PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Seperti yang kita tahu, jenama automotif Korea Selatan iaitu Kia di Malaysia kini baru sahaja diambil alih oleh Bermaz Auto (BAuto) pada April 2021. Dengan pengambilalihan ini, BAuto ini nampaknya dengan cermat mengatur semula perniagaan Kia di sini supaya ia tidak lagi ‘terduduk’ seperti sebelum ini.

Tak banyak model yang ditawarkan buat masa sekarang dan kita boleh tengok Kia agak berjaya dalam menjual MPV Kia Carnival generasi baharu yang kita boleh lihat dengan mudah di atas jalan raya buat masa sekarang. Selain Carnival, Kia Malaysia kini hanya menawarkan satu model dengan enjin pembakaran dalaman lain iaitu SUV segmen-D Kia Sorento, dan dua model elektrik penuh iaitu EV6 GT-Line dan Kia Niro EV.

Niro kalau kita tengok, ia mudah untuk ditafsirkan sebagai sebuah SUV. Tapi kalau anda mahu yang sesuatu yang lain dari yang lain, mungkin boleh cuba model yang kami pandu uji kali ini – Kia EV6 GT-Line, model yang membuat kemunculan sulung global pada Mac 2021, dan dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada Jun tahun lalu.

Kia EV6 ini diasaskan dari platform E-GMP yang dihasilkan oleh Hyundai Motor Group (HMG), sama dengan dua EV dengan lencana Hyundai yang juga ditelah dilancarkan di Malaysia iaitu Ioniq 5 dan Ioniq 6. HMG menyifatkan platform E-GMP ini adalah seperti papan luncur (skateboard) di mana bateri lithium-ion merupakan struktur lantai sepenuhnya, dan gandar hadapan dan belakang masing-masing boleh diletakkan motor, membolehkan ia menjadi model pacuan roda belakang (motor tunggal) atau pacuan semua roda (dua motor).

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Ketika membaca fakta yang didedahkan oleh HMG ini dahulu, penulis membayangkan bahawa pereka Hyundai dan Kia pastinya lebih mudah untuk menghasilkan model EV dengan platform yang cukup ringkas ini kerana tidak perlu memikirkan kedudukan enjin, kotak gear, sistem penyejukkan dan sebagainya.

Namun apabila model-model ini telah tiba di Malaysia, barulah kita tahu bahawa bateri yang dibekalkan adalah bersaiz sangat besar bagi membolehkan ia bergerak jauh dengan sekali cas. Jadi dengan lantai yang besar dan tebal untuk diletakkan bateri ini menyebabkan model-model dengan platform E-GMP direka kecil dan rendah.

Ambil contoh Hyundai Ioniq 5 misalnya, dalam gambar mungkin ia nampak seperti sebuah hatchback dengan saiz seperti Volkswagen Golf. Namun hakikatnya Ioniq 5 adalah crossover bersaiz jauh lebih besar sehinggakan set rim 20-inci yang dipadankan masih nampak kecil!

Begitu juga dengan Kia EV6, dengan saiz bateri yang begitu besar agak sukar untuk ia dihasilkan dengan bentuk kereta normal. Jadi pereka Kia harus hasilkan sesuatu yang luar biasa agar ia tidak nampak seperti gergasi yang pelik. Sekali tengok, memang susah untuk kita faham, EV ini sebenarnya adalah sebuah hatchback ke, kereta sport ke atau kapal angkasa?

Kia menyatakan bahawa EV6 masih lagi sebuah SUV. Menurut ketua rekaan global Kia, Karim Habib pula rekaan EV ini sebenarnya terhasil dari pelbagai gabungan termasuk “sifat sporty sebuah fastback, stance kompak seperti sebuah hatchback dan nampak tegap seperti sebuah kereta rali.”

Kalau anda tengok pada gambar, memang apa yang digambarkan oleh Karim Habib itu boleh dilihat pada EV6 ini. Malah rekaan belakang EV6 ini mengingatkan penulis kepada kereta-kereta lumba era 60’an seperti Shelby Daytona Coupe dan juga Ferrari 250 GTO.

