PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Toyota Vios generasi keempat membuat kemunculan sulung global pada Ogos 2022, dan kemudian mendarat di Malaysia kira-kira 7 bulan selepas itu. Model generasi baharu ini menggantikan Vios generasi ketiga yang telah diperkenalkan sejak 2013, dan menerima beberapa facelift bagi membolehkan ia dijual dalam pasaran selama lebih 10 tahun.

Bagi model generasi keempat ini, Toyota memanfaatkan kerjasama dengan anak syarikatnya iaitu Daihatsu yang telah ditandatangani sejak 2016, di mana pakar penghasilan model K-Car itu akan membantu Toyota membangunkan model-model kompak bagi pasaran penting baharu termasuk Asia Tenggara.

Jadi adakah model generasi baharu ini dapat menggantikan model asli keluaran Toyota yang mampu dijual selama satu dekad dengan relevan serta tanpa masalah? Mari ikuti ulasan pandu uji kami terhadap Vios ini.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Tanpa berselindung, plat nombor identifikasi kenderaan (VIN) pada Vios generasi baharu ini telah tertulis “Design by Daihatsu in Japan”, mengesahkan bahawa ia sememangnya dibangunkan oleh Daihatsu, bukan Toyota. Malah rekaan luaran bagi Vios ini juga merupakan versi poduksi untuk model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang didedahkan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017.

Profil sisi Vios generasi keempat ini jelas menggunakan rekaan garis bumbung yang sama seperti Daihatsu DN-F Sedan, menampilkan rupa seakan sebuah fastback empat pintu. Cermin sisi untuk model ini masih kekal diletakkan pada bahagian cermin tingkap dan bukan pada pintu. Ia juga diberikan garis badan sisi yang dilihat bersambung dari lampu hadapan melalui pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang.

Namun untuk muka, ia tidak mengambil inspirasi dari model konsep tersebut, sebaliknya muka Vios baharu ini dilihat seperti Camry dalam skala lebih kecil, dengan menampilkan rekaan lampu LED hadapan bersama jalur LED nyalaan siang bina dalam dan gril atas yang hampir sama. Namun Vios diberikan gril bampar yang lebih tinggi bersama sepasang liang udara sisi unik dengan rekaan lima segi.

Bahagian belakang Vios ini diberikan lampu LED dengan rekaan nipis dan bersegi, serta penutup but yang dilihat lebih pendek dan sporty, namun ia direka lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

Vios di Malaysia ditawarkan dalam dua varian iaitu varian paling asas 1.5E dan juga varian tertinggi seperti yang penulis uji ini iaitu 1.5G. Selain dari melihat emblem pada penutup but belakang, ada beberapa perincian yang anda boleh lihat memberitahu ini adalah varian G, seperti gril hitam kemasan berkilat, lampu isyarat membelok jenis sequential di belakang, perapi-perapi cermin tingkap kemasan krom, rim aloi 17-inci, dan yang paling penting brek jenis cakera pada roda belakang berbanding brek dram pada varian E.

Manakala perincian seperti lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok dan pemantau titik buta dan cermin akustik adalah standard untuk kedua-dua varian. Varian G ini juga diberikan pengelap cermin dengan penderia hujan.

Antara yang membuatkan teruja ketika melihat gambar Vios ini sebelum ini dilancarkan di Malaysia adalah rekaan dalamannya – dengan papan pemuka direka dengan elemen melintang berbanding menegak pada model generasi sebelumnya, bersama konsol terowong yang nampak tinggi, ia nampak seperti bakal memberikan posisi pemanduan yang lebih rendah.

Namun anggapan penulis berdasarkan gambar tersebut adalah salah. Sebaik sahaja dapat peluang untuk duduk di kerusi pemandu, penulis masih lagi terasa ‘tertenggek’ dengan tempat duduk yang direka tinggi dan tidak langsung terasa ‘menjulur’ seperti yang penulis bayangkan sebelum ini.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Dengan larasan paling rendah, mata penulis masih nampak bahagian hujung penutup bonet hadapan. Dan dengan rupa coupe yang menampilkan bumbung rendah, kepala penulis juga rasa begitu hampir dengan pelapik bumbung. Manakala dengan konsol terowong yang tinggi, membuatkan penulis terasa seperti sedang memandu sebuah MPV.

Bagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak kisah dengan posisi pemandu sebegini, malah ia sebenarnya menyenangkan anda memandu pada kawasan sempit kerana mendapat sudut pandangan hadapan lebih tinggi. Namun untuk penulis, jika memandu sebuah sedan, penulis mengharapkan ia memberikan posisi pemanduan yang lebih rendah dan sporty.

Posisi tempat duduk yang tinggi ini sebenarnya adalah untuk memaksimakan penggunaan ruang dalam kabin. Ini kerana dengan rekaan tersebut, kaki pemandu dan penumpang hadapan tidak perlu terlalu melunjur kehadapan, seterusnya membolehkan tempat duduk hadapan untuk ditolak lebih ke hadapan. Ini secara tidak langsung akan memberikan ruang lutut yang lebih luas pada penumpang belakang.

