024 generasi keenam — model yang terbaru dalam pasaran tempatan ketika ini — berbanding model generasi terdahulunya dan juga pesaing lain dalam segmen yang sama. Begitu juga, masih ada kekurangan yang dirasakan sepatutnya sudah diatasi bagi model generasi baru SUV paling popular di Malaysia ini.

Honda CR-V mempunyai sejarah panjang di sini. Ia sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan — termasuk menjadi antara model CKD terawal Honda Malaysia — untuk pasaran tempatan sejak tahun 2002, ketika itu melalui model generasi kedua. Itu satu tempoh yang sudah melebihi dua dekad, dan tentunya sudah banyak yang dilakukan terhadap CR-V.

20 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Ia cukup lama untuk menjadi tempoh matang bagi sesebuah model dalam sesebuah pasaran. Dan, tentu ada sebab mengapa CR-V mampu bertahan begitu lama dalam pasaran tempatan; tidak seperti model-model yang banyak kita pernah lihat yang tidak mempunyai kelangsungan hayat penawarannya di sini.

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Atas sebab ini jugalah jangkaan dan harapan terhadap model SUV lima-tempat duduk ini begitu tinggi. Apa yang melegakan ialah CR-V memang sudah matang seiring masa dan juga melalui penawarannya yang terbaru ini. Masih mempunyai kedudukan dalam segmen C yang agak selesa — berdepan dengan model seperti Proton X70, Mazda CX-5 dan yang terbaru mungkin Chery Tiggo 7 Pro — CR-V kali ini benar-benar menyerlah kehadirannya.

Melihat daripada reka bentuknya sahaja sudah cukup jelas: Honda CR-V 2024 dari segala sudut telah beralih menjadi sebuah SUV dengan saiz yang lebih besar, serta menampilkan pendekatan rekaan yang memikat berbanding versi lamanya sendiri. Sebagai contoh, lihat peralihan reka bentuk yang dilakukan berbanding model generasi kelima CR-V.

Selain tampil lebih garang dan yakin, saiznya lebih besar — CR-V 2024 ini 71 mm lebih panjang (4,694 mm) dan 10 mm lebih lebar (1,865 mm) dengan jarak roda juga bertambah 40 mm (2,700 mm). Sekilas pandang, rekaan yang ditampilkan juga sudah menyamai sentuhan yang biasa kita lihat pada model pengeluar Eropah, sebagai contoh rekaan lampu belakangnya, yang sangat mirip kepada SUV Volvo generasi terkini.

Siluet luaran keseluruhannya juga tidak berlebihan jika disifatkan banyak menghampiri barisan SUV BMW. Ini mungkin petunjuk kepada arah mana Honda ingin arahkan imej SUV popular mereka ini. Dari aspek luaran, paling tidak CR-V telah menepati satu jangkaan yang paling universal — bagi mana-mana model baru, ia haruslah tampil dengan kesegaran dan kematangan berbanding model lamanya, dan tiada yang aneh-aneh dilakukan.

Lebih penting bagi CR-V kali ini, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin — 1.5L turbo i-VTEC dan juga 2.0L i-MMD Hybrid. Penawaran enjin ini mengikut jejak Honda Civic; ini pertama kali CR-V ditawarkan dalam sistem pacuan hibrid untuk pasaran tempatan dan bukan dengan calang-calang konfigurasi sistem enjinnya. Jika ada makna baru yang dibawa oleh CR-V dalam kehadiran terbarunya ini, maka inilah halnya. Enjin dan sistem janaan, yang diharapkan memberi pengalaman dan penawaran berbeza yang tiada pada CR-V sebelumnya, bahkan melebihi daripada pesaingnya.

Dalam dua kesempatan sebelum ini, pertama pada hujung Februari lalu ketika sesi pandu uji media ke Pulau Pinang dan kedua ketika cuti Hari Raya yang baru berlangsung, kami berpeluang untuk mencuba dua varian terpenting yang boleh dikatakan mewakili penawaran Honda CR-V 2024 ketika ini — 1.5T V AWD dan juga 2.0L e:HEV RS hibrid; satu varian paling tinggi untuk enjin 1.5 liter turbo, dan satu lagi varian paling tinggi keseluruhan.