Namun bila dah depan mata dan melihat sendiri set roda yang dipadankan adalah terdiri dari rim 20-inci bersama tayar 255/45R20, barulah kita sedar bahawa EV6 ini adalah sebuah SUV. Kia EV6 GT Line pasaran Malaysia ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,695 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,550 mm dan jarak roda sejauh jarak roda 2,900 mm.

Dengan saiz ini, EV6 sebenarnya hanya 240 mm lebih pendek bersama jarak roda yang hanya 100 mm lebih dekat tetapi 90 mm lebih lebar berbanding Toyota Vellfire. Ya, saya bandingkan saiz EV6 ini dengan MPV keluaran Toyota tersebut bagi memudahkan anda membayangkan saiznya.

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Masuk ke kabin, anda boleh benar-benar rasa betapa luas lantai dan lebarnya lantai EV6 ini. Pada bahagian tengah, ia diberikan satu konsol yang cukup besar. Konsol tersebut hadir dengan perehat tangan yang mempunyai ruang storan yang sangat besar di dalamnya.

Konsol itu turut menempatkan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, butang pemula, pemegang cawan, suis putar untuk memilih mod ‘D’, ‘N’, ‘R’ atau ‘P’ bagi menggantikan tombol gear konvensional, serta suis pilihan untuk pemanas dan pengalir udara bagi kedua-dua tempat duduk hadapan.

Apa yang menarik, dengan lantai yang rata tanpa sebarang lengkung atau terowong di bahagian tengah, konsol berkenaan turut diberikan satu lagi ruang storan di bawahnya yang cukup besar (mungkin boleh memuatkan dua beg tangan wanita!) dan membuatkan bahagian atasnya nampak seperti terapung.

Papan pemuka EV6 ini menampilkan rekaan yang ringkas dengan perincian utama dua skrin bersaiz 12-inci untuk panel instrumen digital pemandu dan skirn infotainmen. Kedua-dua skrin tersebut direka melengkung dan dihubungkan dengan hanya satu panel kaca yang diperkuat bagi menampakkan seolah-olah ia hanya satu unit.

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Namun penulis agak tidak berkenaan dengan rekaan roda stereng kereta ini – walaupun ia menampilkan rekaan rata di bawah, namun roda stereng ini hanya mempunyai dua jejari besar membuatkannya nampak sangat tidak sporty dan tidak sepadan dengan rekaan bahagian luar.

Hanya dua suis fizikal yang boleh kita temui pada konsol tengah papan pemuka ini iaitu dua suis putar yang terletak pada kedua-dua hujung sisi panel berkenaan. Dan panel tersebut sebenarnya adalah skrin panjang yang akan berubah sama ada untuk kawalan sistem pendingin hawa atau untuk kawalan sistem infotainmen mengikut pilihan pemandu.

Kalau kita tengok dari bahagian sisi, kelegaan tanah pada untuk Kia EV6 ini tidaklah tinggi mana. Tetapi apabila duduk di tempat pemandu, anda akan rasa seperti duduk dalam sebuah SUV sebenar dengan sudut pandang yang tinggi, walaupun tempat duduk telah dilaras pada kedudukan paling rendah dan kaki sudah terasa berlunjur ke depan.

Sekali lagi, ini adalah kerana lantainya yang tebal sebagai perumah bateri lithium-ion. Dengan lantai yang rata ini juga memberikan ruang kaki yang agak luas untuk penumpang belakang, dan membolehkan mereka bergerak ke kiri atau ke kanan dengan mudah kerana tiada halangan di bahagian tengah lantai.

Manakala untuk ruang but, EV6 menyediakan kapasiti kargo sebesar 520 liter walaupun di bahagian bawah lantai terdapat motor elektrik untuk memacu gandar belakang. Sekiranya tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya, kapasiti kargo SUV EV ini mencecah sehingga 1,300 liter.

Dalam but ini juga terdapat port untuk sistem V2L, iaitu sistem yang membolehkan bateri pada EV ini menjadi ‘powerbank gergasi’ untuk mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik. Jadi sekiranya anda berkelah atau berkhemah di tepi pantai, EV6 ini mampu membekalkan kuasa elektrik seperti ‘generator pasar malam’.

