Chery Tiggo 7 Pro dipertonton di M’sia — 1.6L, 197hp, 290 Nm, 7DCT; tempahan dibuka, bawah RM130k

Chery Tiggo 7 Pro dipertonton di M’sia — 1.6L, 197hp, 290 Nm, 7DCT; tempahan dibuka, bawah RM130k

Minggu lalu, Chery Tiggo 7 Pro sudah pun mula dibuka untuk pendaftaran minat bagi pelanggan di Malaysia. Dan hari ini, model terbabit dipertontonkan kepada media dalam satu majlis taklimat, sekaligus mengesahkan ketibaannya ke pasaran tempatan dalam masa terdekat. Harga anggaran SUV ini ialah di bawah RM130k.

Sama seperti dua model Chery yang sudah dilancarkan di sini, iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, SUV Tiggo 7 Pro ini juga akan dijual dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) dari kilang di Kulim, Kedah.

Untuk pasaran Malaysia, Tiggo 7 Pro ini akan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang menjana kuasa sebanyak 197 hp dan 290 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar (7DCT — dengan keupayaan beban tork 390 Nm, lebih tinggi daripada janaan tork enjinnya). Dari segi prestasi, gandingan tersebut membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa mampu memberikan bacaan 7.0L/100 km.

Chery Tiggo 7 Pro dipertonton di M’sia — 1.6L, 197hp, 290 Nm, 7DCT; tempahan dibuka, bawah RM130k

SUV dalam segmen C ini bakal menjadi pesaing kepada model-model sedia ada alam pasaran tempatan seperti Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5. Ia mempunyai dimensi ukuran 4,513 mm panjang, 1,696 mm tinggi, 1,862 mm lebar dengan jarak rodanya pula ialah 2,670 mm. Jarak kelegaan tanahnya ialah 175 mm.

Jika dibandingkan dengan model Omoda 5, Tiggo 7 Pro ini lebih panjang 113 mm dan 32 mm lebih lebar. Panjang keseluruhannya pula hampir sama dengan Proton X70 yang hadir dengan panjang 4,519 mm. Ruang kargo untuk barangan dapat menampung kapasiti dari 475 liter hingga 1,672 liter. Bukaan pintu belakang berkuasa ruang kargo juga boleh dilakukan dari jarak jauh.

Tiggo 7 Pro juga dilengkapi dengan rim aloi 18-inci, sistem bantuan pemandu ADAS dengan 17 fungsi, sambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung panoramik dan kerusi depan lengkapi dengan liang pengudaraan. Tidak ketinggalan ialah ciri lampu ambient dengan 64 pilihan warnya. Pengecas telefon tanpa wayar 50W turut disediakan, beserta dengan sistem penyejukan aktif untuk mengawal suhu telefon ketika dalam proses tersebut.

Chery Tiggo 7 Pro dipertonton di M’sia — 1.6L, 197hp, 290 Nm, 7DCT; tempahan dibuka, bawah RM130k

Ia juga akan dilengkapi dengan ciri umum yang terdapat pada kenderaan Chery ketika ini, seperti kamera pemantau “540-darjah”, sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara dan juga paparan dua skrin berkembar dengan saiz keseluruhannya 25.6-inci. Penghidup enjin jarak jauh juga dihadirkan secara standard.

Model ini turut dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance System 2.5. Terdiri didalamnya ada fungsi seperti Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Multi Collision Brake (MCB), Door Open Warning (DOW), Integrated Cruise Assist (ICA), Rear Collision Warning (RCW), Lane Departure Prevention (LDP), Blind-spot Detection (BSD), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Traffic Jam Assistant (TJA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Reminder (LDR) dan Emergency Lane Keeping (ELK).

Chery Tiggo 7 Pro akan ditawarkan dalam empat warna; Bloodstone Red dengan bumbung hitam, Carbon Black, Vanilla Blue dan Khaki White dengan bumbung hitam. Ia kini mula dibuka untuk tempahan dan akan dipamerkan di semua bilik pameran Chery di seluruh negara. Serahan kepada pelanggan dijangka akan dilakukan bermula hujung Mei nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required