Seperti yang sudah kita sedia maklum ketika pelancarannya pada Disember tahun lalu, Honda CR-V 2024 generasi keenam untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam empat varian: Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Honda CR-V 2.0L e:HEV RS pula dijual pada harga RM195,900

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Bagaimana prestasi dan nilai yang dibawa oleh enjin 1.5L turbo berbanding enjin hibrid 2.0L i-MMD yang ada pada CR-V? Kita telusuri satu per satu. Selama lebih seminggu meluangkan masa bersama Honda CR-V 1.5T V AWD ketika cuti Hari Raya baru-baru ini membolehkan kami meneliti dengan lebih cermat pelbagai perkara tentang CR-V generasi keenam ini.

Oleh kerana ada banyak perkara yang menarik dan baik-baik untuk diperkatakan, kami mulakan dengan satu perkara yang sedikit kurang memuaskan — iaitu kesenyapan dalam kabin. Atau, untuk lebih spesifik, bunyi kebisingan tayar dan jalan yang masuk ke dalam kabin. Bagi sesetengah orang yang mempunyai telinga yang agak sensitif dengan hal ini, mesti mereka akan menyedari bahawa bunyi jalan masih agak kuat kedengaran.

Dan, jika sudah biasa dengan kereta Honda, tidak kisahlah model mana pun, memang kabin kereta Honda cenderung untuk lebih bising berbanding model lain dalam segmen yang sama, tidak kira segmen yang mana. Tetapi, untuk mendapati perkara ini masih berlaku, tambahan pula dengan imej CR-V yang kini lebih premium dan harganya yang juga makin meningkat, ini satu hal yang sedikit mengecewakan.

Honda CR-V 2024 memang dari segi ergonomik dan praktiakaliti masih mempunyai banyak kelebihan, dan apa yang membuatkan Honda masih tidak serius untuk menjadikan ruang kabin CR-V ini betul-betul selesa dan lebih kedap bunyi akan kekal berada di luar kefahaman ramai orang. Bukan sangat tentang bunyi enjin yang jadi masalah, sebaliknya bunyi dari permukaan jalan, apatah lagi ketika melalui permukaan kasar dan tidak rata.

Dalam aspek ini misalnya, pesaing lain memberikan kesenyapan kabin yang lebih baik berbanding CR-V, terutamanya Mazda CX-5 dan juga Proton X70. Dengan harga yang makin meningkat (tentu saja dengan kelengkapan yang juga bertambah), jika ia diberi perhatian dengan lebih serius, perkara ini akan memberi nilai yang cukup bermakna untuk CR-V jika dapat menandinginya segera.

Selebihnya, pengalaman bersama Honda CR-V 1.5T V AWD 2024 ini agak memuaskan. Enjin L15BE DOHC turbo empat-silinder ini menghasilkan kuasa sebanyak 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm. Ini lebih daripada memadai untuk memberikan pemanduan yang ideal untuk CR-V.

Berbanding versi sebelum ini bagi enjin tersebut, respon pecutannya telah diperkemas dengan menjadikan kuasa dan tork tiba lebih awal — sebelum ini, kuasa maksimum tiba pada takat 5,600 rpm, sementara tork pula antara 2,000-5,000 rpm. Kuasa dari enjin ini kekal disalurkan oleh Earth Dreams CVT yang juga telah diberikan pembaharuan untuk mengurangkan bunyi dan gegarannya. Dari sudut prestasi, varian V AWD ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 10.4 saat.

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Pecutan ini agak lambat jika dibandingkan dengan varian lain disebabkan ciri pacuan semua roda AWD kawalan elektronik yang ada. Dan ini memang menjadikan pemanduan varian V AWD ketara boleh dirasakan lebih berat, dan memerlukan sedikit masa untuk mencapai momentum kelajuannya. Bagaimanapun, ia tidaklah terasa kurang kuasa — mungkin akan sedikit terasa sekiranya membawa lima penumpang dewasa dan muatan penuh.