Okeh, kita masuk ke bab pemanduan pula. Perlu diingatkan, EV6 pasaran Malaysia ini adalah dari varian GT-Line, dan bukan EV6 GT sebenarnya yang dibekalkan kuasa 585 PS dan tork maksima 740 Nm. Namun versi GT-Line ini juga tidak kurang padunya.

Pada gandar hadapan, EV6 GT-Line ini diberikan motor elektrik berkuasa 101 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala di gandar belakang, ia menerima motor elektrik berkuasa 224 PS dan tork maksima 350 Nm. Jadi secara keseluruhan, EV6 GT-Line ini merupakan SUV EV dengan bekalan kuasa 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork maksima 605 Nm. Ia membolehkan EV6 dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 183 km/j. \

Tiga mod disediakan untuk pemandu SUV elektrik ini iaitu Eco, Normal dan Sport, di mana tiga mod ini boleh dipilih menerusi butang pada roda stereng. Untuk pemanduan dalam bandar, penulis lebih selesa menggunakan mod Eco kerana penghantaran kuasa lebih ‘malas’ dan relaks.

Jika anda alihkan ke mod Normal, tork yang lebih agresif diberikan pada pendikit – anda perlu berhati-hati dengan pedal pendikit kerana hanya sedikit tujahan diberikan sudah cukup membuatkan badan anda melekap pada kerusi. Respon yang lebih agresif diberikan sekiranya anda memilih mod Sport, dan ia mungkin bahaya dan tidak selesa sekiranya digunakan pada jalan raya dengan trafik yang sibuk.

Namun sekiranya berada di atas lebuhraya yang tidak sibuk, penggunaan mod Sport ini agak memberikan ketagihan. Pecutan yang diberikan dari tork penuh 605 Nm memang mengujakan. Malah sekiranya anda mengubah dari mod Normal ke Sport, tak perlu tekan lebih pendikit, kereta ini akan memecut lebih laju seolah-olah Brian o’Conner menekan butang ‘NOS’ dalam filem Fast & Furious.

Kadar agihan tork pada gandar hadapan dan belakang boleh pemandu tengok pada paparan instrumen. Biasanya apabila mula bergerak, kedua-dua gandar akan dipacu oleh motor elektrik agar tahap kelajuan ideal yang dimahukan pemandu dapat dicapai dengan cepat.

Dan selepas itu kereta ini hanya bergerak dengan pacuan roda belakang sahaja bagi menjimatkan penggunaan kuasa elektrik. Begitu juga ketika mengambil selekoh, dalam kebanyakkan masa hanya gandar belakang yang memacu roda bagi memastikan karekter pengendaliannya sentiasa tajam seperti jentera pacuan roda belakang sebenar. Dan sekiranya komputer mengesan roda hadapan perlu dipacu bagi memberikan cengkaman, barulah motor elektrik gandar hadapan akan memberikan tork yang diperlukan.

Pendek kata agihan tork yang diberikan pada EV6 ini seolah-olah sebuah kereta petrol pacuan semua yang mempunyai sistem differential tengah aktif yang dapat mengagihkan tork antara hadapan dan belakang dengan nisbah tepat.

Dengan digandingkan dengan tayar yang cukup besar dan lebar, badan EV6 yang besar serta berat mencecah 2.1 tan ini boleh dikendalikan dengan cukup lincah di selekoh. Malah dengan berat bateri yang tertumpu ke lantai membuatkan titik graviti SUV ini juga menjadi rendah, sekaligus memberikan daya olengan yang begitu minima ketika dipandu laju meredah selekoh.

Kalau anda perasan, pada roda stereng ini juga terdapat pedal seakan pedal penukar gear pada bahagian kiri dan kanan. Ini bukan pedal penukar gear ya kerana kereta elektrik ini tidak memerlukan transmisi seperti kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Sebaliknya pedal berkenaan adalah untuk mengawal kadar regenerative braking pada motor elektrik. Lebih tinggi kadar ini diberikan, lebih tinggi pengecasan semula diberikan pada bateri diberikan, dalam masa yang sama kadar ‘braking‘ pada motor berkenaan lebih tinggi yang memberikan rasa seperti ‘engine braking‘ pada kereta dengan enjin konvensional.