Walau bagaimanapun, dengan kedudukan tempat duduk belakang yang turut tinggi, bersama rekaan bumbung yang landai kebelakang, ruang kepala untuk kabin belakang pada Vios ini agak kecil. Jika anda seorang yang tinggi, kepala anda berkemungkinan akan sentiasa bersentuh dengan bumbung sekiranya duduk di bahagian belakang.

Apa pun, rekaan dalaman Vios generasi keempat ini sememangnya nampak jauh lebih premium dari model sebelumnya. Ia diberikan material sentuhan lembut sebenar pada papan pemuka dan beberapa bahagian yang bersentuh dengan pemandu seperti perehat lutut, perehat tangan dan juga pemegang pintu.

Namun penulis sedikit kecewa dengan roda stereng balutan kulit dan juga tombol gear pada Vios ini kerana ia terasa terlalu keras, menghilangkan rasa premium kereta ini. Tuil penukar gearnya juga tidak terasa solid seperti yang diberikan pada model generasi sebelum ini. Mungkin kedua-dua komponen ini dikongsi bersama Daihatsu, atau lebih tepat Perodua dalam konteks pasaran Malaysia, kualiti berkenaan agak tidak mencapai ‘status Toyota’ pada Vios ini.

Ada beberapa komponen dalaman lain pada Vios ini adalah jelas turut dikongsi bersama model-model DNGA Perodua (Axia, Alza dan Ativa) seperti suis-suis kawalan pada papan pemuka dan juga pintu, serta paparan instrument digital dengan skrin TFT 7-inci (hanya untuk varian G).

Bercerita tentang meter digital tersebut, ada sedikit perubahan yang dibuat berbanding versi pada model-model Perodua. Antaranya ia diberikan animasi ‘selamat datang’ tersendiri dan juga warna latar merah gelap bagi disesuaikan dengan tema warna kabin Vios ini.

Perincian lain pada skrin TFT berkenaan masih sama seperti pada Perodua, dengan menyediakan pelbagai tema rupa meter utama, diberikan fungsai pengingat pelbagai tarikh, bunyi kerlipan lampu isyarat membelok yang boleh dipilih, dan banyak lagi.

Satu lagi perkara yang penulis suka pada Vios generasi baharu ini adalah sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan-inci yang dibekalkan. Walaupun port USB untuk menghubungkan telefon pintar masih berada pada sebelah hadapan skrin, anda sudah tidak perlu berasa ‘semak’ dengan wayar seperti model sebelum ini lagi kerana port tersebut tidak perlu lagi digunakan disebabkan ia sudah mempunyai fungsi hubungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

Sekiranya anda pemilik Honda City, skrin ini juga akan mungkin akan membuatkan anda iri hati bukan hanya kerana ia memaparkan visual dari pelbagai sudut kenderaan menerusi kamera pemantau 360-darjah, malah visual yang dipaparkan tersebut adalah dalam bentuk definasi tinggi dan sangat jelas, dan ia adalah perincian standard untuk Vios G dan E.

Antara perincian lain yang khusus hanya ada pada Vios G ini termasuk pedal penukar gear, larasan teleskopik untuk roda stereng (tiada model Perodua diberikan fungsi ini), lampu suasana kabin 64-warna, sistem pendingin hawa automatik, lampu kabin LED, brek parkir elektrik, dan enam pembesar suara.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Manakala perincian standard yang turut dipadankan pada varian E lebih rendah termasuk liang udara penghawa dingin untuk kabin belakang, cermin pandang belakang auto-malap, pengecas tanpa wayar, dashcam bahagian hadapan, dan pelbagai lagi.

Sekarang kita masuk ke bab pemanduan. Vios generasi keempat ini menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork maksima pada 4,200 rpm, dipadankan bersama kotak gear D-CVT bagi memacu roda hadapan.

Gandingan unit rangkaian kuasa ini sememangnya adalah sama sepenuhnya dengan Perodua Alza dan Myvi (talaan kuasa pada Myvi adalah sedikit rendah pada 102 hp/136 Nm), tidak seperti Vios sebelum ini yang menggunakan enjin 2NR-FE dengan blok dari material aluminium serta menghasilkan kuasa 107 PS/140 Nm.

Jadi adakah ini bermaksud Vios generasi baharu ini lebih perlahan dari model generasi sebelumnya? Tidak. Kerana dengan kerangka DNGA, Vios baharu ini dapat dihasilkan sekitar 100 kg lebih ringan dari Vios generasi ketiga, membuatkan nisbah kuasa kepada berat kedua-dua model tersebut adalah lebih kurang sama.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Walaupun tidak terasa sebarang kekurangan kuasa, tak boleh dinafikan bahawa Honda City dengan enjin petrol 1.5 liter menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 121 PS dan tork maksima 145 Nm, seterusnya memberikan daya pecutan lebih baik. Namun bukannya anda nak beli kereta ini untuk berlumba drag hari-hari bukan? Jadi asalkan ia cukup kuasa untuk memotong dan naik bukit sudah memadai.