Cuma ia tetap ada kelebihan: ciri AWD berkenaan sedikit memberi keyakinan ketika memandu dalam hujan dan jalan licin, serta ketika mengambil selekoh. Kekurangannya pula sudah tentulah ia tidak begitu jimat minyak. Sepanjang mencubanya tempoh hari ketika musim perayaan dengan jalan selalu sesak, bacaan purata terbaik yang pernah diberikan ialah sekitar 15.4 km per liter — selebihnya adalah angka-angka yang jauh berkurangan daripada ini. Angka rasmi dari Honda pula menyatakan kadar penggunaan minyak 7.5 liter per 100 km untuk varian V (varian 1.5L lain memberikan bacaan 7 liter per 100 km).

Dalam penggunaan sebenar, serta dengan kapasiti tangki minyak 57 liter yang agak besar, varian V AWD tidaklah terlalu menjimatkan. Jika tiada keperluan untuk ciri AWD, maka variannya yang lain akan memberikan bacaan yang jauh lebih baik. Dengan bayangan subsidi petrol yang akan ditarik balik atau diberikan secara bersasar, faktor ini mungkin sesuatu yang penting untuk dipertimbangkan sekiranya anda berhasrat untuk membeli CR-V.

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Namun, tanggapan tentang CR-V terbaru ini beralih jadi lebih mengkagumkan ketika dalam kesempatan singkat memandu dan berada dalam varian e:HEV RS yang paling tinggi. Oleh kerana kita sedang menyentuh tentang penggunaan minyaknya, angka rasmi daripada Honda menyatakan varian hibrid ini mampu memberikan bacaan 5 liter per 100 km. Ini jauh lebih menjimatkan, dan akan mengurangkan kekerapan anda untuk ke stesen minyak bagi isian semula. Untuk makluman, varian hibrid hanya ditawarkan dalam versi pacuan dua roda depan sahaja untuk pasaran Malaysia. Tiada versi pacuan AWD untuknya.

Varian paling tinggi ini adalah model hibrid dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), sama seperti apa yang digunakan untuk Civic e:HEV RS — melibatkan sebuah motor elektrik dan enjin petrol 2.0L NA kitaran Atkison yang bertindak selaku generator. Enjin berkenaan menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 190 Nm tork pada 4,500 rpm — 1 Nm lebih berbanding Civic hibrid.

Walaupun enjin ini boleh menyediakan pacuan terus — melalui klac kekunci — dalam kelajuan tinggi dan untuk lebih cekap, motor elektriknya yang melakukan semua kerja pacuan dalam keadaan biasa. Dari segi output, motor elektrik berkenaan menjana sebanyak 184 PS (181 hp, atau 135 kW) pada 5,000 hingga 8,000 rpm dan 335 Nm dari sifar ke 2,000 rpm — 20 Nm lebih berbanding Civic hibrid. Enjin ini digandingkan dengan e-CVT, dan membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa sembilan saat.

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Janaan kuasa menjadi satu kelebihan bagi varian e:HEV RS berbanding varian lain. Dan ini boleh dirasakan dengan sangat ketara sebaik sahaja berpindah dari memandu varian V ke RS. Pacuannya juga jauh lebih ringan. Dan, berbanding V yang kabinnya agak bising, e:HEV RS ini adalah sebaliknya. Oleh kerana motor menjadi pemacu utamanya dengan enjin hanya bertindak selaku generator atau dalam kelajuan yang lebih tinggi, kabin RS ini jadi jauh lebih senyap dan lebih selesa.

Tak hanya itu, khusus untuk varian hibrid, ia juga dilengkapi wheel resonator yang tidak diberikan untuk varian lain CR-V — kerana menurut Honda, kabin model hibrid ada keperluan untuk menjadi lebih senyap berbanding yang biasa. Ciri ini juga bagaimanapun tidak ditawarkan sebagai pilihan untuk varian lain. Disebabkan dua faktor yang dinyatakan ini, jika diberi pilihan, kami tidak akan mahu lagi berada dalam kabin V dan akan memilih kabin RS yang lebih nyaman.

Memandangkan RS merupakan model hibrid yang dipacu secara utamanya oleh motor elektrik, makan ia didatangkan juga dengan ciri Active Sound Control (ASC). Ciri ini akan menghadirkan bunyi enjin — ketika enjinnya berfungsi — melalui sistem pembesar suara yang ada bagi membolehkan pemandu tetap merasa seolah-olah ada kadar deruman enjin untuk membantu ketika memandu. Ciri berkenaan tidak ada untuk varian CR-V yang lain.

PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

Sebaliknya, untuk varian V, ada ciri Active Noise Control (ANC) disertakan. Ini ciri yang sudah pernah kita temukan dalam banyak kenderaan. Ia berfungsi menggunakan mikrofon yang akan mengesan tahap bunyi bising dalam kabin dan akan mengurangkan bunyi berfrekuensi rendah dengan cekap untuk mengekalkan tahap bunyi yang dirasakan wajar dalam ruang kabin.

Dari sudut penampilan juga kami merasakan yang CR-V e:HEV RS 2024 mempunyai imej yang lebih menawan dengan rim hitam 18-inci yang digunakan. Bukan itu sahaja, banyak lagi kemasan perincian di bahagian luarnya turut hadir dalam warna hitam — seperti gril dan antena — sekaligus menjadikannya lebih garang dan sporty.

Untuk kelengkapan lain, Honda CR-V 2024 rasanya berhasil untuk menepati jangkaan dan akan memuaskan hati ramai orang. Ada pengecas Qi tanpa wayar, sementara ciri Active Shutter Grille pula hanya untuk e:HEV RS, begitu juga dengan Apple CarPlay tanpa wayar. Selain itu, V ke atas pula menerima kerusi pemandu dengan fungsi memori, kamera keliling dan kad kunci Honda. RS turut menerima tambahan HUD.

Bagi V, kemasan balutan semuanya kulit hitam dan unit infotainmen dengan skrin sentuhnya bersaiz sembilan-inci. Sama seperti Civic, varian V menerima kluster instrumen tujuh-inci separa digital dengan speedometer analog. Hybrid RS satu-satunya yang menerima paparan instrumen digital sepenuhnya yang bersaiz 10.25-inci.

Untuk kemasan, semua varian petrol termasuk versi AWD menerima panel kayu gelap di bahagian papan pemuka dan panel pintu, manakala RS menerima kemasan aluminium dengan hitam berkilat. Jahitan merah ada untuk membezakan RS terutama di bahagian kerusi, stereng, tombol gear dan lain-lain.

RS satu-satunya varian yang didatangkan dengan sistem audio Bose Premium dengan 12-pembesar suara — pertama kali digunakan untuk model ini yang ditawarkan di Malaysia. Ia juga satu-satunya varian yang menerima ciri Adaptive Driving Beam untuk lampu depan. Turut melengkapi V AWD ialah pintu kuasa bebas kendalian tangan di belakang dan sistem kamera sisi LaneWatch (ciri kamera ini untuk semua varian). Ciri keselamatan Honda Sensing adalah standard untuk semua varian, termasuklah ciri telematik Honda Connect yang dikendalikan melalui aplikasi telefon.

Jadi, adakah Honda CR-V 2024 mampu menjadi sebuah penawaran SUV yang lebih baik daripada sebelumnya? Jawapan mudahnya, ya, tetapi bukanlah tanpa kekurangannya tersendiri. Bagi kami sendiri, pengalaman berada dan memandu e:HEV RS memang cukup mengesankan.

Ya, harganya mahal, tetapi sistem hibrid yang Honda sangat yakini sebagai teknologi peralihan yang sangat berkesan sebelum ke EV kini hadir dengan keseronokan dan rasa premiumnya yang tersendiri. Mungkin ini juga menjadi pendorong yang menyumbang kepada 14% daripada pembeli CR-V yang sudah membuat tempahan setakat Februari lalu memilih varian tersebut.

Dengan kehadiran model generasi keenam ini, serta semua kelebihan penawarannya, CR-V mungkin akan mempunyai banyak kelebihan berbanding pesaingnya, buat sementara waktu sebelum ada penawaran yang setimpal dan cantik sama padan dengannya yang muncul kelak.

Bagaimana, sanggup membayar harga CR-V ini untuk setiap penawaran yang diberikan? Perincian spesifikasi antara varian boleh dirujuk di sini.

Honda CR-V 1.5T V 2024

Honda CR-V 2.0L RS Hybrid 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required