Jadi jika anda tekan pedal ‘+’, ia memberikan rasa seakan anda menurunkan gear pada kereta dengan enjin petrol. Malah pada memilih tahap tertinggi kadar regen ini, anda boleh memandu EV6 ini dengan hanya satu pedal seakan mengawal kereta mainan kawalan jauh.

Walaupun berat EV6 ini boleh dikatakan tidak terasa ketika dipandu laju, anda masih akan sedar saiz kereta ini ketika dipandu pada kawasan urban. Ketika membawanya di tempat letak kereta kompleks membeli belah misalnya, naik masuk petak parkir atau melalui kawasan sempit tidak semudah anda memandu kereta biasa.

Namun EV6 ini dibekalkan dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan untuk memudahkan anda apabila berhadapan dengan situasi sebegini, antaranya kamera pemantau 360 darjah yang memberikan anda visual pandangan sekeliling kereta. Anda juga tidak perlu risau dengan titik buta kerana setiap kali lampu isyarat membelok, akan ada visual jelas bahagian sisi kereta dipancarkan pada paparan instrumen yang diambil dari kamera yang diletakkan di bawah cermin sisi.

Ia turut diberikan dengan pelbagai sistem bantuan lain termasuk Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA) dan Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Pemantau Pemandangan Titik Buta (BVM), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) serta cruise control adaptif.

Perincian standard lain yang turut diberikan pada EV6 GT-Line ini termasuk sistem pendingin hawa dua-zon, upholsteri kulit sued, brek parkir elektronik, cermin pandang belakang dengan auto-malap, lampu suasana LED, sistem bunyi surround Meridian dengan 14-pembesar suara, corong udara untuk tempat duduk belakang, empat unit USB-Port (type C), serta tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan Premium Relaxion larasan kuasa.

Macam mana pula dengan jarak gerak? EV6 GT-Line ini dibekalkan dengan bateri lithium-ion 77.4 kWj, dengan jarak gerak atas kertas mengikut kitaran WLTP adalah 506 km. Ketika menerima kereta ini, ia sudahpun mempunyai kadar cas 97% dengan anggaran jarak gerak 400 km.

Penulis memandu kereta ini dalam jarak 260 km, meliputi laluan bandar, lebuhraya dan juga jalan kampung. Ketika dipulangkan, bateri adalah pada kadar 23% dengan anggaran jarak yang tinggal adalah 79 km. Jadi dalam situasi sebenar, satu cas penuh bateri kereta ini mungkin boleh bergerak sekitar 300-320 km.

PANDU UJI: Kia EV6 GT-Line 2023; RM301k, 325 PS/605 Nm – pandai orang Korea buat kereta elektrik!

Untuk mengecas, EV6 yang menggunakan asas binaan elektrik 800-volt ini menyokong pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kadar 350 kW, yang membolehkan pengecasan 10-80% hanya sekitar 18 minit. Ia juga menyokong pengecas AC (sambungan Type 2) 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam.

Secara keseluruhan, Kia EV6 GT Line ini memberikan pakej lengkap sebagai sebuah EV yang menarik – ia ada rupa unik yang garang dan tidak sama dengan rekaan lain, unit rangkaian kuasa yang cukup berkuasa, praktikaliti dari segi ruang kargo dan kegunaan harian, serta jarak gerak untuk satu cas penuh yang agak baik. Pendek kata, memang pandai orang Korea buat kereta elektrik yang sangat unik macam EV6 ni.

Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM300,668. Ya, harganya agak mahal berbanding beberapa EV dengan spesifikasi yang hampir sama dengannya. Namun kalau anda sedang mencari-cari EV ketika dalam tempoh insentif yang sedang ditawarkan kerajaan buat masa sekarang, jangan lupa untuk lihat dulu EV6 GT-Line ini dengan lebih dekat kerana ia mempunyai ‘aura’ yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan mungkin boleh memikat anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required