Kotak gear Dual-Mode CVT (D-CVT) baharu yang dibekalkan pada Vios baharu ini sememangnya jauh lebih canggih dari kotak gear CVT biasa pada model lama. Ini kerana kotak gear yang dibangunkan oleh Daihatsu tersebut dilengkapi dengan set gear planetary seperti kotak gear AT dalam mekanisma split gear, yang memberikan agihan nisbah gear seakan kotak gear AT 8-kelajuan (mod manual maya diberikan hanya 7-kelajuan), memberikan pemanduan yang lebih tenang dan senyap pada kelajuan tinggi.

Anda dapat cruising di atas lebuhraya pada kelajuan 110 km/j dengan jarum takometer di bawah 2,000 rpm. Namun penulis agak kurang senang dengan ‘ngauman’ enjin yang agak kuat apabila ia memecut. Malah penulis juga berpendapat kotak gear CVT dari Toyota yang dipadankan pada Vios lama adalah lebih hampir seperti kotak gear AT, manakala transmisi D-CVT ini memberikan rasa ‘asli’ sebuah kotak gear CVT konvensional.

Gandingan enjin dan kotak gear baharu ini sebenarnya turut memberikan penggunaan bahan api lebih baik. Menurut Toyota dalam spesifikasi yang disiarkan, model generasi baharu ini mencatatkan penggunaan bahan api 5.2L/100 km, berbanding model lama yang mencatatkan 5.8L/100 km. Namun untuk situasi pemanduan sebenar, penulis mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 7.1L/100 km untuk perjalanan gabungan kawasan bandar dan lebuhraya.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Kerangka DNGA pada Vios ini bukan sahaja membuatkan Vios baharu ini lebih ringan. Malah ia didakwa dihasilkan lebih tegar dari versi generasi sebelumnya, serta menampilkan pusat graviti lebih rendah. Jadi dengan semua faktor tersebut Vios generasi baharu ini menampilkan pengendalian yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

Walaupun pemandu duduk dalam posisi yang agak tinggi, penulis tidak terasa terumbang-ambing ketika mengambil selekoh kerana olengan badan kereta ini boleh dikatakan agak minimum. Boleh penulis sifatkan, ia bukanlah kereta yang dibina dengan tumpuan untuk keseronokan mengambil selekoh, tetapi pada pendapat penulis pengendaliannya adalah lebih baik dari Honda City.

Aspek keselesaan juga masih menjadi kekuatan pada Vios generasi baharu ini. Jika model sebelum ini menampilkan aspek NVH terbaik dalam kelasnya, ia masih dibawa ke model generasi baharu ini dengan lebih diperhalusi dengan kabin lebih senyap.

Cuma untuk penumpang belakang agak bergoyang dan melantun-lantun sekiranya melalui jalan yang beralun, dan perkara ini tidak akan dirasai oleh pemandu dan penumpang belakang. Tidak dapat dipastikan adakah ia Adalah kerana posisi duduk yang tinggi ataupun memang sudah menjadi karekter platform DNGA kerana ada pemilik Perodua Ativa merasai pengalaman yang hampir sama.

PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

Walaupun banyak perincian pada Vios generasi baharu ini adalah jauh lebih baik dari model generasi sebelumnya, ada beberapa aspek praktikaliti ia terkebelakang dari model generasi ketiga. Pertama, tempat duduk belakang Vios baharu ini tidak lagi boleh dilipat bagi membolehkan barangan yang panjang diletakkan pada ruang but.

Malah kapasiti kargo pada but belakang turut berkurangan kepada 475 liter, berbanding 506 liter pada model generasi sebelum itu. Dan jangan tak tahu, Vios generasi baharu ini juga tidak datang dengan tayar gantian, sebaliknya UMW Toyota hanya membekalkan kit pembaikan tayar. Namun dengan ketiadaan tayar gantian berkenaan, bahagian bawah lantai but belakang ini menampilkan ruang storan tersorok bagi membolehkan anda menyimpan barang dengan lebih selamat.

Untuk keselamatan, Vios G dan E kedua-duanya menampilkan perincian yang hampir serupa dengan dibekalkan enam-beg udara, penderia undur hadapan dan belakang, serta sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran dan pengelak keluar lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, kawalan salah pijak pedal dan lain-lain.

Varian E hanya kurang tiga perincian dari bantuan pemanduan tersebut iaitu kawalan kekal lorong, cruise control adaptif dan lampu tinggi automatik.

Vios generasi baharu ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM95,500 untuk varian G seperti yang pandu uji penulis ini. Manakala varian asas E pula dijual pada harga RM89,600. Jadi berbanding model generasi terdahulu, model generasi baharu ini adalah masing-masing RM5,100 dan RM4,000 berbanding generasi sebelum itu.

Bagi penulis kenaikan harga tersebut Adalah patut memandangkan model generasi baharu ini menerima kerangka badan yang jauh lebih moden, bersama banyak tingkat taraf lain diberikan termasuk pelbagai aspek yang telah diperhalusi, membuatkan ia seolah-olah tiada kaitan dengan model generasi sebelumnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required